SCL Playoffs MD 1: KRU, Najmi Daftar Kemenangan Tipis, Perlima Menang Perlawanan Mendebarkan

ARTIKEL OLEH:

Playoff Selangor Champions League (SCL) 2023 telah bermula pada minggu lalu di mana beberapa pasukan yang pernah bertanding memulakan kempen SCL 2023 mereka dengan langkah kanan. Apa yang berlaku pada hujung minggu lalu?

Kumpulan A

Naib juara Liga UOW 2023, Najmi SFFC hanya memerlukan satu gol untuk menewaskan juara Empire Booster League, FC Jerantut. Gol luar biasa Ezmie Naim dari tengah padang mengapung atas penjaga gawang, Mohd Izwan Mat dan ia cukup bagi Najmi SFFC membawa pulang tiga mata berharga bagi perlawanan minggu pertama.

Spirito FC, juara Z&S League, pula menjangkakan satu gol mereka sudah cukup untuk memperoleh tiga mata hasil gol Khairul Adha Borhanudin pada minit 56 untuk mengalahkan Ingress FC. Tetapi pada minit ke-3 masa tambahan, pemain simpanan Ingress FC, Ikhsan Miskob menjaringkan gol penyamaan untuk mengakhiri perlawanan dengan keputusan seri 1-1

Kumpulan B

Dua-dua perlawanan dalam Kumpulan B iaitu Jibril FC menentang KDEB dan Tebuan menentang Sijangkang City terpaksa ditunda oleh sebab keadaan padang yang tidak memuaskan akibat hujan lebat.

Kumpulan C

Perlawanan melibatkan Perlima United dan AS Gaison yang merupakan naib juara Selangor Social Premier League (SSPL) Shah Alam Div. 1, berkesudahan dengan keputusan tipis 3-2. Farid Lokman meletakkan Perlima United di hadapan pada minit 18, tetapi diikat keputusan juga pada minit 18 oleh Azizul Ikhwan melalui sepakan penalti. Azizul sekali lagi menjaringkan gol tujuh minit kemudian selepas hantaran rendah beliau menebusi barisan pertahanan.

Perlima United memperoleh jaringan penyamaan melalui sepakan percuma yang disempurnakan oleh Ramzie Rawadi sebelum tamat separuh masa pertama. Beliau juga menjaringkan gol kemenangan pada minit 53 selepas menyudahkan percubaan Faris Khairi yang terkena tiang.

Juara Liga Bahagian 2 FAS 2023, KKB Brotherhood dan juara ALigue Championship Kajang, Northern Merbau gagal mengambil peluang serangan masing-masing dan terpaksa berkongsi satu mata selepas seri 0-0.

Kumpulan D

Nuriskandar Abdul Hamid menyambung momentum yang beliau bawa dari Liga Bahagian 1 FAS 2023 selepas menjaringkan gol pada minit terakhir perlawanan untuk KRU menewaskan naib juara Liga Isma Permata, Lestari Junior 1-0. Nuriskandar yang menanduk masuk hantaran sepakan penjuru pada minit 70 memberikan kemenangan penting pasukan KRU dalam kempen SCL 2023 mereka.

Juara Shah Alam Championship League, Bujangga dan naib juara Arena Super League, AAK pula seri 1-1 di mana dua-dua gol tersebut dijaringkan melalui sepakan penalti. Bujangga memperoleh jaringan pertama pada minit 17 melalui sepakan penalti yang disempurnakan oleh Khairul Fitri. Naufal Akif juga berjaya menyamakan kedudukan bagi pasukan AAK setelah diberi sepakan penalti. Namun, dua-dua pasukan gagal mendapatkan gol kemenangan perlawanan.

Berita Terkini