Bintang Najmi Bersinar Lagi
Siapa boleh hentikan momentum Lukman Hakim Zulkepli? Penyerang Najmi SFFC Kota Damansara menjadi ‘man-of-the-match’ pada kali ketiga beturut-turut setelah menjaringkan dua lagi gol dalam kemenangan Najmi atas Rawang Mozyda 3-1.
Lukman membuka tirai jaringan dengan chip yang hebat, menghukum penjaga gol Mozyda, Sazrin Che Daud, yang cuba memintas hantaran jauh Shamsuri Saleh sebelum Lukman. Lukman juga menyempurnakan sepakan penalti setelah Shamsuri dijatuhkan dalam kotak tidak lama kemudian. Lukman kini merupakan penjaring gol terbanyak SCL 2022 dengan lima gol dan tiada petanda beliau akan berhenti.
Hamizan Tunjuk Sebab Untuk Diturunkan
Soe Zhao Hoe membuka tirai gol pada minit ke-13 menyambung sepakan penjuru K. Darwin Raju. Walaubagaimanapun, OSV Ampang tidak dapat menambah jumlah gol sehingga akhir separuh masa pertama. Kemasukan Hamizan Hamzah pada separuh masa kedua memusnahkan impian Kajang Bujangga.
Beliau terus menjaringkan dua gol, pertama melalui ‘tap-in’ dari hantaran rendah bek kiri, Syed Muhd Nabil dan gol kedua sebelum masa penuh mungkin boleh dianggap sebagai ‘Goal of The Week’ apabila beliau menggelecek beberapa pemain pertahanan Bujangga memasuki kotak penalti dengan lincah sebelum menjaringkan gol.
Ini merupakan kali ketiga berturut-turut Hamizan Hamzah dibawa masuk dari bangku simpanan dan lagi sekali mempengaruhi permainan OSV. Beliau menang dan menjaringkan penalti kemenangan pada minggu pertama dan ‘assist’ gol tunggal lawan NPNG mminggu lepas. Soalan yang perlu ditanya, mengapa Hamizan masih tidak diturunkan dalam kesebelasan utama?
MPKJ Buntu
Walaupun mendominasi perlawanan, MPKJ digagalkan oleh Bandar Putera 2 (BP2) 0-0. Terdapat bayangan MPKJ akan terus menyambung rentak kemenangan selepas mengatasi Nossa Bukit Jelutong 4-0 pada perlawanan lepas. Namun, barisan pertahanan BP2 berjaya menahan setiap serangan MPKJ yang bertungkus-lumus untuk memecahkan kebuntuan, tapi gagal.
Pemain pertahanan BP2, Zhorif Farhan menjadi faktor utama atas keputusan tersebut sebagai pemain yang paling bertenang dan menghalang penghantaran MPKJ ke dalam kotak, membuntukan penyerang MPKJ, terutamanya Firdaus Musa dan Terrence Marieselvam sekaligus membantu BP2 mendapat satu mata.
Satu Gol Sahaja Diperlukan
Dari lapan perlawanan pada minggu ketiga SCL 2022, sesetengah daripadanya berakhir dengan keputusan 1-0. NPNG Damansara Perdana, Ingress KL, Kelana United dan MBPJ semua meraikan kemenangan secara tipis
NPNG mengalahkan Gamestop Alam Megah yang mengalami krisis pertahanan sepanjang perlawanan sehingga meletakkan pemain penyerangnya dalam posisi tersebut manakala tiga pasukan yang lain memerlukan sepakan penalti untuk mengatasi pasukan perlawanan masing-masing. Keputusan 1-0 mungkin bukan cantik, tapi sangat berharga kerana satu gol sudah cukup mendapatkan tiga mata hasil pertahanan yang kuat.
Pasukan Dalam Zon Bahaya
Tiga minggu perlawanan sudah dilepasi dan gambaran siapa akan layak dan disingkir menjadi semakin jelas. Dan tiga pasukan boleh dianggap berada dalam keadaan yang paling bahaya. Nossa Bukit Jeluntong, Kajang Bujangga dan MP Sepang terancam dengan penyingkiran daripada mara ke peringkat seterusnya selepas mengalami kekalahan pada kali ketiga secara berturut-turut.
Nossa akan berasa lebih kecewa kerana tidak mengambil kesempatan peluang-peluang keemasan mereka ketika menghadap Ingress KL manakala Bujangga dan Sepang tidak memberi banyak masalah kepada OSV Ampang dan Kelana United masing-masing. Hanya tingga empat perlawanan dan masa semakin suntuk untuk tiga pasukan tersebut untuk menyelamatkan kempen SCL 2022 mereka.
Keputusan penuh perlawanan minggu 3
Gamestop Alam Megah 0-1 NPNG D. Perdana
Nossa Bukit Jelutong 0-1 Ingress KL
Bandar Putera 2 0-0 MPKj FC
Rawang Mozyda 1-3 Najmi SFFC K. Damansara
Kelana United 1-0 MP Sepang
OSV Ampang 3-0 Kajang Bujangga
KRU Port Klang 2-0 Belia Selangor
MBPJ 1-0 Sijangkang City