Piala FAS 2023 R32: NPNG Terus Mara, Pemain Muda Mengatasi Pasukan Liga Super

ARTIKEL OLEH:

Malam tadi berlangsungnya lagi perlawanan Piala FA Selangor yang mana terdapat pasukan yang berada di Zon Merah dan Zon Hijau yang mana terdapat berberapa keputusan yang boleh menarik perhatian. Apa yang berlaku pada malam tersebut?

NPNG Menang Tipis Atas Kelana United

Ini merupakan perlawanan tumpuan dalam pusingan 32 dimana dua pasukan ini mempunyai pemain yang berbakat dan berpengalaman, dan mereka juga berada di puncak kumpulan dalam liga masing-masing. NPNG berjaya dalam perlawanan ini selepas menewaskan Kelana United 1-0.

Sepakan penalti dari Yazid Zaini pada minit ke-42 merupakan gol kemenangan untuk NPNG dan terus layak ke pusingan seterusnya. Kelana United pasti merasa kecewa setelah mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol melalui Shahrul Haziq, Fakri Saarani dan Aizulridzwan Razali, tetapi mereka gagal menyempurnakan peluang tersebut.

NPNG akan bertemu dengan satu lagi pasukan yang pasti akan memberi cabaran sukar iaitu Gombak FA yang berada di puncak Kumpulan A Liga Super, di mana mereka juga menang dengan keputusan 1-0 ke atas Malaysia Airports dari jaringan Hafizi Abdul Halim pada minit ke-39.

Pemain Muda Menunjukkan Prestasi Yang Bersinar

Setelah menunjukan prestasi yang memuaskan di Liga Perdana, SFC Youth memberi kejutan kepada Teleflow dengan menewaskan mereka 2-0. Perlawanan tersebut mengambil masa sehingga minit ke-57 untuk memecahkan kebuntuan selepas pemain simpanan SFC Youth, Amirul Haziq meletakkan mereka di hadapan. Teleflow mencuba untuk mencari gol penyamaan, tetapi jaringan sendiri dari Azhar Hassan pada minit ke-68 memastikan SFC Youth mara ke pusingan seterusnya. Mereka akan bertemu dengan satu lagi pasukan dari Liga Super, MBSA yang menewaskan pasukan Liga Perdana, Puchong Rangers dengan keputusan 2-0 hasil jaringan dari Izman Solehin dan juga gol sendiri Al Amin Omar.

UiTM juga meneruskan momentum mereka dari Liga Perdana setelah meraih kemenangan 3-0 ke atas Smart-Focus. UiTM cuma mengambil masa satu minit untuk membuka tirai dari hasil jaringan Amirul Hisyam Mazelan dan Asyraaf Rifqi menggandakan jumlah gol pada minit ke-24. Isyraf Nuaim menjaringkan gol ketiga UiTM untuk menambah kemanisan kemenangan.

Pasukan Liga Perdana Muncul Pemenang Penalti

Yang bakal menantikan UiTM di pusingan 16 adalah Vulcans setelah mereka menewaskan Perlima United dalam penentuan sepakan penalti. Sebelum itu, kedua-dua pasukan berkeputusan seri 2-2 di mana terdapat enam minit perebutan gol pada hampir hujung perlawanan. Pada awalnya Nurhakimi Fauzi menjaringkan gol pada minit ke-11 yang memberikan kelebihan kepada Vulcans. Namun, bermula dari minit ke-59, Perlima membalas dua gol dalam masa tiga minit hasil jaringan daripada Firdaus Latif dan Fakhrul Ezwan. Tetapi Vulcans menyamakan kembali kedudukan melalui jaringan Rifqi Danish pada minit ke-65. Dalam sepakan penalti, Perlima United gagal menyempurnakan dua dari empat sepakan mereka dan ini memberikan kemenangan kepada Vulcans 4-2 dan tiket ke pusingan 16.

Bukit Kapar seharusnya berterima kasih kepada penjaga gol mereka Azhar Abdullah Makeri yang berjaya menghalang dua penalti Sun Riders selepas menang 6-5 dalam sepakan penalti. Hazwan Husnen meletakkan Bukit Kapar di hadapan pada minit ke-37, namun gol cantik Sheikh Mohd Yazid menyamakan kedudukan pada minit ke-52. Percubaan penalti pertama Sun Riders dan Bukit Kapar berjaya dihalang oleh kedua-dua penjaga gol dan ia mengambil masa sehingga ke pusingan ketujuh semasa ‘sudden death’. Azhar berjaya menghentikan sepakan Ramli Abdul Razak dan Fittri Shazwan menjaringkan penalti beliau untuk memastikan Bukit Kapar meneruskan perjalanan mereka ke pusingan seterusnya

Kemenangan Penting PIB

Bukit Kapar akan bertemu dengan PIB dimana pasukan dari Liga Super tersebut berjaya mengatasi Sunday Cowboys dari Liga Bahagian 1 dengan keputusan 3-1. Setelah tiada jaringan yang dicipta semasa separuh masa pertama, PIB memecah kebuntuan melalui hasil jaringan Haikal Bahari satu minit selepas mulanya bab kedua. Namun, Amirul Safwan cuma mengambil dua minit untuk mendapatkan gol penyamaan Cowboys.

PIB tidak mudah berputus asa dan mereka berjaya menggandakan lagi hasil jaringan dari Luqmanulhakim Mahzan dan Muhammad Abdul Razak pada hujung perlawanan yang memastikan PIB layak ke pusingan seterusnya.

Berita Terkini

BERITA
admin

PELANCARAN JENAMA TANJONG SUBANG JAYA

Subang Jaya – Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mencatatkan sejarah baharu dengan pelancaran jenama perkhidmatan perhotelan, Tanjong Subang Jaya. Jenama ini merupakan sebahagian daripada jaringan jenama

Read More »