Tiga Pasukan Menempah Tiket Suku Akhir, MP Klang Lagi Sekali Bangkit

ARTIKEL OLEH:

Tiga pasukan dari Kumpulan B sudah menempah tiket ke pusingan seterusnya manakala MP Klang perlu menunggu sehingga ke penghujung perlawanan untuk mengecewakan MPKJ dari membawa pulang tiga mata di Kumpulan A pada aksi Liga Super FAS 2023 minggu lepas.

Dua dari tiga pasukan tersebut, NPNG dan Boss FC akan beraksi di suku akhir Liga Super FAS walaupun mereka tidak bermain pada minggu lepas. Ini kerana keputusan seri 1-1 di antara Smart-Focus dan PKNS menyebabkan mereka tidak mempunyai peluang untuk memintas NPNG dan Boss. Ammar Hariz meletakkan PKNS di hadapan pada minit ke-28 dalam situasi 1 lawan 1 dengan percubaan yang kemas. Namun, PKNS dihukum apabila tidak mengambil beberapa peluang serangan setelah Yusri Yusoff berjaya menjaringkan gol penyamaan untuk Smart-Focus pada minit ke-54 dari hasil bola muntah selepas penjaga gol Nor Ashrani Ahmad menghalang satu percubaan dari luar kotak.

Pasukan ketiga yang layak adalah MBSA selepas mereka mengatasi Klang Southern dengan keputusan 1-0. Walaupun terdapat beberapa peluang, gol tunggal MBSA dihasilkan dari sepakan penalti yang diambil oleh M. Kalairasan selepas pemain penyerang Nazrien Faizal dijatuhkan dalam kotak penalti Southern.

MP Sepang pula mengukuhkan lagi posisi mereka untuk mendapat tempat kelayakan terakhir dalam kumpulan selepas menewakan Mozyda dengan keputusan 2-1. Haedar Abdul Halim meletakkan Mozyda di hadapan selepas dua minit waktu permainan, namun MP Sepang berjaya bangkit menjaringkan dua gol dalam empat minit sebelum akhir separuh masas pertama dari Nik Muhd Edzwan dan Irfan Najhan. Boss FC pula mendapat kemenangan walkover dengan keputusan 3-0 atas Port Rangers manakala minggu lepas merupakan minggu rehat NPNG.

Dalam aksi Kumpulan A pula, MP Klang berjaya mengikat MPKJ dengan keputusan seri 1-1 untuk mengekalkan rekod tanpa kalah mereka. Dalam satu perlawanan yang sangat mendebarkan, MPKJ beranggapan jaringan M. Terrence pada minit ke-4 adalah cukup untuk mereka membawa pulang tiga mata, tetapi Ahmad Shahidan menafikan MPKJ selepas percubaan dari luar kotak masuk ke gawang gol pada minit 70+5 dan kedua-dua pasukan terpaksa berkongsi satu mata.

Dalam perlawanan Kumpulan B yang lain, Anak Kalumpang, Teleflow dan MBPJ meraikan kemenangan besar di mana Anak Kalumpang mengatasi PIB 4-0, Teleflow menewaskan Sun Riders 6-0 di mana Zakwan Zamri menjaringkan hatrik dan MBPJ membenamkan SIA 10-0 di mana sembilan pemain berbeza menyumbangkan jaringan gol.

Berita Terkini