Pada 26 November 2024, berlangsungnya Majlis Undian bagi Selangor Champions League (SCL) musim ke-8 di Sunway Resort and Hotel, menandakan bermulanya perjalanan kompetitif untuk 16 pasukan terpilih dalam liga berprestij ini. Antara pasukan yang bakal bersaing adalah AAK Puncak Alam, Black Lions Port Klang, Cyberjaya Teleflow, KKB Brotherhood, Klang City Sailors, Klang Southern, KRU Port Klang, MP Sepang, MPKj, NPNG Damansara Damai, Oich Shah Alam, OSV Sungai Buloh, SFC Youth, Shah Alam United, Simpang Tiga Ingress, dan Tebuan Kg. Pinang.
Majlis undian tersebut turut dihadiri oleh Datuk PS Sugumaran dan En. Sekar Chandran selaku Naib Presiden FAS, Puan Norazreen Sulaiman, Timbalan Pengarah Jabatan Belia & Sukan Negeri Selangor, serta Irwan Al Masaud dari Sport Direct. Acara dimulakan dengan ucapan oleh Ketua Unit Pertandingan, En. Fikri, yang mengumumkan lokasi baharu untuk musim ke-8 ini—Stadium MPAj di Ampang Jaya.
Majlis kali ini turut memperkenalkan Anugerah Media Sosial Terbaik, yang disandang oleh pasukan AAK Puncak Alam, serta Anugerah Penyokong Terbaik untuk musim 2023, yang dianugerahkan kepada pasukan KRU Port Klang. Selain itu, undian oleh para peminat di laman sosial FA Selangor menganugerahkan gelaran Jurulatih Terbaik kepada Hasmawi Hassan dari AAK Puncak Alam, manakala Anugerah Gol Terbaik pula dimenangi oleh Faizuddin Abidin, pemain Juara SCL 2023, Gombak FA.
Undian kumpulan telah dilakukan oleh Datuk PS Sugumaran dan Puan Norazreen. Pasukan dalam Kumpulan A adalah Cyberjaya Teleflow, AAK Puncak Alam, MPKj, Klang City Sailors, Shah Alam United, Oich Shah Alam, Simpang Tiga Ingress, dan Klang Southern. Manakala, Kumpulan B menampilkan KRU Port Klang, OSV Sungai Buloh, MP Sepang, NPNG Damansara Damai, Tebuan Kg. Pinang, SFC Youth, Black Lions Port Klang, dan KKB Brotherhood.
Selangor Champions League musim ke-8 dijadualkan bermula pada 23 November 2024 di Stadium MPAj, Ampang Jaya. Semoga semua pasukan beraksi dengan penuh semangat dan terus menyemarakkan keghairahan peminat bola sepak tempatan di Selangor Champions League 2024.