SCL MD 6: Sijangkang City Pasukan Pertama Ke Suku Akhir, Ingress & Boss Bangkit

ARTIKEL OLEH:

Perlawanan minggu ke-6 Selangor Champions League (SCL) 2023 menyaksikan pasukan pertama layak keperingkat separuh akhir manakala di Kumpulan A terdapat bukan satu, tetapi dua pasukan bangkit dari ketinggalan.

Sijangkang City telah layak ke peringkat seterusnya selepas menundukkan Najmi SFFC Kota Damansara dengan keputusan penuh 5-0, yang juga menyaksikan Najmi secara rasmi tersingkir dari saingan SCL 2023. Sijangkang mengambil masa sehingga minit ke-32 untuk membuka jaringan pertama, hasil percubaan Faiz Zikry. Intensiti permainan Sijangkang meningkat pada separuh masa kedua perlawanan.

Sepuluh minit selepas separuh masa kedua bermula, Abdul Manaf Mamat membuat hantaran lolos kepada M. Terrence , yang baru sahaja pindah ke Sijangkang City semasa jendela perpindahan, menjaringkan gol pertama beliau dalam kejohanan ini. Sijangkang kemudiannya memenangi sepakan penalti pada minit ke-60 selepas kesalahan penggunaan tangan Zaidi Othman dan Abdul Manaf berjaya menyudahkan sepakan tersebut. Keadaan bertambah teruk hanya dua minit kemudian untuk Najmi apabila Zaidi Othman diusir keluar dari padang kerana mengasari Ahmad Shahrin, dan Terrence serta Hafiz Fazrin menambah jumlah jaringan untuk mengakhiri malam perlawanan Sijangkang dengan penuh bergaya.

Kelayakan Sijangkang disahkan kerana pasukan yang menduduki tempat kelima, MBSA dengan lapan mata, tidak lagi dapat melepasi mereka selepas mengalami kekalahan 0-2 kepada Selangor FC (SFC) Youth. Faizal Abdul Razak memberi SFC Youth permulaan yang baik dengan menjaringkan gol daripada sepakan percuma hanya selepas enam minit perlawanan bermula, dan kapten pasukan Danish Alif menggandakan jaringan dengan sepakan rendah pada minit ke-28, menjamin kemenangan pasukan mereka. Hari MBSA tidak menambah baik selepas penjaga gol Jamalulail Hassan dilayankan kad merah pada minit ke-47 selepas cabaran kecuaian terhadap Fahrin Danny.

Perlawanan kemuncak diantara PJ Kelana United dan NPNG Damansara Perdana berakhir dengan keputusan seri 0-0, mesikpun Arman Fareez dari Kelana dilayankan kad kuning kedua akibat kekasaran yang dilakukan terhadap Asnan Awal Hisham, manakala pertembungan AAK Puncak Alam dan Kajang Northern Merbau juga berakhir tanpa jaringan gol.

Di Kumpulan A, Ingress KL berjaya untuk bangkit daripada ketinggalan 2-0 untuk seri 2-2 dengan Tebuan Kg Pinang. Tebuan mengambil masa 13 minit untuk membuka jaringan pertama daripada percubaan rendah Amir Firdaus dan menjadikannya 2-0 melalui jaringan Izz Shahaimi pada minit ke-44. Ingress memenangi sepakan penalti lima minit kemudian yang disempurnakan oleh S. Danesh, dan pada minit ke-64, Haedar Abd Halim menyempurnakan kebangkitan pasukan dengan jaringan kuat ke sudut atas gawang.

Kg Bharu Boss juga bangkit dari kebelakangan untuk mengalahkan Ampang Ukay Positive 2-1 dan meningkatkan peluang mereka untuk melayakkan diri. Ukay Positive mengambil kesempatan dari pertahanan Kg Bharu Boss yang kurang kemas dengan gol Faes Hakimi yang memberikan mereka keunggulan selepas sepuluh minit. Kg Bharu Boss terpaksa menunggu sehingga minit ke-59 untuk menyamakan kedudukan apabila Alif Izwan, yang mengawal bola untuk melepasi dua pemain pertahanan dan juga penjaga gol Ukay Positive, untuk menjaringkan gol. Kemudian pada minit sebelum masa tambahana, tandukan susulan Ridhwan Johan daripada sepakan percuma Wan Mohd Hamizi menemui sasaran ke gawang gol untuk mendapat tiga mata dan juga meneruskan peluang kelayakan mereka.

Perlawanan antara Klang Frenz United dan Gombak FA dan separuh masa kedua antara KKB Brotherhood dan KRU Port Klang terpaksa ditangguhkan kerana cuaca buruk dan keadaan padang yang tidak mengizinkan. Kedua-dua perlawanan akan bersambung pada hari Khamis, 9 November di Arena MBSJ.

Berita Terkini