Drama Minit Terakhir Menutup Final Liga FAS Yang Penuh Peristiwa

ARTIKEL OLEH:

Liga FAS 2022 melabuhkan tirai pada hujung minggu lalu setelah 3 bulan berlangsung. Liga yang melibatkan 76 pasukan yang terbahagi kepada 4 bahagian ini memberi konklusi negeri Selangor mempunyai ramai bakat dan individu yang membanggakan dalam kancah bola sepak amatur.

Semua empat perlawanan akhir Liga FAS terbukti menjadi perlawanan-perlawanan yang klasik dengan peristiwa seperti pesta gol, penentuan sepakan penalti, gol minit-minit terakhir dan pelbagai lagi kisah yang terjadi di dalam dan luar padang.

NPNG Juara Bertahan Liga Super

NPNG muncul juara Liga Super selepas mengatasi MPKJ 1-0. NPNG dan MPKJ hampir menerima hakikat untuk menghadapi penentuan sepakan penalti selepas bermain 69 minit tanpa menjaringkan gol. Di babak akhir perlawanan, NPNG memenangi sepakan percuma luar kotak penalti MPKJ. Lukhman Noor Hakim berjaya menghasilkan detik yang hebat dengan menjaringkan sepakan percuma untuk menewaskan penjaga gol MPKJ, Ahmad Khairuddin. Satu gol yang seharusnya menjadi kebanggaan pasukan NPNG.

NPNG muncul juara Liga Super sekali lagi setelah kali terakhir menjulang kejuaraan pada tahun 2019. Kemenangan ini ditujukan khas untuk keluarga Allahyarham Tan Sri Mustapha Kamal selaku pengasas kelab yang baru meninggal dunia kata pengendalinya Michael Palani.

MP Sepang Sah ke SCL 2022

Di Liga Perdana pula, di mana satu slot Selangor Champions League 2022 dipertaruhkan, MP Sepang menewaskan PKNS dengan keputusan 4-1. MP Sepang mengejutkan pihak perlawanan dengan tiga gol dalam separuh masa pertama melalui Zakwan Zamri, Vinoth Kumar dan Mukhlis Asikin. Matlamat PKNS untuk bangkit balik menjadi lebih sukar apabila Muhd Afiq Mohd Isri dilayankan kad merah sebelum tamat babak pertama. Vinoth Kumar dapat menambah jumlah gol Sepang pada minit ke-54 untuk lebih memastikan kemenangan, walaupun Rizal Jamil hanya berjaya mendapatkan gol saguhati untuk PKNS sebelum masa tambahan.

MP Sepang mencapai target menjadi juara Bahagian Perdana dan melayakkan diri ke Selangor Champions League 2022. Final yang turut dihadiri Yang Di Pertua MP Sepang, Dato’ Haji Hamid Hussain pasti menjadi satu pengalaman manis untuk seluruh penyokong & pasukan.

Kelana United Cemerlang di Bahagian 1

Kelana United terpaksa menghadapi penentuan sepakan penalti sebelum menjadi juara Liga Bahagian 1 dengan mengalahkan Bukit Kapar 4-3 selepas keputusan masa penuh 0-0. Tanpa penjaring terbanyak Razman Roslan, Kelana United melalui kesusahan untuk memecah benteng Bukit Kapar yang menunjukkan pertahanan yang disiplin walaupun Alafi Mahmud mendapat beberapa peluang. Namun, Bukit Kapar juga mengalami masalah untuk menguji pertahanan Kelana United. Tanpa sebarang gol, sepakan penalti diperlukan untuk menentukan juara. Dengan dua-dua pasukan seri 3-3 selepas lima sepakan, Fitri Shazwan berjaya menjaringkan sepakan, tetapi percubaan Afiq Alif Misbah melepasi palang dan memberikan piala ke Kelana United.

Pasukan Kelana United terus menempa kejayaan dengan ‘back-to-back promotion’ ke Bahagian Perdana di edisi depan setelah menjuaraai Bahagian 1. Campuran pemain veteran dan muda yang dipimpini Razman Roslan sememangnya konsisten beraksi hebat dan menjadi sebutan sepanjang musim.

Puchong Hunters Juara Liga Bahagian 2

Puchong Hunters menjadi juara Liga Bahagian 2 selepas mengatasi Bukit Kuching 3-0 dalam perlawanan yang panas dan dramatik. Bukit Kuching mengawal tempo permainan, tetapi mereka mula hilang kawalan selepas Mustaza Maslan ditunjukkan kad merah selepas menggunakan tangan menafikan percubaan Partheban menghadiahkan sepakan penalti dan disempurnakan Mithesh Raaj. Malam Bukit Kuching menjadi lebih sukar selepas Nur Arif Asyraf juga dilayangkan kad merah. Puchong mengambil kesempatan kelebihan pemain dengan menambah dua gol pada lima minit terakhir perlawanan daripada Partheban dan A. Kaliswaran. Tidak lama kemudian, Bukit Kuching ditunjukkan kad merah ketiga selepas Hakim Mahadzar melanggar Megat Syafique.

Warga Puchong Hunters akan menghadapi cabaran baru musim depan di Bahagian 1.

Penutup

Final yang dihadiri DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, Presiden Persatuan bersama kehadiran ‘full-house’ penyokong menjadi malam yang akan diingati untuk semua.

Tahniah diucapkan kepada semua pasukan yang telah bersama menjayakan musim ini!

Berita Terkini