Siapa Masuk Perlawanan Akhir Liga FAS Merentasi Semua Empat Liga?

ARTIKEL OLEH:

Minggu lalu menyaksikan tiket-tiket perlawanan akhir Liga FAS merentasi semua empat aras liga berjaya ditempah. Apa yang berlaku dalam perlawanan separuh akhir dan pasukan manakah yang bakal bertemu dalam perlawanan akhir tersebut?

Liga Super

Boss FC layak ke perlawanan akhir setelah menang 1-0 dan sekaligus menamatkan misi Gombak FA, yang tampil tanpa kehadiran penjaring terbanyak mereka, Nur Rizzham Norman, yang menerima kad merah dari perlawanan suku akhir minggu lalu. Kesilapan penjaga gol Gombak FA dihukum oleh  Azizie Hamid pada minit 31 yang merupakan gol tunggal dalam perlawanan ini. Gombak FA terpaksa mengakhiri perlawanan dengan 10 pemain selepas Syazwan Rani dilayangkan kad kuning kedua pada minit 68.

MBSA pula berjaya menyingkirkan juara bertahan NPNG melalui sepakan penalti yang berkesudahan dengan jaringan 5-4 setelah seri 1-1. Walaupun mempunyai banyak peluang, NPNG menjaringkan gol awal melalui sepakan penalti Yazid Kamaruzuan. Pasukan MBSA kembali menyamakan kedudukan pada minit 43 melalui gaya sepakan terbang oleh Basyir Ahmadd . Sepakan penalti memperlihatkan kegagalan Lukhman Noor Hakim menyempurnakan sepakan beliau, seterusnya memberi kemenangan kepada MBSA melalui sepakan penalti sempurna oleh Ibnu Hisyam.

Liga Perdana

Pertemuan semula dari perlawanan akhir Liga Bahagian 1 tahun lalu, Kelana United sekali lagi mengatasi Bukit Kapar dengan keputusan 2-0. Usaha keras Bukit Kapar tidak membuahkan hasil setelah Azamuddin Akil dan Razman Roslan berjaya menjaringkan gol untuk juara kumpulan B, Kelana United, melayakkan mereka ke perlawanan akhir Liga Perdana FAS 2023.

Pasukan yang menanti mereka adalah naib juara kumpulan B, Putra Perwira, selepas menewaskan SA United dengan jaringan 3-0. Kedua-dua pasukan pernah bertemu dua minggu lalu dimana mereka seri 1-1. Kali ini, Putra Perwira memastikan pertemuan semula diakhiri dengan kemenangan besar selepas menang 3-0 hasil dari jaringan S. Sridhar, P. Haresh dan Ikhsan Miskob. 

Liga Bahagian 1

Dalam perlawanan di antara dua pasukan yang rancak menjaringkan gol, KRU muncul pemenang selepas mengatasi Puchong Hunters dengan keputusan 3-1. Mohd Suhaili membuka tirai gol perlawanan pada minit 21 sebelum Khairul Zulkifli menggandakan jaringan dalam masa tambahan separuh masa pertama. Khairul sekali lagi menjaringkan gol pada minit 38 dan jaringan Haiqal Danial sebelum tamat perlawanan merupakan gol saguhati untuk Puchong Hunters.

Walaupun kedua-dua pasukan banyak menjaringkan gol pada musim ini, MBSJ dan Bukit Rotan Baru terikat 0-0 dan menarik perlawanan ke sepakan penalti. Setelah Ahmad Noor Taufeq gagal melunaskan sepakan penalti beliau, tugas berat untuk menjaringkan penalti kemenangan jatuh di bahu M. Thineshwaran. Tetapi, percubaan beliau terkena tiang. Kejayaan Muhd Naim Shah menjaringkan percubaan untuk MBSJ dan kegagalan K. Ravikumar gagal menyempurnakan sepakan sendiri, memberikan MBSJ kemenangan 5-4 dalam sepakan penalti tersebut.

Liga Bahagian 2

Perlima United memaparkan dominasi setelah menang 4-0 ke atas Birchwood Jr. Birchwood Jr sebelum ini berjaya mengikat Perlima United 1-1 dalam peringkat kumpulan. Jaringan Faris Khairi sebelum tamat separuh masa pertama menjadi pemangkin pesta gol tidak lama selepas separuh masa kedua bermula. Tiga jaringan yang dihasilkan dalam jangka 12 minit oleh Ramzie Rawadi, Izat Emir dan Ku Mohamad Nazran memastikan Perlima United layak ke perlawanan akhir.

KKB Brotherhood pasti menjadi cabaran sengit untuk Perlima United setelah menwaskan Kg Jawa Brothers dengan keputusan 2-1, mengekalkan rekod 100% kemenangan pada musim ini. Muhd Afeis dan Syahriman Syafii masing-masing berjaya meletakkan nama sebagai penjaring perlawanan bagi pasukan KKB Brotherhood pada minit 24 dan 51. P. Rohit memberikan Kg Jawa harapan dengan gol minit 66, tetapi KKB Brotherhood berjaya mengekang kemaraan Kg Jawa sekaligus menempah tiket ke perlawanan akhir Liga Bahagian 2 FAS 2023.

Berita Terkini