Memperingati Tan Sri Mustapha Kamal

ARTIKEL OLEH:

Sebaik sahaja wisel penamat ditiup, pemain MPKj FC terus menarik nafas lega. Mereka berjaya mendapat gelaran juara Selangor Champions League (SCL) 2022 di hadapan hampir 3,000 orang penonton. 

Kelihatan kelibat 3 orang anak kecil terus meluru ke bangku simpanan yang disambut oleh ketua jurulatih MPKj dan juga bapa mereka, Razif Mohamed Rus. Mereka memeluk dan mencium tangan beliau tanda hormat sambil mengucapkan tahniah di atas kejayaan bapa mereka. Kejayaan tersebut umum diketahui tidak akan dikecapi tanpa pengorbanan dan penat lelah lebih-lebih lagi untuk seseorang yang terlibat dalam bola sepak akar umbi.

Walaupun tiada liputan atau ganjaran sebesar peringkat yang lebih tinggi, nikmat dan erti kejayaan yang dimilik Razif Mohamed Rus tidak dapat diletakkan nilai. Sejurus selepas itu, kelihatan di skrin besar dimainkan video penghormatan yang bersesuaian dengan momen pada malam itu.

“Tuhan telah memberi nikmat kepada setiap kita, nikmat yang dinamakan bakat semulajadi, bakat semulajadi ini tidak boleh kita belajar, tidak boleh kita minta, ianya datang dari Tuhan” Kata-kata pesanan yang memulakan video itu diucapkan oleh Allahyarham Tan Sri Mustapha Kamal, seorang insan yang sangat berjasa kepada komuniti bola sepak akar umbi dan menghargai pengorbanan setiap individu yang telibat dalam sukan yang dicintai ramai ini.

Arena bola sepak akar umbi berduka berikutan pemergian seorang tokoh bola sepak yang disegani ramai. Allahyarham Tan Sri Mustapha Kamal meninggal dunia pada 25 Julai 2022 merupakan seorang individu yang sangat mementingkan pembangunan bola sepak akar umbi, kata Setiausaha Agung FAS, Izrin Nabil.

Bola sepak akar umbi menjadi titik permulaan seseorang individu sebelum melangkah ke peringkat yang lebih tinggi dan Tan Sri telah meninggalkan legasi dengan mencipta pelbagai ruang dan peluang untuk komuniti tersebut. 

Allahyarham Tan Sri Mustapha Kamal merupakan pengasas Kumpulan Syarikat EMKAY yang menawarkan rumah mampu milik. Syarikat hartanah miliknya itu ditukar nama kepada MK Land Holdings Berhad selepas disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur pada Ogos 1999.

Allahyarham juga menerusi Yayasan Emkay telah menubuhkan NPNG-Emkay Academy dan banyak berkerjasama dengan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dalam pembangunan bola sepak sejak awal tahun 2000. NPNG bermaksud No Pain No Gain (Tiada Kejayaan Tanpa Kejerihan).

Pengasas syarikat pemaju Kumpulan Emkay ini mula dikenali ramai dalam sukan bola sepak dengan kemunculan sebuah pasukan Liga Perdana dan Liga FAM, MK Land FC dari 2003 hingga 2005. Antara nama besar yang dibawa dan dikenali ramai ialah seperti Marlon Alex James yang dibawa oleh Allahyarham dari St Vincent and Grenadines.

Dalam pembangunan bola sepak akar umbi pula, antara pertandingan yang diperkenalkan NPNG-Emkay Academy ialah Kejohanan Bola Sepak Bawah 20 Tahun Piala Tan Sri Mustapha Kamal selain Karnival Futsal Perpaduan Bawah 12 Tahun. Kedua-dua kejohanan ini menjadi platform untuk mempersiapkan bakat-bakat muda ke peringkat yang lebih tinggi.

Menerusi pasukan NPNG yang juga merupakan Ahli Gabungan FAS, pasukan tersebut berjaya merangkul pelbagai gelaran kejuaraan dalam Liga Tempatan yang diuuruskan oleh FAS. Pemain kebangsaan dan juga Selangor FC, Shahrul Nazeem merupakan antara nama yang memulakan kareer mereka bersama pasukan NPNG.

Mustapha yang dilahirkan pada 18 Mac 1949 di Kampung Changkat, Pusing, Perak, juga pernah digelar ‘Raja Rumah Mampu Milik’ turut diberi penghormatan oleh FAS dengan menamakan piala SCL 2022 kepada Piala Tan Sri Mustapha Kamal. Ini merupakan tanda penghargaan kepada Allahyarham dan seluruh organsisasi beliau yang telah banyak membantu FAS.

Kumpulan Syarikat Emkay menjadi penaja utama Selangor Champions League 2022 dengan pemberian sumbangan wang tunai dan tajaan piala kejohanan edisi 2022 yang dinamakan Piala Tan Sri Mustapha Kamal.

Pemberian piala tersebut kepada Razif Mohamed Rus oleh DYTM Tengku Amir Shah, Raja Muda Selangor merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Selangor disaksikan oleh keluarga Allahyarham. Meskipun Tan Sri sudah meninggalkan kita semua, namanya akan diperingati oleh ramai sebagai seorang yang mencintai dan telah banyak berjasa kepada sukan bola sepak. 

Selamat tinggal, tokoh bola sepak akar umbi!

Berita Terkini