SCL 2023 MD 5: Kelayakan Kumpulan A Semakin Sengit, Kumpulan B Dapat Pasukan Tempat Pertama Baru

ARTIKEL OLEH:

Perlawanan minggu ke-5 Selangor Champions League (SCL) 2023 telah mencatatkan beberapa keputusan mengejutkan dalam Kumpulan A yang menjadikan kumpulan tersebut terbuka lebar apabila dua pasukan teratas ditewaskan, manakala dalam Kumpulan B, satu pasukan baru mengambil alih tempat pertama kumpulan.

Ingress KL mungkin mendapatkan keputusan yang paling menarik perhatian apabila mereka mengejutkan Gombak FA, yang berada dalam rentakan hangat, dengan jaringan 1-0. Ingress KL hanya mencatatkan satu percubaan tepat sepanjang perlawanan apabila penjaga gol Gombak, Remezey Che Ros, salah anggap hantaran silang Ahmad Izzul Danish dan Ikhsan Miskob menanduk bola ke dalam gawang gol terbuka. Tetapi Gombak kemudiannya memenangi sepakan penalti pada minit ke-68, namun percubaan Low Chun Keong melewati palang untuk membuang peluang hebat menyamakan kedudukan dan Ingress berjaya mengumpulkan tiga mata penting.

Ampang Ukay Positive menjadi pasukan pertama yang berjaya menembusi pertahanan Klang Frenz United (KFU) selepas memenangi perlawanan dengan keputusan 1-0. Mereka hanya memerlukan satu ‘tap-in’ mudah oleh pemain tengah, Haikal Yusri Feisal dari hantaran rendah Afif Zuki pada minit ke-40 untuk mendapatkan tiga mata walaupun KFU berusaha keras untuk menyamakan kedudukan. Keputusan ini mengakhiri rekod tanpa kalah KFU dan juga gol pertama yang dibolosi mereka bagi kempen SCL mereka pada tahun ini.

Dalam perlawanan Kumpulan A yang lain, Tebuan mencatatkan kemenangan berturut-turut selepas mengatasi KKB Brotherhood dengan jaringan 3-0 dengan gol daripada hantaran silang Badri Adnan dari sayap kanan yang menemui gawang gol, sepakan penalti oleh Shahrul Asmadin, dan ‘tap-in’ oleh Amir Firdaus. Manakala, perlawanan yang mendebarkan di antara KRU Port Klang dan Kg Bharu Boss tamat seri 2-2.

Dalam Kumpulan B, Sijangkang City menjadi pasukan tempat pertama baru selepas mencatatkan tiga kemenangan berturut-turut menewaskan Selangor FC (SFC) Youth 3-0. Perlawanan itu berlangsung tanpa jaringan sehingga minit ke-48 apabila Abdul Manaf Mamat dimasukkan untuk mengambil alih tugas Fariddudin Zainal. Lima minit kemudian, Abdul Manaf akhirnya menjaringkan gol pembukaan dalam situasi satu lawan satu dari sepakan percuma penjaga gol Nor Haziq Aris yang menembusi barisan pertahanan SFC Youth. Abdul Manaf kemudiannya menjaringkan gol kedua melalui sepakan penalti dan menyempurnakan hat-tricknya dalam masa tambahan separuh masa kedua selepas gerakan beliau yang lincah melepasi dua pemain pertahanan lawan.

Najmi SFFC Kota Damansara akhirnya memperoleh kemenangan pertama mereka selepas memenangi perlawanan dengan jaringan 4-1 menentang Kajang Northern Merbau yang menjadikan mereka menjadi pasukan pertama yang tersingkir dari saingan SCL 2023. Gol pembukaan diledakkan oleh Ibrahim Suhaib melalui tandukan susulan daripada sepakan sudut Denial Haziq pada minit ke-19. Najmi SFFC kemudiannya menggandakan jumlah gol dengan jaringan Haikal Nazri lapan minit kemudian dan Ammar Rasydan menjadikan keputusan 3-0 dengan percubaan rendah yang tajam pada minit ke-53. Ibrahim kemudiannya menjadi pembantu apabila hantaran lolosnya merobek pertahanan untuk mencari Ermy Syazwan yang menjadikan keputusan 4-0 pada masa kecederaan, walaupun Azim Hakimi berjaya menjaringkan gol konsolasi pada aksiterakhir perlawanan selepas tandukan masuk sepakan percuma M. Terrence.

Dalam perlawanan Kumpulan B yang lain, NPNG Damansara Perdana dan PJ Kelana United mencatatkan keputusan seri berturut-turut dalam perlawanan masing-masing. NPNG diikat keputusan seri 1-1 menentang AAK Puncak Alam dengan gol ketujuh Asnan Awal Hisham dalam kejohanan SCL 2023 dibatalkan oleh gol penyamaan Noor Asrey. Manakala pertemuan PJ Kelana United dan MBSA seri 0-0 di mana penjaga gol Kelana, Aiman Amsyar, beraksi dengan cemerlang dengan berjaya menghalang usaha MBSA untuk menjaringkan gol.

Berita Terkini