Penonton terhibur dengan pembukaan hari perlawanan FAS Women’s Super League (WSL) yang bersejarah dengan 19 gol telah dijaringkan dalam empat perlawanan pertama.
Dalam Kumpulan A, perlawanan di antara FC SWAT dan The Footsouls berakhir dengan keputusan 3-3 di mana pemain The Footsouls, Siti Nabilah Umirah menjaringkan gol penyamaan pada minit terakhir dan membantu The Footsouls mengelak kekalahan.
Zur’ain Kamaruddin dari The Footsouls menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-11 melalui sepakan percuma sebelum FC SWAT membalas dengan dua gol pada minit ke-21 dan ke-25 menerusi Wan Nadhirah Wan Zainol dan Nurul Arliana Nabila. Pada separuh masa kedua, Intan Sarah Anisah dapat membalas untuk The Footsouls, menjadikan skor 2-2 sebelum Nurul Arliana dapat gol kedua peribadi yang disangkakan gol kemenangan untuk FC SWAT. Tetapi Siti Nabilah melancarkan volley yang mengkagumkan jauh dalam masa tambahan, menyebabkan dua pasukan berkongsi satu mata.
Pada perlawanan kedua Kumpulan A, UiTM FC cuma mengambil separuh masa pertama untuk menjaringkan kesemua tiga gol menentang First 11 FC dengan kemenangan 0-3. UiTM FC mengambil kesempatan terhadap permainan First 11 dengan menjaringkan gol dalam 16 minit pertama di mana dua gol Nur Fazira Sani dan satu gol Nur Syafiqah Zainal Abidin adalah cukup untuk UiTM FC meraikan kemenangan. Walaupun First 11 FC akhirnya mula mendapat rentak pada separuh masa kedua, namun tiada jaringan berjaya dihasilkan.
Dalam Kumpulan B pula, walaupun muncul dengan barisan pemain yang berusia muda, Leopard FC membuktikan bahawa mereka tidak patut dipandang rendah selepas mengatasi Rhym Rovers 4-0 dengan mendominasi perlawanan. Empat pemain berbeza berjaya meletakkan nama atas lembaran skor iaitu Nurul Nuha Mohd Sharipuddin (Minit ke-4), Nur Balqis Zamrin (38), Dian Aqilah (39) dan Niesya Natalia (68) dalam kemenangan yang wajar untuk Leopard FC.
MBSJ FC yang diketuai oleh pemain kebangsaan Steffi Sarge Kaur, menunjukkan prestasi yang hebat setelah membenamkan SA United FC 0-6 di dalam permulaan kempen FAS WSL mereka. Enam pemain berasingan telah mencetak setiap satu gol seorang sepanjang perlawanan. Gol dari Norhawa Md Yasin, Fatin Shahida, Farahiyah Muhamad Riduan dan Farah Aina menjadikan skor separuh masa pertama 0-4 sebelum Steffi dan Nur Afrina Azhar menambahkan jumlah gol di separuh masa kedua.
Permulaan FAS WSL melalui 4 perlawanan pertama sememangnya telah menunjukkan potensi yang tinggi bagi setiap pasukan. Hanya dua pasukan yang belum beraksi iaitu pasukan Radia Ladies bagi Kumpulan A dan Negeri Sembilan Women’s FC (NSWFC) bagi Kumpulan B. FAS WSL akan bersambung pada minggu hadapan 5hb Disember di Radia Arena, Bukit Jelutong.