MBSA, Kelana United, KRU, dan KKB Brotherhood Muncul Juara Liga FAS

ARTIKEL OLEH:

Liga FAS edisi 2023 berakhir pada hujung minggu lalu di mana empat pasukan telah berjaya dinobatkan sebagai juara liga masing-masing merentasi empat tahap.

Di Liga Super, pasukan MBSA memerlukan satu jaringan sahaja untuk menewaskan Boss FC 1-0. Dua-dua pasukan pernah bertemu pada perlawanan minggu pertama Liga Super di mana Boss FC menang 1-0 dan merupakan kekalahan tunggal MBSA pada musim ini. 

Sepakan percuma M. Kalairasan ditandukkan oleh Izman Solehin dan bola tersebut disempurnakan oleh Mahdi As-Sharif yang melancarkan ‘volley’ untuk menghasilkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-16 dan gol tersebut adalah cukup menjadikan MBSA juara Liga Super FAS 2023.

Kelana United berjaya menewaskan pasukan Putra Perwira dengan keputusan 1-0. Dua-dua pasukan tersebut juga pernah berentap di peringkat kumpulan di mana Kelana United menang dengan jaringan 3-1. Namun, pertemuan kali ini menjadi lebih susah untuk Kelana United menebusi gawang gol Putra Perwira setelah penjaga gawang, Khairil Ikhwan Azman menghentikan hampir setiap serangan dari Kelana United. 

Akhirnya, Kelana United berjaya menjaringkan gol pada minit 67 selepas kekkiluran di depan gol Putra Perwira di mana percubaan Aizul Razali Ridzwan yang terkena palang dijaringkan oleh tandukan Ilyia Fitri untuk memberikan Kelana United kejuaraan Liga Perdana FAS 2023 dan kelayakan ke Selangor Champions League pada tahun ini.

KRU muncul juara Liga Bahagian 1 FAS 2023 setelah mengatasi MBSJ 2-0. Gol pertama dijaringkan oleh Razif Hafizi pada minit 13 selepas hantaran rendah Alafi Mahmud berjaya menebusi barisan pertahanan pasukan MBSJ. 

Selang 9 minit, sepakan percuma Alafi menyebabkan kekeliruan di dalam kotak penalti. Tandukkan Khairil Anwar Supeno yang terkena tiang berjaya disudahkan oleh Zulfaiq Hairolnizam untuk gol kedua KRU dan mereka berjaya menahan apa-apa serangan MBSJ melancarkan sampai akhir perlawanan

Dalam perlawanan akhir Liga FAS Bahagian 2 di antara dua pasukan yang beraksi dengan rekod tanpa kalah dalam liga tahun ini, KKB Brotherhood berjaya menundukkan Perlima United dengan keputusan 2-0 untuk mengakhiri musim Liga FAS mereka dengan 100% rekod kemenangan. KKB Brotherhood mempunyai beberapa peluang keemasan pada awal perlawanan dan usaha mereka dilunaskan pada minit 19 di mana Alif Saidatul Azman melancarkan percubaan kuat dari jarak jauh dengan sentuhan pertama.

Suasana perlawanan menjadi lebih baik bagi KKB Brotherhood apabila penjaring terbanyak liga, Shahriman Syafii berjaya menghasilkan gol dengan sentuhan ringan selepas melepasi tekanan pemain pertahanan Perlima, Adam Danial. Percubaan Perlima United untuk kembali bangkit berjaya dikekang oleh KKB Brotherhood dan sekaligus menjadikan KKB Brotherhood juara Liga Bahagian 2 FAS bagi edisi 2023.

Berita Terkini