- 10 Pemain? Tidak Mustahil
Walaupun mereka terpaksa bermain dengan 10 pemain untuk hampir seluruh perlawanan, Sijangkang City dan Kelana United masih dapat meraikan kemenangan atas OSV Ampang dan MPKJ masing-masing.
Sijangkang terpaksa bermain dengan 10 pemain pada seluruh perlawanan kerana gagal menyenaraikan seorang pemain U20 mengikut syarat pertandingan. Namun, Sijangkang berjaya mengejutkan OSV, dengan dua gol oleh Akhir Bahari dan Hadi Mizei pada separuh masa pertama. Ditambah pula dengan pembaziran peluang, malam OSV menjadi lebih teruk setelah Ridhwan Johan dan Farhan Ab Hamid dilayangkan kad merah pada separuh masa kedua.
Berbeza di perlawanan Kelana United, tugasan mereka menjadi sukar apabila Arman Fareez ditunjukkan kad merah pada minit ke-16. Walaupun ditekan berat oleh serangan MPKJ, Ahmad Fakri Saarani mengejutkan semua dengan goal dari jauh yang hampir pasti menjadi calon ‘Goal Of The Season’. MPKJ pula gagal menjaringkan gol, walaupun bertungkus-lumus mencari satu dan bermain dengan sebelas orang melawan Kelana yang kekurangan seorang.
- Semakin Lama, Semakin Kuat
Mereka memulai kempen SCL pertama dengan langkah kiri. Sejak kalah 0-4 kepada Najmi SFFC Kota Damansara, Bandar Putera 2 (BP2) mungkin sudah berjaya mencari formula yang selesa setelah mereka membenam Rawang Mozyda 5-1. Dua hantaran Zahrul Nizam menyebabkan jaringan sendiri oleh Salehin Zubir dan Syazwan Rani manakala Muhd Muzhaffar, Ibrahim Azfar Harun dan Haikal Raffie memaniskan kemenangan BP2 di mana semua pemain berjaya menambahkan gol. Walaubagaimanapun, mereka gagal mendapatkan ‘clean sheet’ setelah Faizul Herman menjaringkan gol sagu hati sebelum masa penuh untuk Mozyda.
Dengan keputusan ini, BP2 memotong Mozyda ke tempat ke-empat dan menduduki tempat kelayakan akhir manakala kekalahan berat ini pasti akan merisaukan Mozyda setelah tewas untuk kali kedua berturut walaupun mereka sentiasa menyerang secara konsisten dan menghasilkan banyak peluang.
- MP Sepang Menyingkir Nossa?
Menuju ke perlawanan ini, MP Sepang dan Nossa Bukit Jelutong berada dalam posisi yang bahaya di mana satu kekalahan lagi akan menyusahkan tugasan mereka untuk layak ke pusingan seterusnya. Keputusan seri juga tidak membantu peluang kelayakan mereka. Akhirnya, MP Sepang muncul pemenang dengan keputusan 1-0.
Tetapi keputusan mungkin berbeza jika Nossa mengambil peluang pada separuh masa pertama, terutamanya melalui tandukan Amin Khalili, yang tidak dijaga oleh pemain pertahanan Sepang tetapi terkena palang gol. Namun, MP Sepang dapat menguasai separuh masa kedua dan R. Gobi menjadi wira Sepang selepas beliau menjaringkan hantaran pemain gantian Ahmad Qushairi.
Keputusan ini memberikan MP Sepang harapan yang tipis untuk layak ke peringkat seterusnya. Manakala Nossa memerlukan keajaiban setelah kalah empat kali berturut-turut walaupun mereka telah menambah baik corak permainan baru ini.
- Najmi Tidak Akan Putus Asa
Kalau ini bukan tanda Najmi SFFC Kota Damansara merupakan pencabar juara SCL, apa yang perlu mereka lakukan untuk membuktikan status tersebut? Pemain tengah Asraf Roslan merupakan wira Najmi selepas dua gol beliau memberikan kemenangan 2-1 atas Ingress KL. Tetapi, mereka perlu bekerja keras untuk mendapat tiga mata.
Ahmad Izzul Danish membuka tirai gol perlawanan untuk Ingress di mana mereka juga sepatutnya menjaringkan satu atau dua gol lagi selepas prestasi bab pertama yang baik. Walau bagaimanapun, Najmi dapat mengawal perlawanan pada separuh masa kedua dan Asraf berjaya menjaringkan gol penyamaan pada mini ke-52.
Najmi meningkatkan tekanan serangan untuk mencari satu lagi gol dan tiba-tiba dalam masa tambahan, Asraf melancarkan ‘volley’ yang mara ke jaringan gol sekaligus membenarkan tiga lagi mata untuk Najmi. Oleh sebab itu, mereka masih menduduki tempat pertama kumpulan B.
- Keputusan 1-0 Sebanyak 4 kali.
Pada minggu kedua yang berturut-turut, minggu perlawanan ini menyaksikan sesetengah dari lapan perlawanan berakhir dengan keputusan 1-0. Dengan perlawanan Nossa Bukit Jelutong/MP Sepang dan Kelana United/MPKJ dalam kumpulan B, NPNG Damansara Perdana, MBPJ dan Gamestop Alam Megah juga menang 1-0 atas Kajang Bujangga, Belia Selangor dan KRU Port Klang masing-masing dalam Kumpulan A.
Yazid Kamaruzuan dengan rembatan yang kuat pada minit ke-25 memberikan NPNG kemenanangan manakala tandukan kapten MBPJ Adam Syafiq Fuaad pada minit ke-9 melalui sepakan percuma jauh Aliff Mazlan. Jaringan Asnan Awal Hisham cukup untuk memberikan Gamestop tiga mata di mana mereka mengalami tekanan tinggi serangan KRU, tapi berjaya menahan dan mengecewakan pihak lawan.
Dengan keputusan ini, NPNG, MBPJ dan Gamestop sekarang menduduki tiga tempat teratas Kumpulan A. Tetapi MBPJ dan Gamestop bakal bertemu manakala NPNG akan berjumpa pasukan tempat keempat KRU Port Klang pada perlawanan seterusnya dalam pertembungan “Top Of The Table”.