Kuala Langat Memotong NPNG, MP Klang Terus Menang

ARTIKEL OLEH:

Kumpulan B kini mempunyai ketua liga yang baru selepas PBD Kuala Langat memenangi perlawanan ‘Top-of-the-table’ keatas NPNG manakala MP Klang menyambung rentak kemenangan untuk kekal kedudukan teratas Kumpulan A.


Kuala Langat berjaya mengatasi NPNG dengan skor 2-0 untuk menduduki tempat pertama pada minggu ke limai. Hanya dua gol diperlukan, yang dijaringkan oleh Ridzuan Azly Hussham (Minit ke-32) dan Faizal Mazlan (Minit ke-45), untuk meletakkan Kuala Langat di puncak Kumpulan B manakala NPNG turun ke tempat ketiga atas faktor perbezaan gol.

MBSA mengambil kesempatan atas perubahan kedudukan kumpulan selepas membelasah Kingstown Klang 12-0 untuk merapatkan jurang ke tempat pertama dengan perbezaan hanya satu mata. Mohd Asyraf Hayqal semestinya berpuas hati dengan hari perlawanan ini selepas menjaringkan empat gol manakala Mohamad Arieffahmi dan Zulfaqar Khairuddin mendapat dua gol masing-masing. Basyir Ahmad, Muhd Mahdi, M. Kalairasan dan Muhd Zulkarnain juga berjaya mencatatkan nama dalam senarai penjaring untuk keputusan yang manis ini, tetapi kekalahan ini pasti akan lebih  menyuramkan Kingstown Klang yang berada di kedudukan terbawah Kumpulan A.

BOSS FC pula berjaya bangkit dari kelompak bawah kumpulan selepas membenamkan Anak Kalumpang 5-0 hasil gol daripada Azizie Hamid (x2), Farhan Ab Hamid (x2) dan Darwin Raju untuk keluar dari zon penyingkiran manakala MBPJ berjaya masuk ke tempat empat teratas selepas menang 2-0 atas KB SIA hasil gol daripada Aliff Mazlan dan Mohd Nor Iman.

Di Kumpulan A pula, MP Klang berjaya mengekalkan rekod 100% kemenangan dan ‘clean sheet’ selepas mengatasi Teleflow 3-0. Hariz Saim membuka tirai jaringan pada minit ke-38, MP Klang seterusnya menunggu sehingga hujung perlawanan untuk menambah jumlah gol hasil jaringan Mohamad Baharen pada minit ke-63 dan Zulhilmi Zaki untuk gol ke-tiga MP Klang dalam masa tambahan.

Dengan keputusan tersebut, MP Klang dapat melebarkan jurang perbezaan lima mata selepas Mozyda yang berada di tempat kedua dikalahkan oleh Gombak FA-MPAJ 2-0. Gol dari Syafiq Zahari dan Sharul Khairul Anwar membantu Gombak mencapai kemenangan dan sekaligus, menyertai perlumbaan untuk tempat kelayakan ke suku akhir.


Walaubagaimanapun, perebutan untuk slot ke suku akhir semakin sengit selepas MPKJ dan Smart-Focus juga berjaya merapatkan jurang ke ‘top 4’ selepas meraikan kemenangan atas pasukan dalam kelompok penyingkiran. MPKJ berjaya mengalahkan PNSB 4-1 hasil dua gol masing-masing oleh Firdaus Musa dan pemain terbaru mereka M. Megaraj manakala ‘hat-trick’ Wan Mohd Hairi dan gol daripada Mohd Fadzli memberikan Smart-Focus 3 mata dengan kemenangan 4-0 atas Klang Southern.

Berita Terkini