Reviu FAS WSL 2023: ‘Talking Points’ Perlawanan Minggu 4

ARTIKEL OLEH:

  1. Intan Sarah Di Puncak Carta Penjaring Terbanyak

Selepas kemarau gol dalam dua perlawanan lepas, Intan Sarah Anisah kembali dengan penuh impak selepas menjaringkan ‘hat-trick’ sekali lagi dalam perlawanan di mana Kelana United menewaskan Sternen FC 7-0.

Walaubagaimanapun, Kelana terpaksa menunggu sehingga penghujung babak pertama untuk membuka tirai gol melalui pemain baru, Nur Najwa Irdina yang memulakan senarai penjaring gol untuk Kelana. Selepas Nurin Umairah Manan menggandakan jumlah gol, Intan Sarah terus menjaringkan ‘hat-trick’ dalam enam minit sahaja dari minit ke-49 manakala Nurul Nadia Roslan dan Nur Najwa turut serta dalam senarai nama penjaring.

Dengan ‘hat-trick’ keduanya pada musim ini, Intan Sarah pada ketika ini merupakan penjaring terbanyak dengan enam gol.

  1. Satu Gol Yang Penting Untuk UPNM Buat Kali Ketiga

Untuk kali ketiga dalam empat perlawanan, UPNM cuma memerlukan satu gol untuk mengatasi UiTM Lioness 1-0. Dengan penguasaan bola yang seimbang, UiTM mempunyai lebih banyak percubaan berbanding dengan UPNM. Namun, mereka gagal mengambil peluang tersebut di mana penjaga gol UPNM, pemain kebangsaan Nurul Azurin Mazlan merupakan salah satu faktor penting dalam kemenangan ini dengan enam ‘saves’.

Akhirnya, UPNM mendapat gol kemenangan dari sepakan penalti selepas penjaga gol UiTM Nur Syazwani Zainal Abidin melanggar Eva Olivianie Antinus selepas gagal menangkap sepakan percuma Henrietta Justine. Henrietta dengan sewajarnya menyempurnakan sepakan penalti untuk memberikan UPNM tiga lagi mata.

  1. Jangan Ambil Remeh FC SWAT

FC SWAT perlu bekerja keras untuk mengatasi PJKita FC 2-1 selepas ketinggalan pada separuh masa kedua. PJKita menguasai perlawanan yang menyebabkan SWAT  bertungkus-lumus untuk mendapat kawalan perlawanan. PJKita layak berada di hadapan selepas lapan minit melalui sepakan percuma Siti Maziah yang terbang diatas penjaga gol SWAT Nurul Affrina Natasha sebelum memasuki gawang gol.

Namun, SWAT tidak berputus asa dan walaupun mempunyai penguasaan bola yang lebih rendah, corak permainan dan gerakan lincah mereka menyebabkan dua gol dijaringkan dalam beza masa tujuh minit. Hantaran Ernie Sulastri menjumpai Siti Nabila Jamin untuk gol penyamaan. Selepas itu, Siti Nabila menghasilkan satu ‘assist’ setelah Nur Izzati Rosni mengutip hantaran ‘through ball’ beliau dan melancarkan rembatan kencang untuk jaringan yang juga menjadi gol kemenangan.

  1. Tujuh Pasukan Tempah Tiket Suku-Akhir

UPNM, Kelana United, FC SWAT dan UiTM Lioness (Walaupun kalah), FC Spicegals, MBSJ dan SSS Leopard berjaya layak ke suku akhir selepas mendaftarkan kemenangan yang meyakinkan. FC Spicegals mengalahkan NSFA 5-0 di mana terdapat lima penjaring yang berbeza manakala MBSJ tidak memberikan SA United ruang bernafas dalam kemenangan 3-0 mereka.

Untuk SSS Leopard, prestasi yang bagus daripada Dian Aqilah dan Kanchenjeet Kaur membantu pasukan mereka untuk menang 4-1. Dian menjaringkan dua lagi gol peribadi dan Kanchenjeet mendaftar tiga ‘assist’. Oleh kerana Leopard mempunyai kelebihan ‘head-to-head’ atas Sternen yang berada di belakang, Leopard pastinya akan berada di peringkat seterusnya.

  1. Masih Ada Peluang Untuk Tiga Pasukan

Sebaliknya, cuma ada satu tempat suku akhir lagi yang perlu diisikan dan pasukan ini akan datang daripada Kumpulan A. PJKita, NSFA dan SA United masih ada peluang untuk layak. Bagi SA United, walaupun mereka berada di bawah Kumpulan A, mereka boleh layak jika dapat menang keatas PJ Kita. Walaubagaimanapun, mereka perlu menang dengan empat gol jika mereka hendak layak melalui perbezaan gol keseluruhan.

PJKita pula ada kelebihan atas perbezaan gol yang lebih baik keatas NSFA. Mereka cuma perlu menang keatas SA United untuk 100% pasti ke suku akhir. Jika PJKita gagal menang, mereka memerlukan NSFA juga gagal menang lawan FC SWAT. Tambahan pula, jika PJKita kalah, mereka hanya boleh tewas dengan tiga gol untuk mengekalkan kelebihan perbezaan gol atas SA United. NSFA pula perlu menunggu keputusan SA United/PJKita yang akan dijalankan dahulu untuk mendapat gambaran yang lebih cerah bagi menentukan nasib mereka.

Keputusan penuh perlawanan minggu 4 FAS WSL 2023

Kumpulan A

Spicegals 5 – 0 NSFA

MBSJ 3 – 0 SA United

PJ Kita 1 – 2 FC SWAT

Kumpulan B

PNSB 1 – 4 SSS Leopard

UiTM 0 – 1 UPNM

Sternen 0 – 7 Kelana United

Berita Terkini