Reviu FAS WSL 2023: ‘Talking Points’ Perlawanan Separuh Akhir

ARTIKEL OLEH:

Kedua-dua perlawanan separuh akhir memerlukan sepakan penalti selepas keputusan seri 0-0 dan akhirnya MBSJ dan UPNM berjaya muncul pemenang keatas Kelana United dan FC Spicegals masing-masing.

Bagi perlawanan MBSJ/Kelana United, kedua-dua pasukan tidak dapat dipisahkan dalam perlawanan yang seimbang di mana barisan pertahanan mereka berjaya menghalang serangan lawan masing-masing.

Penentuan sepakan penalti yang berlangsung di antara MBSJ dan Kelana kekal terikat selepas setiap pusingan penalti ‘sudden death’ dengan kesemua pemain yang berada di atas padang ditugaskan untuk menyepak sepakan penalti.

Akhirnya, percubaan kedua Nur Ainsyah Murad dihalang oleh Zawani dan kapten MBSJ Steffi Sarge Kaur menjaringkan sepakan untuk menghantar MBSJ ke perlawanan akhir. Namun, pemain tengah yang juga tonggak utama, Siti Asnidah Zamri akan terlepas perlawanan tersebut selepas beliau dilayangkan kad kuning kedua sebelum masa penuh.

UPNM dan FC Spicegals juga bernasib sama dan memerlukan sepakan penalti selepas seri 0-0. Spicegals berjaya menahan serangan dan pengusaan UPNM untuk memaksa perlawanan sepakan penalti. Namun, penyerang UPNM Henrietta Justine hampir menjaringkan gol kemenangan pada minit terakhir dalam posisi yang bagus, tetapi percubaannya tersasar.


Selepas dua-dua pasukan menjaringkan tiga percubaan pertama masing-masing, mereka tersasar dua penalti seterusnya di mana ‘sudden death’ sekali lagi diperlukan. Tidak seperti perlawanan MBSJ/Kelana, perlawanan tidak menunggu lama untuk tamat. Pada pusingan keenam, percubaan Mira Fazliana untuk Spicegals terkena tiang dan penjaga gol Nurul Azurin Mazlan menjaringkan percubaan beliau untuk menempah tiket ke perlawanan akhir UPNM.


Perlawanan akhir FAS Women’s Super League di antara MBSJ dan UPNM akan diadakan di Stadium Petaling Jaya pada Ahad ini pada pukul 5 petang bersempena dengan Hari Bolasepak Selangor 2023.

Berita Terkini