Subang Jaya – Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mencatatkan sejarah baharu dengan pelancaran jenama perkhidmatan perhotelan, Tanjong Subang Jaya. Jenama ini merupakan sebahagian daripada jaringan jenama perhotelan Tanjong By FAS
Diinspirasikan dari bunga rasmi negeri Selangor, Bunga Tanjong Pecah Sembilan, melambangkan sejarah, kesatuan dan kejayaan sembilan daerah negeri ini yang menjadi sumber kekuatan Persatuan Bolasepak Selangor.
Pelancaran ini merupakan lebaran sayap baharu untuk FAS dalam industri perhotelan dan Tanjong Subang Jaya merupakan hotel bertemakan sukan bola sepak yang pertama di Malaysia.
Dengan pelaburan sebanyak RM2.5 juta, pembangunan Tanjong Subang Jaya memperbaharui bangunan sedia ada oleh MBSJ, menempatkan pejabat urusan baharu FAS, restoran Chak’z 1964 yang menyediakan makanan berkualiti gabungan citarasa tempatan dan barat, serta Red Giant Physio Centre sebagai pusat rawatan dan pemulihan fisio bertaraf industri.
Bangunan yang menempatkan Tanjong Subang Jaya ini pernah dijadikan sebagai sebuah perniagaan perhotelan dan juga rantaian restoran makanan segera sebelum ini.
Menerusi usaha bersama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), pelancaran hotel ini bertujuan mewujudkan pusat komuniti dan sukan yang aktif, serta sebagai inisiatif melestarikan industri bola sepak akar umbi di Selangor. Usaha sama ini dengan harapan untuk menjadikan Subang Jaya sebagai hub sukan dari sudut pembangunan komuniti dan komersial di persada akar umbi.
Kompleks Sukan 3K mempunyai kemudahan sukan seperti badminton, squash, futsal dan kolam renang.
Berpusat di Kompleks Sukan 3K, Tanjong Subang Jaya ingin fokus terhadap penggunaan fasiliti yang telah dibangunkan oleh pihak MBSJ dengan memberi nilai tambah melalui aktiviti pembangunan bola sepak FAS seperti kursus pembangunan jurulatih dan pengadil, klinik bola sepak, penganjuran pelbagai acara sukan dan seminar di peringkat domestik dan antarabangsa serta perkhidmatan fisioterapi untuk pemulihan sukan.
Pelancaran jenama Tanjong Subang Jaya dirasmikan oleh DYTM Raja Muda Selangor
Pelancaran jenama Tanjong Subang Jaya dirasmikan oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Selangor.