FC SWAT DI PUNCAK KUMPULAN, FIRST 11 FC MELEDAK 10 GOL

ARTIKEL OLEH:

Minggu kedua FAS Women’s Super League (WSL) 2021 ditonjolkan oleh pasukan First 11 FC yang berjaya membenamkan Radia Ladies FC, FC SWAT mengejutkan UiTM FC dan Negeri Sembilan Women’s FC (NSWFC) serta MBSJ FC meraikan kemenangan.

First 11 FC bangkit daripada kekalahan yang mengecewakan minggu lepas dengan pesta kemenangan 10 jaringan gol. Semua sepuluh gol tersebut hanya dijaringkan oleh tiga pemain sahaja iaitu Puteri Umi Sofea (4 gol), Nur Mecca Rania (3 gol) dan Kanchen Kaur (3 gol). 

Bagi perlawanan Kumpulan A yang seterusnya, FC SWAT mengambil kesempatan daripada kesilapan penjaga gol pihak lawan dengan menjaringkan dua gol untuk memberikan kemenangan 1-2 ke atas UiTM FC. 

Kedua-dua gol FC SWAT datang dari situasi sepakan percuma di mana penjaga gol UiTM tidak menangkap bola dengan sempurna sekaligus menghadiahkan Siti Nabila Jemin dan Eva Olivianie Antinus gol buat FC SWAT. Manakala, Ayuni Anjani Lamsin menjaringkan gol tunggal UiTM FC  pada minit ke-63 untuk merapatkan jurang namun terpaksa akur dengan kekalahan.

Seterusnya Kumpulan B pula, NSWFC membuka tirai kempen mereka dengan kemenangan  3-0 ke atas SA United. Dua jaringan tersebut dijaringkan oleh penyerang kebangsaan, Henrietta Justine dan satu gol daripada kapten pasukan kebangsaan, Malini Nordin.

Pemain MBSJ FC membuktikan mereka pasukan yang berpengalaman dengan jaringan pembukaan daripada Nur Afrina Azhar pada minit ke-2 perlawanan. Enam minit kemudian, kapten pasukan, Steffi Sarge Kaur menambah gol kedua mereka pada separuh masa pertama dan gol ketiga melalui Fatin Shahida dijaringkan dari sayap kanan dihujung aksi menentang Leopard FC. 

Selepas dua perlawanan, FC SWAT mendahului Kumpulan A dengan empat mata terkumpul daripada satu perlawanan seri menentang The Footsouls (3-3) serta satu kemenangan menentang UiTM FC (2-1).

Manakala Kumpulan B pula, MBSJ FC selesa berada di puncak dengan dua kemenangan tanpa bolos menentang SA united (6-0) dan Leopard FC (3-0).

Untuk pengetahuan, The Footsouls (Kumpulan A) dan Rhym Rovers (Kumpulan B) tidak beraksi kerana ini merupakan minggu rehat untuk pasukan mereka.

Berita Terkini