Four Talking Points – Quarter Finals

ARTIKEL OLEH:

1. MP Klang Merampas Kemenangan Daripada Kelana United.

Tidak salah jika jangkaan awal merasakan Kelana United sudah pasti mengunci kemenangan selepas sepakan penalti yang dilakukan oleh Alafi Mahmud di minit ke-57. Namun, jangkaan itu dinafikan apabila MP Klang mampu bangkit pada 3 minit terakhir perlawanan.

Pakar sepakan percuma bagi MP Klang, M. Kalaiarasan, berjaya mengulangi kecemerlangannya ketika perlawanan peringkat kumpulan bertemu SA Klasiko yang lalu. “Super-Kalai” berjaya menjaringkan gol dari sepakan percuma dengan jarak yang hampir sama seperti perlawanan lepas pada minit ke-69. Kelana United berpeluang menjaringkan gol sejurus selepas gol yang dilakukan M. Kalaiarasan. Namun, hakikatnya yang menyedihkan apabila sepakan daripada Norhamizaref Hamid ternyata tersasar melepasi palang gol dan itulah sebenarnya titik penentuan antara menang atau tewas bagi Kelana United.

Ketika seluruh stadium MBSJ seolah-olah akur dengan sepakan penentuan penalti di akhir perlawanan, Farees Ismail berjaya membuat hantaran jauh mencari adiknya, Faiz Ismail dan penyerang MP Klang ini melakukan rembatan yang berjaya menewaskan penjaga gawang Kelana United, Muhd Nadzir, sekaligus menandakan kemenangan berpihak kepada MP Klang dalam masa tambahan.

2. Gol Di Awal Perlawanan Cukup Buat KRU

Berlainan pula dengan KRU Port Klang, mereka hanya mengambil masa 17 minit untuk mendapatkan dua gol selepas melakukan rentak permainan pantas tanpa memberi peluang kepada Perlima United dengan serangan yang bertubi-tubi. Faris Haikal berjaya menjaringkan gol selepas cubaan awal Ridzuan Azly berjaya dihalang. Namun, Ridzuan hanya perlu mengambil masa tiga minit bagi memastikan namanya tercatat sebagai penjaring apabila beliau menerima hantaran bola dari K.Ravindran dan berjaya melepasi perangkap “Offside” Perlima sekaligus memberikan gol kedua buat KRU.

Perlima United berjaya mengawal keadaan apabila Nor Harith Roslan berjaya menjaringkan gol selepas kesilapan yang dilakukan oleh Kapten pasukan KRU, Norhizwan Hassan. Namun, KRU kekal bertahan sehingga wisel penamat dengan kemenangan 2-1 ke atas Perlima yang bermain dengan 10 orang pemain selepas pemain pertahanan mereka, Ahmad Azrul Azrie diarahkan meninggalkan padang setelah beliau mengasari pengadil perlawanan.

Walau bagaimanapun, keputusan perlawanan pasti mungkin berbeza jika kapten Perlima, Ilyia Fitri berjaya menjaringkan gol penyamaan dari jarak dekat yang akhirnya berjaya dinafikan oleh penjaga gawang KRU, Jamalulai Hassan pada babak-babak akhir perlawanan.

3. Teleflow Menghukumkan Klasiko, Adakah Gol Terbaik SCL 2021 Telah Dikenal Pasti?

Andai Shah Alam Klasiko berjaya mengubah peluang serangan bagi mendapatkan jaringan di awal perlawanan, besar kemungkinan mereka berjaya melayakkan diri ke separuh akhir. Akibatnya, Teleflow menggunakan peluang yang ada dengan menang selesa 4-0 ke atas Klasiko.

Kelemahan menyudahkan peluang ketika perlawanan menjadi faktor SA Klasiko gagal mendapatkan gol pada separuh masa pertama dan peluang ini diguna sebaiknya oleh Teleflow apabila mendapatkan gol pertama hasil jaringan Afif Najmi. Ketika Klasiko masih memburu gol pada separuh masa kedua, Arena MBSJ dikejutkan dengan jaringan kedua Teleflow. Pemain tengah Teleflow, Ahmad Nizam Mohd tidak mensia-siakan peluang setelah melihat penjaga gawang Klasiko, Nor Eqram Azray keluar dari kawasan gol lebih awal dan akhirnya sepakan dari bahagian tengah padang berjaya membolosi gawang Klasiko sekaligus meletakkan Teleflow jauh di depan dengan 2-0 dan melemahkan lagi semangat Klasiko. Gol memukau tersebut sudah pasti akan menjadi calon gol terbaik SCL 2021.

Ahmad Nizam pula dengan bijak melakukan hantaran 1-2 kepada pemain yang baru dimasukkan, Saiful Aula seterusnya menghasilkan gol ketiga Teleflow. Afif Ikhwanul yang juga dari bangku simpanan meranapkan harapan Klasiko dengan sepakan penjuru yang memberikan gol ke-4 dalam masa tambahan memberikan kemenangan Teleflow lebih manis dan sekaligus melayakkan pasukan ke Separuh Akhir.

4. Hanya Satu Gol Diperlukan

Berbanding dengan ketiga-tiga perlawanan suku akhir sebelumnya, perlawanan antara Kg Bharu Boys of Sultan Sulaiman (BOSS) FC bertemu Gombak FA-MPAJ bukanlah perlawanan yang klasik.

Walaubagaimanapun, Gombak FA-MPAJ pastinya menyesal kerana tidak menggunakan peluang sebaik mungkin memandangkan penjaga gawang BOSS FC, Nor Azmi yang bernasib baik tidak dilayangkan kad merah selepas menangkap bola di luar kotak pada awal perlawanan tidak diberikan cabaran selain hanya satu insiden.

Sementara itu, BOSS FC berdepan kesukaran melepasi benteng pertahanan Gombak FA-MPAJ dan melakukan percubaan. Akhirnya, hanya satu gol memisahkan kedua-dua pasukan hasil jaringan dari Alif Izwan di minit ke-66 setelah Tuah Salmiah menjatuhkan Sufi Amar di dalam kotak penalti. Namun BOSS FC akan berdepan Cyberjaya Teleflow tanpa khidmat Alif di bahagian tengah setelah beliau dilayangkan kad kuning kedua ketika masa tambahan.

Berita Terkini

BERITA
admin

PELANCARAN JENAMA TANJONG SUBANG JAYA

Subang Jaya – Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mencatatkan sejarah baharu dengan pelancaran jenama perkhidmatan perhotelan, Tanjong Subang Jaya. Jenama ini merupakan sebahagian daripada jaringan jenama

Read More »