Piala FAS 2023 R64: Kepanasan, Banyak Gol, Dan Kemenangan Tipis

ARTIKEL OLEH:

Baki lapan perlawanan Piala FAS 2023 Pusingan 64 pasukan telah tamat pada Rabu malam dan perlawanan Pusingan 32 telah ditetapkan. Walau bagaimanapun, apa yang berlaku dalam lapan perlawanan tersebut?

Perbalahan Mengeruhkan Kemenangan Perlima United

Pasukan dari Liga Bahagian 2, Perlima United mengejutkan pihak lawan dari Liga Super, Anak Kalumpang selepas memenangi perlawanan dalam keadaan tegang dengan keputusan akhir 3-1. Perlima terpaksa bermain dengan 10 orang sejak minit ke-15 selepas Imran Hakim dilayangkan kad merah atas dianggap melakukan kekasaaran terhadap pemain Anak Kalumpang, Haiqal Iskandar. Sebelum itu, Anak Kalumpang membuka jaringan pada minit ke-3 hasil jaringan Helmi Ropaii.

Namun, Anak Kalumpang gagal mengambil kesempatan di mana Haiqal membazir peluang emas untuk menjaringkan gol kedua Anak Kalumpang dalam situasi 1v1 pada minit ke-22. Dan mereka dihukum oleh Perlima United, terutamanya Faiz Ismail yang mengambil peluang dengan menjaringkan hatrik untuk memastikan Perlima United layak ke peringkat 32 dan satu-satunya pasukan tunggal Liga Bahagian 2 di Zon Merah.

Walau bagaimanapun, kekasaran yang dilakukan terhadap pemain Perlima menjadi punca perbalahan yang tidak sepatutnya terjadi di antara pemain dari kedua-dua pasukan pada minit ke-65 dimana empat kad merah dilayangkan (satu ke Anak Kalumpang dan tiga ke Perlima United) dan perkara ini telah memburukkan perlawanan dengan pengakhiran yang tidak diingini.

*Pihak FAS memandang serius isu pergaduhan yang berlaku di dalam liga anjuran FAS. Sebarang ketidakpuasan hati ataupun aduan perlu melalui saluran yang betul dan tindakkan akan diambil sewajarnya. Tiada istilah FAS mengambil remeh bagi isu ini. Bagi musim Liga FAS 2023, pihak Jawatankuasa Tatatertib telah pun menggantung pasukan, pengurusan, pemain bahkan pengadil juga tidak terkecuali daripada dikenakan hukuman sekiranya diputuskan bersalah.

Kemenangan Margin Selesa MP Sepang, Teleflow & UiTM

MP Sepang tiada belas kasihan terhadap pihak lawan apabila mereka menewaskan ASFC 7-0. Enam pemain menyumbang jaringan di mana Syahirul Rodi, S. Tinagaran dan R. Gobi meletakkan MP Sepang di hadapan 3-0 pada separuh masa pertama. Setelah perlawanan dimulakan semula, MP Sepang menambah empat lagi jaringan dari Akmal Hakim Endri, Nik Muhd Edzwan dan dua dari Harith Hizamin sebagai tanda amaran kepada pihak lawan seterusnya dalam Piala FA, MBSJ.

Manakala Teleflow menjadi pemenang 3-0 atas pasukan Liga Bahagian 2, Harimau United. Walaupun mempunyai banyak peluang pada separuh masa pertama, Teleflow perlu tunggu sehingga minit ke-39 untuk menghasilkan jaringan oleh Israff Zahir. Israff juga mendapat penalti setelah dijatuhkan oleh penjaga gol Usamah Zubait dan ia disempurnakan oleh Fariddudin Zainal. Jaringan ketiga Teleflow dijaringkan sendiri oleh pemain dari Harimau United, Danish Ruzailan menerusi sepakan penjuru memaniskan kemenangan Teleflow dan mereka akan menentang SFC Youth pada peringkat seterusnya.

Pasukan Liga Perdana, UiTM pula menewakan Tunas Lagenda dari Bahagian 1, 4-1 hasilan dari usaha kolektif empat penjaring gol. Faris Jazmi membuka tirai jaringan pada minit ke-17 tetapi Tunas Lagenda membalas kembali tiga minit kemudian hasil dari Ahmad Izzul Danish. Namun, UiTM tidak perlu menunggu lama. Mereka kembali semula di hadapan pada minit ke-24 dijaringkan oleh Husni Ar Razzuq, dan mereka meledak lagi jaringan pada separuh masa kedua hasil jaringan oleh Aiman Aqil dan Ahmad Mujahid Roslan untuk menempah tiket perlawanan R32 menentang Smart-Focus.

Kemenangan Tipis Dan Penalti Lagi

Dalam perlawanan terakhir di antara pasukan Liga Perdana, Vulcans hanya perlu satu jaringan untuk menyingkirkan Forza Maju Jaya. Forza Maju Jaya terpaksa bermain dengan 10 orang pemain sejak minit ke-5 selepas Faaiz Zakaria bertindak melakukan kekasaran terhadap Ezzwan Danish. Walaupun Forza cuba bangkit, jaringan tunggal dari Ezzwan merupakan cukup untuk Vulcans mara ke pusingan 32 walaupun mempunyai kelebihan satu pemain pada kebanyakan perlawanan.

Bagi perlawanan lain, Genpro yang berada di Liga Bahagian 1 juga berjaya mara dengan satu jaringan hasil pada minit ke-13 daripada Neo Adyran Thomas yang berjaya menewaskan PNSB dari Liga Perdana. Manakala pasukan Liga Super, Smart-Focus terpaksa bermain sehingga sepakan penalti untuk mengatasi pasukan Liga Bahagian 2, Klasiko 3-2 dan Selangor FC Youth pula mengalahkan AU2 juga daripada sepakan penalti 5-4 di mana dua-dua perlawanan tersebut berakhir 0-0.

Berita Terkini