Tebuan FC Julang Liga Foundation FAS, Sah Slot Pertama ke SCL 2026.

ARTIKEL OLEH:

Tebuan FC sekali lagi membuktikan status mereka sebagai pasukan paling berjaya dalam Liga Foundation FAS apabila berjaya merangkul kejuaraan buat kali ketiga selepas menewaskan Plus FC 2-1 dalam aksi final.

Plus FC hadir ke pentas final dengan rekod sempurna 100 peratus kemenangan, namun Tebuan berjaya menghadiahkan kekalahan pertama dan satu-satunya buat lawan mereka musim ini. Jaringan pembukaan hadir tepat sebelum tamat separuh masa pertama menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh pertahanan kiri, Izzat Emeer Aziz. Penalti itu diperoleh selepas Ibrahim Muhamat dijatuhkan oleh Nor Ariff Mistar hasil gerakan lincahnya di dalam kotak penalti, selepas kedua-dua pasukan saling berbalas asakan dalam babak pertama yang cukup sengit.

Memasuki separuh masa kedua, Plus FC lebih banyak menguasai permainan dan cuba mencari gol penyamaan, namun benteng Tebuan FC kekal ampuh bertahan. Ketika perlawanan berbaki kurang 10 minit, Ibrahim sekali lagi menjadi watak utama apabila hantaran silangnya dari sebelah kanan berjaya disambut Fariz Soaid. Walaupun penjaga gol Plus FC, Fawzal Muthalib, dilihat sempat menangkap tandukan itu, pegawai perlawanan mengesahkan bola telah melepasi garisan gol untuk memberikan Tebuan kelebihan 2-0.

Plus FC bagaimanapun tidak mudah menyerah kalah. Tiga minit sebelum masa kecederaan, kapten mereka, Izzat Ikmal, berjaya menanduk masuk hantaran Afiq Danish Azhar selepas menewaskan penjaga gol Tebuan, Rafiq Kamaruddin, untuk merapatkan jurang kepada 2-1.

Namun jaringan tersebut sekadar menjadi gol saguhati apabila Tebuan berjaya mempertahankan kelebihan sehingga wisel penamat untuk menjulang trofi Foundation League buat kali ketiga, selepas turut menjuarainya pada tahun 2021 dan 2023, dengan ketiga-tiga final berakhir dengan keputusan yang sama, 2-1.

Kejayaan ini juga menyaksikan Tebuan FC muncul sebagai pasukan pertama mengesahkan tempat ke Selangor Champions League 2026, edisi ke-10 kejohanan itu, selepas menjadi pasukan terakhir yang layak ke pertandingan musim lalu.

Dalam anugerah individu pula, penyerang Royal Klang Sailor FC, Zulkiffli Zakaria, membawa pulang anugerah Kasut Emas selepas meledak 18 gol sepanjang kejohanan. Penjaga gol Plus FC, Fawzal Muthalib, dinobatkan sebagai pemenang Sarung Tangan Emas hasil enam perlawanan tanpa bolos, manakala penyerang Tebuan, Daniel Syazrul, dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) selepas menjaringkan 10 gol sepanjang kempen kejuaraan mereka.

Berita Terkini