Preview Perlawanan Akhir Liga Junior FAS (U16)

ARTIKEL OLEH:

Setelah meliputi perlawanan akhir kategori umur U8, U10, U12, & U14 dalam Liga Junior FAS dalam dua artikel sebelum ini, hanya satu kategori yang belum dibahaskan. Pasukan manakah akan bertanding dalam peringkat akhir kategori U16 dan bagimana mereka sampai di sini?

DSSB (Damai Sepadu Sdn Bhd)

DSSB adalah juara kumpulan B dengan enam kemenangan dan satu seri, serta mencetak 24 gol dan hanya bolos dua gol. Dua-dua gol yang diboloskan terjadi ketika perlawanan menentang Harimau United di mana mereka menang dengan jaringan 6-2, dan itulah satu-satunya kali mereka kebolosan selama peringkat kumpulan berjalan. Satu pasukan yang mereka gagal kalahkan adalah melawan naib juara kumpulan, Klang Gate di mana dua-dua pasukan seri 0-0

Pada peringkat kalah-mati, DSSB menewaskan Black Eagle Academy, walaupun mereka harus bangkit dari ketinggalan 0-1 dari awal perlawanan. Perlawanan tersebut adalah kali kedua dan kali terakhir DSSB membolosi gol. Namun, DSSB harus berusaha keras dalam suku akhir ketika mereka menghadapi Isma Shah Alam dengan kemenangan 1-0. Kemudian di peringkat separuh akhir, DSSB bertemu dengan Klang Gate lagi sekali, dan kali ini DSSB menang 2-0 hasil jaringan Ammar Hariz dan Kalish Fakhrey pada separuh masa kedua untuk mara ke peringkat akhir.

Kalish Fakhrey adalah satu faktor penting dalam kempen DSSB pada tahun 2023. Beliau merupakan penjaring terbanyak pasukan dengan sembilan gol, termasuk gol yang dijaringkan di peringkat suku akhir dan separuh akhir yang membantu DSSB mencapai slot peringkat akhir. Seluruh barisan pertahanan DSSB juga merupakan faktor penting dalam kejayaan DSSB setakat ini. Mereka hanya melepaskan tiga gol dan mencatatkan lapan ‘clean sheet’, yang merupakan jumlah tertinggi di kalangan semua pasukan dalam kategori U16, menunjukkan bahawa barisan pertahanan mereka sukar untuk ditembusi. Walau bagaimanapun, barisan pertahanan mereka bukanlah satu-satunya yang kukuh dalam perlawanan baru-baru ini.

PNSB (Pemodalan Negeri Selangor Bhd)

PNSB berjaya menamatkan Kumpulan C sebagai juara kumpulan dengan memenangi enam perlawanan dan hanya mengalami satu kekalahan, menamatkan peringkat kumpulan dua mata di atas Permata Peka24, yang mereka kalahkan dalam perlawanan kelima dengan keputusan 2-1. Kekalahan tunggal mereka dalam peringkat kumpulan adalah ketika mereka bertemu dengan Serayan dalam perlawanan ketujuh. Tetapi pada ketika itu, PNSB sudah layak ke peringkat seterusnya.

PNSB memerlukan penalti untuk menewaskan Kingstown Klang selepas seri 0-0 pada peringkat 16. Namun, mereka melakukannya tanpa gawang gol ditebusi semasa sepakan penalti tersebut, menang 3-0. Dalam peringkat suku akhir, mereka berhadapan dengan Mozyda dalam perlawanan ulangan. Seperti dalam minggu perlawanan keenam peringkat kumpulan, PNSB memenangi perlawanan dengan keputusan yang sama, 2-0 untuk layak ke separuh akhir dengan Haikal Fitri sekali lagi menjaringkan gol menentang Mozyda, sama seperti yang beliau lakukan di peringkat kumpulan di mana dua-dua pasukan bertemu.

Dalam peringkat separuh akhir, selepas menjaringkan gol kedua menentang Mozyda dalam suku akhir, Haziq Fazli menjadi wira pada kali ini menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-17 yang membawa PNSB ke perlawanan akhir. Sementara PNSB berharap agar Haziq Fazli dan Haikal Fitri sekali lagi menghasilkan gol yang penting dalam perlawanan akhir, pertahanan mereka juga telah membuktikan mereka susah ditembusi dalam perlawanan terkini. Mereka telah mencatatkan enam keputusan bersih dan masih belum kehilangan gol sepanjang peringkat kalah mati.

Berita Terkini