Status Kelayakan FAS Foundation League 2026

ARTIKEL OLEH:

Peringkat kumpulan FAS Foundation League 2026 akan memasuki hari perlawanan ketujuh dan terakhir pada hari Isnin dan Selasa depan. Dari 16 pasukan diundi kepada dua kumpulan, hanya lapan pasukan akan meneruskan perjuangan mengejar takhta juara FAS Foundation League 2026 dan melayakkan diri ke Selangor Champions League 2026.

Dengan itu, siapa sah layak ke peringkat suku akhir, siapa masih ada peluang, dan siapa sah tersingkir?

Kumpulan A

Status kelayakan dalam kumpulan A sudah selesai walaupun berbaki satu minggu perlawanan lagi dimana CS Empire, Twenty Four FC, Tebuan dan KL Passion menempah tiket ke suku akhir manakala Neo X Subang, KL Rangers, Kampong Boys, dan Vega Star tersingkir. Ketika ini, kedudukan akhir pasukan-pasukan tersebut masih belum dapat dipastikan bagi menentukan posisi mereka dalam braket kalah mati.

CS Empire boleh muncul juara kumpulan sekiranya mereka menewaskan Tebuan, atau sekurang-kurangnya seri dan pada masa sama Twenty Four FC gagal mencatat kemenangan. Tebuan pula berpeluang menjadi juara kumpulan jika mereka berjaya menewaskan CS Empire dan Twenty Four FC gagal mengatasi KL Rangers. Sementara itu, Twenty Four FC boleh dinobatkan sebagai juara kumpulan sekiranya mereka menang dan CS Empire gagal meraih tiga mata.

Posisi tertinggi yang mampu dicapai KL Passion ialah naib juara kumpulan. Mereka boleh menamatkan saingan di tangga tersebut jika berjaya menewaskan Neo X Subang, Twenty Four FC gagal mengalahkan KL Rangers, dan Tebuan gagal meraih tiga mata ketika menentang CS Empire.

Kumpulan B

Tiga daripada empat slot suku akhir telah pun ditempah oleh Plus FC, Royal Klang Sailors, dan Elephant Warriors. Satu lagi tempat bakal menjadi rebutan antara Tirai Besi Selangor (8 mata, +1 GD), Sutama (7 mata, -1 GD), dan Rawang All Star (7 mata, -22 GD). Northern Merbau dan Camarada pula sah tersingkir daripada saingan.

Berikut adalah senarai situasi bagaimana pasukan tersebut boleh layak ke suku akhir:

Tirai Besi Selangor (Lwn Royal Klang Sailors) boleh layak jika:

  • Menang
  • Seri, dan Sutama dan Rawang All Stars gagal menang
  • Kalah, dan Sutama dan Rawang All Stars juga kalah

Sutama (Lwn Camarada) boleh layak jika:

  • Menang dan Tirai Besi Selangor gagal menang (Sutama mempunyai kelebihan H2H atas Rawang All Star jika dua-dua pasukan menang dan Tirai Besi Selangor gagal menang)
  • Seri, Tirai Besi Selangor kalah dengan lebih dari tiga gol, dan Rawang All Star gagal menang

Rawang All Star (Lwn Elephant Warrior) layak jika:

  • Menang, dan Tirai Besi Selangor dan Sutama gagal menang

Namun, ketiga-tiga pasukan tersebut masih boleh menamatkan saingan dengan jumlah mata yang sama sekiranya Tirai Besi Selangor tewas, manakala perlawanan antara Rawang All Star dan Sutama berakhir seri.

Berdasarkan rekod head-to-head (H2H) antara ketiga-tiga pasukan, Sutama memiliki kelebihan selepas mencatat kemenangan 5-0 ke atas Rawang All Star serta seri 1-1 menentang Tirai Besi Selangor. Tirai Besi Selangor pula hanya merekodkan dua keputusan seri, iaitu 1-1 menentang Sutama dan 3-3 bertemu Rawang All Star. Rawang All Star berada di kedudukan tercorot dalam perbandingan H2H selepas mencatat satu keputusan seri dan satu kekalahan.

Berita Terkini