Piala FAS 2023 Playoffs: ‘Rematch’, Pesta Gol dan Drama Penalti

ARTIKEL OLEH:

Perlima United, Klasiko, Harimau United dan KKB Brotherhood dari Zon Merah berjaya mara ke peringkat seterusnya manakala Dream Village, KRU, Subang City dan Sunday Cowboys menang dan layak ke pusingan seterusnya di Zon Hijau

Apakah yang telah berlaku pada malam pertama kelayakan Piala FA Selangor 2023?

Perlawanan Semula, Keputusan Sama

Perlawanan di antara Klasiko dan Sternen serta Perlima United dan JR Bangi merupakan perlawanan semula selepas mereka sebelum ini telah berjumpa dalam perlawanan minggu dua Liga FAS Bahagian 2. Klasiko mengatasi Sternen 2-0 dan Perlima United menewaskan JR Bangi 3-0. Malangnya, keputusan masih tidak berubah untuk Sternen dan JR Bangi.

Gol pembukaan Perlima pada minit pertama dijaringkan oleh Ramzie Rawadi. Namun, JR Bangi berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-lapan yang dijaringkan oleh Wafie Othman. Tetapi, jaringan dari Faiz Ismail (2x), Izat Emir dan jaringan kedua Ramzie memastikan Perlima ke peringkat seterusnya yang akan bertemu dengan Anak Kalumpang. Perlima telah mendapat kelebihan setelah pemain JR Bangi, Afiq Asyraf telah dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-68.

Bagi Klasiko pula, Amir Mukhriz telah menjadi pemain tumpuan selepas menghadiahkan dua jaringan dan memastikan Klasiko mara ke peringkat seterusnya. Amir dapat mengelakkan tekanan dari pemain pertahanan Sternen dan berjaya menjaringkan gol pertama Klasiko pada minit ke-8 manakala Farhan Azid menggandakan jumlah jaringan pada minit ke-18 Rajvirdev Singh dari Sternen merapatkan jurang ke satu gol. tetapi jaringan kedua Amir pada minit ke-52 memastikan Klasiko mara dan bertemu dengan Smart-Focus, pasukan Liga Super FAS, pada peringkat seterusnya.

KKB Brotherhood, Harimau United Dan KRU Meraikan Hujan Gol

Harimau United dan Nilam Puri bermain dalam perlawanan yang penuh dramatik di mana Harimau United membenam Nilam Puri 6-3. Nilam Puri dihukum dengan kelekaan serangannya pada awal perlawanan di mana Harimau United berjaya menghasilkan lima jaringan dalam 10 minit sejak minit ke-13. Jaringan tersebut dijaringkan oleh Danish Aiman (2x), Nabil Abdul Apit, Zulhakimi Zulkefli dan Anas Fikri.

Walau bagaimanapun, Harimau United terpaksa bermain dengan 10 pemain dari minit ke-25 selepas Asyraaf Al-Halim dilayangkan kad merah selepas melakukan ‘serious foul’. Ini menyebabkan tiga jaringan dihasilkan oleh Nilam Puri iaitu Rafiq Hazwan dan dua jaringan dari Harith Jalani. Tetapi semasa perlawanan masih dengan jaringan 5-2, Nabil mengejutkan pihak lawan dengan menjaringkan jgol Harimau United yang ke-6 hasil sepakan dari tengah padang pada minit ke-45. Akhirnya, Harimau United berjaya bertahan dan telah layak ke peringkat seterusnya. Mereka akan bertemu dengan juara Selangor Champions League 2021, Teleflow.

KKB Brotherhood layak ke peringkat seterusnya selepas membenam Young Guns 11-0. Zaim Hanudin dan Hadif Putra menjaringkan ‘hat-trick’ dan jaringan lain disudahkan oleh Afeis Mansor, Alif Saidatul, Syafiq Aqma, Faezzuan Zainal Abidin dan Syakir Fahmi. Young Guns mempunyai beberapa peluang namun tidak dapat disempurnakan dengan baik. MBSA dari Liga Super FAS akan menanti KKB Brotherhood pada peringkat seterusnya.

KRU pula berpesta gol selepas menumpaskan Isma Shah Alam 5-1. Pemain KRU, Nuriskandar telah berjaya menjaringkan dua jaringan manalaka Samsul Siddi dan Azhari Hamzah menjaringkan satu gol untuk KRU pada separuh masa pertama. Afiq Anuar telah memberi harapan dengan gol kepada Isma pada minit ke-38 tetapi Nuriskandar melengkapkan ‘hat-trick’ beliau pada minit ke-49 untuk memastikan KRU layak ke perlawanan seterusnya. Mereka akan bertemu dengan juara bertahan Liga Super dan juga juara Piala Sumbangsih FAS 2023, NPNG pada peringkat seterusnya yang pasti akan mendebar.

Sunday Cowboys Menang ‘Shootout’ Yang Dramatik

Sunday Cowboys hampir berjaya ke peringkat seterusnya selepas Fauzy Rejaty meletakkan mereka di depan dengan 2-1 pada minit ke-69. Namun, Jeremiahased Jarai berjaya menjaringkan gol penyamaan untuk Serayan pada minit ke 70+3 dan sekaligus memaksa perlawanan ke sepakan penalti. Serayan mendapat peluang emas untuk menang pada pusingan penalti ke-5, tetapi Danish Bulqqinie membazirkan peluang tersebut dan Fauzy memastikan harapan Cowboys masih berhidup sehingga ke sepakan ‘sudden death’.

Dalam sepakan ‘sudden death’, Cowboys membazirkan peluang mereka dua kali untuk menang dan memaksa dua-dua pasukan mengambil sepakan sehingga pusingan ke-11. Akhirnya, penjaga gol Cowboys, Alif Abu Hasan memastikan peluang keemasan ke-3 Cowboys diambil selepas sepakkan Aqwa Hazri dari Serayan tidak disermpurnakan. Sunday Cowboys menempah tiket ke pusingan seterusnya dan akan bertemu dengan Klang Southern.

Dan Perlawanan Lain?

Dream Village merupakan pasukan tunggal dari Liga Bahagian 2 pada malam tersebut yang berjaya menumpaskan pasukan dari Liga Bahagian 1, Bukit Kuching, naib juara Liga Bahagian 2 2022, dengan berkeputusan 3-0. Dream Village hanya memerlukan empat minit untuk menjaringkan gol hasil dari Danial Hakimi dan Faizal Sijamsir pula menjaringkan gol kedua Dream Village pada minit ke-23. Danial menghasilkan gol kedua peribadi untuk memastikan kemenangan Dream Village dan akan bertemu dengan Gombak FA pada pusingan seterusnya.

Subang City pula menghentikan kekalahan berturut-turut selepas berjaya mengalahkan Puchong Rovers dari Liga Bahagian 2 dengan berkeputusan 2-0. Subang City membuka tiraian gol pada minit ke-21 yang dijaringkan oleh Asrul Helmi manakala Alif Aiman menggandakan jumlah gol Subang pada minit ke-46. Dengan kemenangan ini, Subang City akan bertemu Sun Riders yang baru naik pangkat ke Liga Super pada musim ini.

Berita Terkini