FAS GRASSROOTS FOOTBALL NETWORK (FAS GFN)

ARTIKEL OLEH:

Pada 4 Jun 2021, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) secara rasminya telah melancarkan FAS Grassroots Football Network (GFN), sebuah platform dan inisiatif yang bakal menghubungkan semua penggiat bola sepak akar umbi di seluruh negeri Selangor. Pendaftaran untuk FAS GFN dibuka kepada umum dan ia merupakan sebuah platform eksklusif untuk semua yang berdaftar sahaja.

Tujuan utama FAS GFN adalah untuk menyokong pembangunan bola sepak akar umbi dengan penganjuran program dan pendidikan bola sepak seperti FAS Innovation Hub (FASIH), bengkel bola sepak, kursus jurulatih dan pengadil, klinik bola sepak dan pertandingan bola sepak.

Program pertama anjuran platform FAS GFN adalah FAS Townhall yang dikendalikan pada 12 Jun 2021. Sesi virtual ini disertai oleh tetamu undangan yang semestinya dikenali oleh semua peminat bola sepak negeri Selangor Darul Ehsan; Izrin Nabil (Setiausaha Agung, FA Selangor) Dr. Johan Kamal Hamidon (Ketua Pengawai Eksekutif, Selangor FC), dan Michael Feichtenbeiner (Pengarah Sukan, Selangor FC). Program FAS Townhall edisi pertama ini membincangkan tentang perbezaan peranan FAS dan SFC dalam membangunkan bola sepak akar umbi.

“Pengenalan kepada sesi FAS Townhall tempoh hari adalah sangat baik kerana dengan adanya sesi seperti ini, ia dapat menghubungkan semua pihak yang terlibat dalam kancah bola sepak akar umbi”, salah satu maklum balas yang diberikan oleh Nulwhoffal Arselan, selaku Presiden KB SRABSP Gators yang menghadiri sesi tersebut.

Setakat ini, sudah hampir 300 ahli FAS GFN yang berdaftar. Dengan adanya daya usaha ini, pihak FAS lebih memandang ke hadapan untuk menganjurkan lebih banyak program kepada semua yang terlibat dalam kancah bola sepak akar umbi di negeri Selangor dari pemain, jurulatih, pengadil dan lain-lain demi menaikkan lagi taraf pembangunan bola sepak akar umbi bukan sahaja dari segi daya saing di atas padang, malah dari pengetahuan umum bola sepak secara menyeluruh.

Berita Terkini