KENALI YAKIN TEBUS KEKALAHAN, MUNCUL JUARA FAS U18 YOUTH LEAGUE 2026

ARTIKEL OLEH:

SUBANG JAYA, 9 OKTOBER 2026 – Kenali Yakin menutup kempen FAS U18 Youth League 2026 dengan penuh bergaya apabila menewaskan Royal Klang Sailors 3-0 pada aksi final untuk dinobatkan sebagai juara.

Lebih manis, kemenangan tersebut hadir sebagai penebusan selepas Kenali Yakin pernah diaibkan 5-0 oleh lawan yang sama pada minggu pertama saingan pada penghujung Jun lalu.

Ketika itu, Royal Klang Sailors membuka kempen mereka dengan penuh bergaya, manakala Kenali Yakin terpaksa menerima kekalahan besar dalam pertemuan pertama kedua-dua pasukan.

Empat bulan kemudian, kedua-duanya kembali bertemu — kali ini di pentas final.

Royal Klang Sailors hadir dengan kelebihan sebagai pasukan pilihan selepas mencatat rekod kemenangan 100 peratus sepanjang saingan, termasuk kemenangan besar ke atas Kenali Yakin pada perlawanan pertama.

Namun, sejarah pertemuan terdahulu tidak menghalang Kenali Yakin daripada menghasilkan kebangkitan yang cukup bermakna.

Sailors memulakan perlawanan dengan baik apabila mendominasi penguasaan bola serta memberikan tekanan berterusan di kawasan pertahanan Kenali Yakin.

Benteng Kenali Yakin bagaimanapun kekal ampuh untuk menafikan percubaan lawan, termasuk peluang terbaik pada minit ke-30 apabila Fareez Daniel berjaya menggelecek masuk ke dalam kotak penalti sebelum percubaannya tepat menuju ke arah penjaga gol, Haziq Danish.

Bersambung pada separuh masa kedua, Kenali Yakin akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-44.

Sepakan percuma dari sebelah kanan yang diambil Affan Najmi dihantar tepat ke dalam kotak penalti sebelum Hashraf Hamdan melonjak tinggi untuk menanduk masuk bola ke gawang, sekali gus memberikan kelebihan 1-0 buat Kenali Yakin.

Royal Klang Sailors hampir mendapatkan gol penyamaan hanya empat minit kemudian.

Daripada satu sepakan sudut, Haziq Danish menumbuk keluar bola yang kemudian jatuh kepada Aiman Faiz Subri. Percubaan pemain pertahanan Sailors itu berjaya melepasi Haziq Danish, namun Ailif Danish muncul tepat pada masanya untuk mengeluarkan bola di atas garisan gol dan mengekalkan kelebihan Kenali Yakin.

Kenali Yakin kemudian semakin hampir untuk melengkapkan kebangkitan mereka apabila Khairuddin Muzamil dijatuhkan di dalam kotak penalti pada minit ke-58.

Affan Najmi tampil sebagai penyudah dan tenang menyempurnakan sepakan penalti dengan menghantar penjaga gol ke arah yang berbeza untuk menggandakan kelebihan Kenali Yakin kepada 2-0.

Sailors terus berusaha untuk merapatkan jurang, namun Kenali Yakin kekal berdisiplin dalam mengawal permainan sehingga ke penghujung aksi.

Ketika perlawanan memasuki masa tambahan, Kenali Yakin melengkapkan kemenangan dengan jaringan ketiga.

Hashraf Hamdan melakukan larian dari sebelah kanan sebelum membawa bola masuk ke dalam kotak penalti dan melakukan hantaran silang rendah ke belakang.

Khairuddin Muzamil yang tidak dikawal mengambil kesempatan tersebut untuk menyudahkan peluang dan menjadikan kedudukan 3-0.

Jaringan tersebut turut menjadi aksi terakhir perlawanan sebelum wisel penamat dibunyikan, sekali gus mencetuskan sambutan penuh kegembiraan dalam kem Kenali Yakin.

Daripada kekalahan 5-0 pada pertemuan pertama, Kenali Yakin bangkit untuk menewaskan Royal Klang Sailors 3-0 di pentas terbesar.

Lebih daripada sekadar kemenangan, ia merupakan satu penebusan sempurna buat Kenali Yakin yang akhirnya menamatkan kempen FAS U18 Youth League 2026 sebagai juara.

Berita Terkini