Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) hari ini mengumumkan penganjuran liga bola sepak wanita peringkat negeri, FAS Women’s Super League ( FASWSL) 2021 demi memberi lebih banyak peluang untuk bermain bola sepak yang sama kepada pemain wanita di negeri ini.
Misi utama penganjuran FASWSL 2021 adalah untuk menyediakan atmosfera bola sepak yang selamat untuk wanita, selain menjadi platform untuk mempromosikan kancah bola sepak wanita amatur di negeri ini.
Penganjuran kejohanan ini juga bakal memberi peluang kepada pasukan-pasukan bola sepak wanita amatur untuk bersaing di tahap yang lebih tinggi dan menjadi pemangkin kearah melahirkan pemain-pemain bola sepak wanita profesional di Malaysia.
“Dengan menyatukan kelab dan lebih ramai pemain wanita di bawah sebuah pertandingan kompetitif dan sihat sepanjang musim, FAS WSL 2021 akan membuka lembaran baru dalam kancah bola sepak wanita amatur tempatan. FAS menyedari potensi wanita dalam sukan bola sepak di negeri ini dan berhasrat untuk membawa mereka ke tahap yang lebih tinggi”, jelas Izrin Nabil, Setiausaha Agung FAS.
“Antara sasaran jangka masa panjang kami bagi pertandingan ini adalah ia bukan sahaja memberi peluang kepada pemain wanita, tetapi ia juga bakal mewujudkan seluruh ekosistem bola sepak yang berteraskan wanita dari segi pemain, jurulatih, ahli fisioterapi, pegawai pasukan, bahkan sukarelawan untuk mencapai kecemerlangan”.
Tagline rasmi bagi FAS WSL 2021 adalah “This Is Our Time”, yang menunjukkan bahawa semua wanita bersedia untuk mempamerkan kemahiran mereka di dalam dan di luar padang bola sepak melalui kejohanan ini.
Kejohanan yang akan bermula pada 29 November 2021 ini di Radia Arena, Bukit Jelutong dan bakal dimeriahkan dengan penyertaan 12 pasukan bola sepak wanita dari seluruh negeri Selangor dengan perlawanan akhir bakal berlangsung di Stadium MBSJ, Subang Jaya pada 22 Januari 2022.
FAS WSL 2021 akan dipertandingkan dalam format pertandingan seperti berikut:
1. Kesemua pasukan yang mengambil bahagian bakal dibahagikan kepada dua kumpulan
2. 30 perlawanan bakal berlangsung dalam tempoh lima minggu untuk saingan peringkat kumpulan
3. Empat pasukan teratas dalam setiap kumpulan akan layak ke pusingan kalah mati
4. Format kalah mati akan digunakan sehingga ke perlawanan akhir
5. Perlawanan akhir bakal berlangsung di Stadium MBSJ, Subang Jaya pada 22 Januari 2022
#ThisIsOurTime