Piala FAS Separuh Akhir: SFC Youth, MP Sepang Masuk Perlawanan Akhir

ARTIKEL OLEH:

Selangor FC (SFC) Youth dan MP Sepang bakal bertemu dalam perlawanan akhir Piala FAS pertama dalam sejarah selepas menang perlawanan separuh akhir masing-masing dengan gaya yang sama iaitu dramatik dan mendebarkan.

Buat kali ke-empat, SFC Youth menyempurnakan sepakan penalti lagi sekali untuk mengejutkan pasukan separuh akhir Liga Super, Gombak FA yang tidak pernah kalah dalam musim Liga FAS ini selepas seri 1-1. Walaupun SFC Youth mempunyai lebih banyak penguasaan, Gombak FA dapat lebih banyak peluang di mana percubaan Hafizi Abdul Halim terkena palang pada minit ke-52 merupakan peluang terbaik.

Tetapi pada minit ke-65, SFC Youth diberikan sepakan penalti setelah Airi Mukmin dihukum menggunakan tangan untuk mengawal bola selepas percubaan jauh Aliff Izwan terkena tiang. Sepakan penalti tersebut berjaya disempurnakan oleh Aliff Izwan. Tetapi pada minit terakhir masa tambahan, pemain pertahanan Gombak, Low Chun Keong melengkapkan hantaran Hafizi dan berjaya mendapatkan gol penyamaan dari percubaan rendah beliau untuk memaksa sepakan penalti.

Selepas percubaan Nur Rizzham Norman dari Gombak FA dan Alif Aiman dari SFC Youth dinafikan, Ammar Shafiq mempunyai peluang untuk memaksa “kalah mati”. Tetapi percubaan beliau melambung ke udara dan memberikan SFC Youth kemenangan 4-3 dalam penalti.

Pasukan Liga Super, MP Sepang juga perlu melalui perlawanan yang dramatik dan sepakan penalti untuk mengatasi KS TPCA dari Liga Perdana di mana kedua-dua pasukan baru-baru ini tersingkir dari suku akhir liga masing-masing. 

Walaupun TPCA mendominasi seluruh separuh masa pertama dengan banyak percubaan, namun MP Sepang yang membuka tirai gol. Kurang satu minit selepas separuh masa kedua bermula, K. Vinoth berjaya mengarahkan percubaan beliau ke dalam gawang gol untuk meletakkan MP Sepang di hadapan.

Tetapi pada minit ke-48, MP Sepang gagal bertahan sepakan percuma Wan Mohahmad Hairi dari sayap kanan, dan Aiman Nul Hakim tidak dikawal rapi di tiang jauh untuk melancarkan percubaan rendah yang kuat ke dalam gol. Enam minit kemudian, Aiman kali ini menjaringkan gol terus dari sepakan percuma sayap kiri di mana penjaga gol MP Sepang Yusri Aiman mungkin dikelirukan oleh kehadiran Azfar Azhar di depan beliau yang menyebabkan bola terus masuk ke gawang gol.

Selang satu minit kemudian, MP Sepang mendapat penalti selepas Vinoth dijatuhkan oleh penjaga gol TPCA, Syahril Mat Isa selepas beliau tertumpah bola. Namun, Akmal Hakim Endri terlepas sasaran gol dari sepakan tersebut. Namun begitu, Akmal berjaya bangkit balik dengan menjaringkan sepakan percuma dalam masa tambahan dan menyelamatkan peluang MP Sepang.

Walaupun percubaan Syahizat Ab Hadi tidak disempurnakan untuk MP Sepang, percubaan Hairi tidak menemui sasaran dan percubaan Farhan Annuwar berjaya dihentikan oleh Yusri. Ini membawa Harith Hizamin untuk mengambil peluang keemasan untuk MP Sepang dan berjaya menyempurnakan percubaan tersebut, memberikan mereka tiket kedua ke perlawanan akhir Piala FAS.

Berita Terkini