Empat Pasukan telah menempah tiket ke separuh akhir Liga UOW di mana Ukay Positif, Najmi SFFC, Tebuan dan Nossa Bukit Jelutong. Mereka ini hanya satu langkah sahaja untuk melakar nama sebagai juara Liga UOW dan juga kelayakan untuk bermain di Selangor Champions League.
Kenali Yakin hampir mencapai peristiwa “Istanbul 2005” dengan cara mereka sendiri setelah bangkit dari 0-3 pada akhir separuh masa pertama untuk menyamakan kedudukan sehingga membawa perlawanan ke sepakan penalti. Walaupun perlawanan bermula secara positif, Ukay Positive melakukan jaringan dua gol dalam masa dua minit melalui Engku Farhan dan Afif Izzuddin selepas mereka mengambil kesempatan atas kelekaan pemain pertahanan Kenali. Situasi Ukay menjadi lebih baik selepas berjaya menjaringkan gol ketiga hasil dari sepakan penalti Faes Hakimi pada minit ke-23. Namun, Kenali Yakin tidak mudah berputus asa.
Setelah separuh masa kedua bermula, Azizy Askaran berjaya menjaringkan gol pertama Kenali yang hanya mengambil masa tiga minit. Kemudian Firdhaus Azman berjaya menanduk masuk gol kedua hasil dari hantaran Firdaus Rasid dan pada minit ke-63, Firdhaus berjaya menyamakan kedudukan selepas melengkapkan sepakan jarak dekat melalui hantaran Azizy. Walau bagaimanapun, hanya satu hentian diperlukan oleh penjaga gol Ukay, Alif Azhan yang berjaya menafikan sepakan Azizy pada pusingan pertama dan Ukay layak ke separuh akhir selepas menjaringkan semua sepakan penalti mereka dengan keputusan 5-3.
Najimi SFFC akan bertemu dengan Ukay Positif dalam separuh akhir selepas berjaya menewaskan Football Talent Asia (FTA) dengan keputusan 2-1. Kedua-dua jaringan Najmi berjaya dihasilkan pada 16 minit pertama babak perlawanan melalui tandukan Ahmad Azlan Zainal dan percubaan rendah jarak dekat yang kemas oleh Ibrahim Suhaib. Walaupun FTA berjaya untuk merapatkan jurang jaringan pada minit ke-50 hasil daripada Rahmat Hamid, namun FTA gagal untuk mengekalkan momentum perlawanan dan Najmi memastikan menempah tiket ke pusingan seterusnya.
Tebuan pula menunjukan taring mereka selepas menang selesa ke atas AAK dengan keputusan 4-0. Ibrahim Muhamat meletakan Tebuan di hadapan dengan tandukan dari sepakan percuma pada minit ke-9 dan Amir Firdaus menggandakan jumlah gol empat minit kemudian. Pemain simpanan Amin Khalil pula menjaringkan gol ketiga dari jarak jauh pada minit ke-54 walaupun ada protes dari pemain AAK kerana mereka berasa kekasaran telah berlaku sebelum itu. Pada masa tambahan, Ibrahim menjaringkan gol kedua peribadi juga hasil dari tandukan dan melengkapkan prestasi Tebuan yang mengagumkan.
Tebuan akan bertemu dengan Nossa Bukit Jelutong setelah mereka menewaskan Huaran dengan keputusan 2-0. Nossa berjaya mengambil kesempatan atas kelekaan pemain pertahanan Huaren semasa sepakan penjuru dimana kedua-dua gol hasil dari situasi yang sama. Syahir Haziq memastikan Nossa di hadapan pada minit ke-38 dari hasilan tandukan manakala Danish Iskandar dari tiang terdekat berjaya mengalihkan sepakan penjuru ke arah gawang gol bagi jaringan kedua Nossa.