FOOTBALL SELANGOR - FS

DYTM Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor mewujudkan Selangor Youth Community (SAY) yang bertujuan membantu pembangunan belia di Selangor dalam bidang keusahawanan, seni & kreatif, sukan dan khidmat masyarakat.
 
Pada tahun 2016, SAY memperkenalkan Selangor Champions League (SCL) yang telah mengumpulkan juara-juara dari pelbagai liga amatur negeri untuk bertanding bagi merebut gelaran pasukan amatur terbaik di Selangor.
Pada tahun 2017, tercetuslah idea untuk menubuhkan Football Selangor (FS); sebuah organisasi yang diwujudkan bertujuan untuk menyatukan komuniti bola sepak amatur di Selangor. FS turut melancarkan Affiliate League Program yang disertai oleh 27 buah liga sosial & amatur seluruh Selangor. Program ini telah membuka jalan ke SCL untuk lebih banyak pasukan di negeri Darul Ehsan. 

 

Penganjuran SCL yang digerakkan oleh komuniti bola sepak akar umbi sendiri  telah membuktikan bahawa kancah liga sosial & amatur mampu ditingkatkan ke aras yang lebih berprestij. Dan pada tahun 2017 juga merupakan tahun pertama perlawanan akhir SCL2017 dilaksanakan di Stadium Shah Alam, yang menjadi motivasi tertinggi bagi setiap pasukan amatur untuk beraksi di stadium keramat pasukan Selangor Darul Ehsan.

 

Selain itu, kancah bolasepak amatur menuju ke tahap yang lebih baru apabila buat pertama kalinya dalam sejarah pertandingan Piala Amatur Malaysia diadakan. Kerjasama di antara Terengganu Amateur League & Selangor Champions League menyaksikan pemain-pemain terbaik dari liga masing-masing bertembung di Stadium Shah Alam bagi merebut gelaran juara Piala Amatur Malaysia yang pertama. TAL All Stars berjaya menjulang Piala Amatur Malaysia selepas menewaskan SCL All Stars 2-0.

 

17.5
Tahun demi tahun yang berlalu, juara demi juara telah telah ditabalkan. Stadium keramat Stadium Shah Alam menyaksikan kejuaraan diraih oleh Puchong Fuerza FC bagi tahun 2018 menewaskan KRU FC di hadapan ribuan penyokong yang diiringi paluan gendang “Ultras” walaupun perlawanan hanya  melibatkan pasukan amatur, perasaannya seperti berada di dalam perlawanan pasukan profesional. Perlawanan yang menyaksikan pasukan Puchong Fuerza FC mengatasi pasukan KRU FC 3 berbalas 0 untuk membawa pulang gelaran juara Selangor Champions League musim 2018.

Pada tahun 2019, Football Selangor menguruskan unit pertandingan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang menyaksikan penstrukturan semula Liga FAS bagi musim 2019. Selain daripada itu, Liga Junior FAS turut dijalankan yang melibatkan pasukan-pasukan bagi kategori Bawah-14 dan Bawah-17 yang disertai oleh Akademi Tunas dan Pusat Latihan Daerah di sekitar Lembah Klang.

Saingan diteruskan dengan Selangor Champions League 2019 yang menyaksikan barisan 16 pasukan terbaik yang mempunyai prestasi dan pemain-pemain terbaik di dalam kancah bola sepak amatur di negeri Selangor. Saingan yang berlangsung sengit sepanjang kempen dengan menyaksikan penganjuran yang ditambah baik dari pelbagai aspek termasuk siaran langsung dengan tiga sudut kamera dan konten video tambahan seperti siri Off The Field untuk kesemua pasukan beserta konten yang melibatkan pemain profesional daripada pasukan Selangor FC.

Saingan diteruskan dengan Selangor Champions League 2019 yang menyaksikan barisan 16 pasukan terbaik yang mempunyai prestasi dan pemain-pemain terbaik di dalam kancah bola sepak amatur di negeri Selangor. Saingan yang berlangsung sengit sepanjang kempen dengan menyaksikan penganjuran yang ditambah baik dari pelbagai aspek termasuk siaran langsung dengan tiga sudut kamera dan konten video tambahan seperti siri Off The Field untuk kesemua pasukan beserta konten yang melibatkan pemain profesional daripada pasukan Selangor FC.

Segala usaha-usaha pembangunan bola sepak yang dijalankan ini dimulakan oleh inisiatif Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor yang mewujudkan entiti dipanggil Football Selangor yang di bawah badan bukan kerajaan Selangor Youth Community (SAY) yang dipengerusikan oleh Tengku Raja Muda sendiri. Dan kini sehingga masa yang mendatang, FAS akan menjadi entiti yang bertanggungjawab memastikan segala usaha pembangunan bola sepak di negeri Selangor sentiasa berada di tahap yang terbaik.