Dua minggu perlawanan SCL Playoffs 2025 telah selesai di mana SA United dan Oji City menduduki dua tempat teratas Kumpulan A setelah memenangi dua-dua perlawanan mereka setakat ini manakala Projek Puncak Alam, setakat ini mendahului Kumpulan B dengan empat mata.

Kumpulan A
SA United melalui dua jaringan Haikal Yusri Feisal menang 2-1 ke atas Smart-Focus, walaupun mereka menjaringkan gol lewat dari Fadzli Saidon, pada minggu pertama. SA United mengekalkan momentum dengan kemenangan 1-0 ke atas Ingress melalui gol minit ke-7 oleh Darwisy Abdullah.
Oji City pula selesa menewaskan Rawang Bravers dengan keputusan 3-0. Indra Putra Mahayuddin membuka tiraian gol melalui sepakan percuma pada minit ke-31 sebelum Aiman Nazaruddin dan pemain gantian, Rafiq Nazri memastikan kemenangan menjadi lebih manis. Pada minggu kedua, gol Fandi Othman pada minit ke-32 sudah cukup untuk Oji City meraikan kemenangan kedua ke atas Smart-Focus.
Namun, KL Passion tidak jauh dari mereka di tempat ketiga selepas seri 1-1 menentang Ingress dan mengatasi Rawang Bravers juga dengan keputusan 3-0. Shahril Adenan pada minit ke-50 membatalkan gol minit ke-37 Izzat Azrai pada minggu pertama. Pada minggu kedua, KL Passion perlu menunggu sehingga separuh masa kedua untuk menghasilkan gol pada minit ke-55 oleh Nazrin Nasir sebelum pemain muda mereka, Amsyar Thaqif dan Adam Danish menambah jumlah gol pada masa tambahan.
Perlawanan seterusnya bagi tiga pasukan terbawah iaitu Ingress, Rawang Bravers, dan Smart-Focus menjadi lebih penting atas sebab mereka masih belum berlawan antara satu sama lain.
Kumpulan B
Projek Puncak Alam hampir kalah selepas bolos pada hujung perlawanan menentang SFC Youth di mana gol pada minit ke-67 dihasilkan oleh Adam Fitri Paudzi. Namun, gol dihasilkan oleh gerakan lincah Firdaus Azman cuma satu minit kemudian memastikan dua-dua pasukan pulang dengan satu mata berharga.
Pada minggu kedua,‘hat-trick’ Haziq Hafizan membantu Projek Puncak Alam meraikan pesta gol selepas menewaskan Red Cardinals dengan jaringan 7-1 dengan Arif Danial Zawawi, Asyraaf Aqmar, Putra Ahmad Faisal, dan Faiz Khairi juga menyumbangkan jumlah gol.
Malaysia Airports pada minggu pertama menang 4-0 ke atas Red Cardinals melalui Ahyad Rohaizat, Wan Muhamad Raffiequrazi, dan dua gol oleh Amirul Mukmin. Namun, momentum Malaysia Airports dibantutkan oleh AAK, yang cuma baru memulakan kempen playoff mereka pada minggu kedua, selepas kalah 1-2 oleh sebab dua gol dihasilkan oleh Irfan Bustamam, walaupun sepakan percuma S. Ranjet pada hujung perlawanan memberikan Malaysia Airports harapan.
Minggu perlawanan ketiga saingan SCL Playoffs 2025 akan bersambung pada hari Rabu minggu hadapan.