SHAH ALAM, SELANGOR — Selepas enam minggu saingan yang bermula pada awal Jun, FA Selangor B12 menamatkan bahagian pertama Liga Remaja Kebangsaan B12 dengan rekod tanpa kalah, sekali gus meletakkan mereka sebagai antara pencabar utama bagi kejuaraan musim ini.
Daripada 12 perlawanan yang telah dilalui, FA Selangor merekodkan sembilan kemenangan dan tiga keputusan seri untuk mengumpul 30 mata, hanya satu mata di belakang pendahulu, Terengganu FA.
Kempen bermula dengan langkah kanan apabila FA Selangor menewaskan Negeri Sembilan 1-0 sebelum meneruskan rentak kemenangan dengan menundukkan Rhino Pahang 4-1, dengan kesemua empat jaringan hadir pada separuh masa pertama.
Bagaimanapun, kemenangan berturut-turut mereka terhenti pada aksi ketiga apabila terikat 2-2 dengan Sime Darby. Cayden Hooi Wye Jun menjadi penyelamat apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit terakhir perlawanan.
FA Selangor kemudiannya kembali menemui rentak apabila mencatatkan tiga kemenangan berturut-turut ke atas ATM (6-1), Perak (2-0) dan PDRM (3-0), sebelum berdepan Terengganu dalam satu lagi aksi sengit.
Aisy Darwisy memberikan permulaan impian apabila meletakkan FA Selangor di hadapan seawal minit pertama. Namun, Terengganu bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-18 dan keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Saingan diteruskan dengan aksi ‘Selangor Derby’ menentang Selangor FC. Dalam perlawanan yang berlangsung sengit dan terbuka, kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan keputusan 2-2 selepas FA Selangor dua kali mendahului sebelum Selangor FC bangkit dengan jaringan penyamaan.
Selepas dua keputusan seri berturut-turut, FA Selangor kembali menunjukkan konsistensi apabila mengumpul 12 mata maksimum daripada empat perlawanan.
Melaka menjadi mangsa pertama dengan kekalahan 3-1 sebelum FA Selangor mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia. Mereka kemudiannya menghasilkan kemenangan besar 7-0 ke atas Kuala Lumpur sebelum menutup bahagian pertama saingan dengan kemenangan 5-0 ke atas Negeri Sembilan.
Pertahanan Kukuh, Serangan Berbisa
Kekuatan FA Selangor bukan sahaja terletak pada konsistensi mereka mengutip mata, malah turut terserlah menerusi statistik keseluruhan pasukan.
Dengan 37 gol dijaringkan, FA Selangor kini mempunyai jumlah jaringan kedua tertinggi dalam liga. Lebih menarik, mereka hanya melepaskan lapan gol sepanjang 12 perlawanan — menjadikan benteng pertahanan mereka sebagai yang paling kukuh dalam saingan setakat ini.
Di sebalik ketajaman jentera serangan, penyerang Afiq Zafran Hamdan muncul sebagai antara pemain paling menyerlah apabila kini mendahului carta penjaring liga dengan 16 gol.
Jumlah tersebut menyumbang hampir 43 peratus daripada keseluruhan jaringan FA Selangor.
Afiq membuka akaun jaringannya dengan gol kemenangan ketika menentang Negeri Sembilan pada aksi pembukaan sebelum menghasilkan hatrik ketika berdepan Rhino Pahang.
Kecemerlangannya berterusan apabila beliau meledak empat gol ketika menentang ATM, dua gol menentang Melaka, empat lagi ketika berdepan Kuala Lumpur dan dua gol dalam pertemuan kedua menentang Negeri Sembilan.
Sementara itu, Nur Ikhwan Putra dan Aisy Darwisy turut memainkan peranan penting dalam jentera serangan dengan masing-masing menyumbang lima gol.
Di bahagian pertahanan, Farish Zulfitri tampil sebagai salah satu tonggak penting pasukan. Selain membantu memastikan benteng FA Selangor kekal kukuh, beliau turut memberikan ancaman ketika situasi bola mati dengan tiga gol setakat ini.
Salah satu jaringan penting Farish hadir ketika menentang Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia apabila golnya menjadi satu-satunya jaringan dalam kemenangan 1-0 FA Selangor.
Hayyan Matiin dan Adli Zawawi pula terus menunjukkan konsistensi dengan menjadi antara pemain yang kerap diberi kepercayaan di bahagian pertahanan.
Di posisi penjaga gol, James Looi Heng Hao telah beraksi dalam 10 daripada 12 perlawanan dan mencatatkan empat clean sheet. Harraz Al-Wafiy pula mencatatkan rekod sempurna selepas dua penampilannya menghasilkan dua clean sheet.
Misi Diteruskan
Dengan rekod tanpa kalah selepas 12 perlawanan, FA Selangor B12 kini berada dalam kedudukan terbaik untuk terus mencabar kejuaraan Liga Remaja Kebangsaan B12.
Namun, perjalanan masih panjang dan cabaran seterusnya menuntut mereka untuk mengekalkan konsistensi yang telah ditunjukkan sepanjang bahagian pertama musim.
FA Selangor akan kembali beraksi pada 19 September, dengan Rhino Pahang sekali lagi menjadi lawan mereka.
Selepas enam minggu membina momentum, sasaran kini jelas — mengekalkan rekod tanpa kalah dan membawa pulang mahkota Liga Remaja Kebangsaan B12 ke Selangor.


