Piala FAS Suku Akhir: SFC Youth, Gombak FA, MP Sepang, TPCA Terus Ke Separuh Akhir

ARTIKEL OLEH:

SFC Youth, Gombak FA, TPCA dan MP Sepang menuju satu langkah lebih dekat untuk menjadi juara Piala FA Selangor 2023 selepas memenangi perlawanan mereka masing-masing di suku akhir.

SFC Youth sekali lagi memerlukan sepakan penalti pada kali ketiga dalam pertandingan untuk menewaskan KSB UiTM dengan keputusan 3-2 selepas seri 2-2. UiTM menjaringkan gol terlebih dahulu melalui percubaan chip Asyraaf Rifqi, namun Fakhri Azri menyamakan kedudukan melalui percubaan rendah dari sebelah kiri kotak UiTM sebelum tamat separuh masa pertama.

Tidak lama selepas separuh masa kedua bermula, Ahmad Taufik Lukman dihadiahkan peluang keemasan dengan mengambil peluang menjaringkan gol selepas pemain pertahanan UiTM menanduk bola ke arah beliau bagi meletakkan SFC Youth di hadapan. Amirul Hisham kemudian menyamakan kedudukan lagi sekali pada minit ke-59 dan sepakan penalti diperlukan untuk menentukan pemenang.

Dalam sepakan penalti yang agak dramatik, UiTM mempunyai peluang untuk membawa sepakan ini ke kalah mati selepas Azrul Nazhan menafikan Syazan Zamri. Namun percubaan Hariz Husaini untuk UiTM terkena palang yang memberikan SFC Youth tiket ke pusingan separuh akhir.

Gombak FA juga memerlukan sepakan penalti untuk menewaskan Bukit Kapar dari Liga Perdana. Kedua-dua pasukan diikat tanpa sebarang jaringan, namun tandukkan Hafizi Abdul Halim untuk Gombak pada minit 60 dibatalkan akibat “offside”. Semasa sepakan penalti, semua pemain berjaya menjaringkan percubaan sehingga sepakan terakhir di mana penjaga gol Gombak, Ahmet Akif berjaya menafikan percubaan Fittri Shazwan untuk memastikan Gombak mara ke separuh Akhir.

Pasukan Liga Super, MP Sepang pula menang menentang Genpro dari Liga Bahagian 1 dengan keputusan 3-1. K. Vinoth meletakkan MP Sepang di hadapan selepas 7 minit dan sepakan percuma Harris Syazwan dari sayap kiri mengejutkan semua setelah terus masuk ke tiang pada minit ke-20.

Genpro merapatkan jurang dari sepakan penalti Aiman Shakir pada minit 43. Tetapi, Harith Hizamin menjaringkan gol ketiga MP Sepang pada minit 57 dan ini memastikan MP Sepang layak, namun Aiman terbaring cedera pada saat-saat sebelum gol tersebut. Sebelum masa tambahan perlawanan kedua, satu kekasaran terhadap pemain MP Sepang mencetuskan pentengkaran antara dua pasukan yang menyebabkan tiga pemain dilayangkan kad merah, dua kepada Genpro dan satu ke MP Sepang.

TPCA, yang baru ini sah menjadi juara Kumpulan A dalam Liga Perdana, meneruskan musim yang menakjubkan selepas menewaskan SFC U16 dengan keputusan 3-0. Aimannul Hakim dari jarak dekat meletakkan TPCA di hadapan selepas enam minit sahaja dan mereka menggandakan jarikan pada minit 48 melalui Syahir Jahani juga dari jarak dekat. TPCA menambah lagi kemanisan kemenangan apabila percubaan rendah Fazli Sajdon dari luar kotak semasa masa tambahan kedua berjaya masuk ke gawang gol SFC U16 walaupun bola ditepis oleh penjaga gol.

SFC Youth akan bertemu dengan Gombak FA yang pasti akan menjadi cabaran yang sukar bagi mereka dalam Piala FA FAS musim ini manakala MP Sepang akan menentang TPCA.

Berita Terkini