Minggu perlawanan kelima Selangor Champions League (SCL) menyaksikan nafas baharu apabila ia berlangsung sejurus selepas jendela perpindahan pertengahan musim ditutup. Kesemua 16 pasukan membuat perubahan, dan bagi sesetengah pasukan, perubahan tersebut memberi impak yang amat positif. Minggu ini juga mencatat sejarah baharu apabila satu rekod tujuh tahun berjaya dipecahkan.
Kumpulan B
Klang City Sailors kini menjadi pemegang rekod kemenangan terbesar dalam sejarah SCL selepas membenam Bukit Rotan Baru dengan keputusan 7-0, memecahkan rekod lama 7-1 yang dipegang oleh KRU Port Klang (vs Klang Valley United, 2018) dan Belia Selangor (vs Kajang Bujangga, 2022). Dua jaringan masing-masing oleh Nor Hakim Hassan dan pemain gantian Irfan Zamir, serta satu gol daripada sepakan penalti S. Chanturu, Faez Amer Runnizar dan Alif Safwan melengkapkan kemenangan bersejarah buat Klang City Sailors FC.
Kebangkitan MBSA berterusan selepas mencatat kemenangan ketiga berturut-turut hasil kemenangan 1-0 ke atas SFC Youth. Kekalutan di dalam kotak penalti SFC Youth membolehkan Azizul Baharudin menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-52, sekali gus melonjakkan MBSA ke tangga kedua liga mengatasi Cyberjaya Teleflow menerusi perbezaan jaringan.
Cyberjaya Teleflow pula bangkit daripada kekalahan minggu lalu kepada Klang City Sailors dengan kemenangan 3-0 ke atas Perlima United Port Klang. Dua gol pada 10 minit terakhir separuh masa pertama oleh MVP musim lalu, Fazrul Fahriz Zeky, meletakkan mereka di landasan tepat sebelum Nazrien Faizal, yang masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-79, menambah gol ketiga hanya tiga minit kemudian melalui satu tap-in mudah.
AAK FC Puncak Alam dan Smart-Focus Park City berkongsi mata selepas terikat 1-1 dalam perlawanan yang menghiburkan. Penalti oleh Nor Fazli Zamani sebelum tamat separuh masa pertama meletakkan Smart-Focus di hadapan, namun AAK menyamakan kedudukan menerusi sentuhan pertama Shazril Uzair hasil hantaran Azriddin Rosli hanya lapan minit selepas babak kedua bermula.
Kumpulan A
NPNG Damansara Perdana meneruskan prestasi cemerlang mereka dengan kemenangan besar 4-0 ke atas PSM FC Elmina. Mereka hanya mengambil masa tiga minit untuk membuka jaringan apabila pemain baharu, Fikri Shah, menyambar bola muntah hasil rembatan Faizal Talib yang ditepis penjaga gol. Amirul Husaini, juga pemain baharu, membantu jaringan kedua oleh Afiff Rose Hashidan sebelum menjaringkan gol ketiga pasukan. NPNG melengkapkan malam gemilang apabila Faizal merampas bola untuk mencipta peluang kepada Kogileswaran Raj yang melepaskan rembatan padu bagi gol keempat.
Tebuan Kg Pinang pula mengekalkan peluang untuk layak ke peringkat seterusnya selepas menewaskan OSV Ukay Perdana 1-0. Jaringan tunggal hadir menerusi tandukan pemain baharu Nazrin Nasir hasil sepakan percuma Nur Ikhlas Farid.
Shah Alam United turut menikmati impak segera pemain baharu apabila mereka mencatat kemenangan pertama musim ini dengan menewaskan Oji City Taman Medan 2-1. Walaupun ketinggalan awal selepas Ahmad Shahrin meletakkan Oji City di hadapan, jaringan penalti Syafiq Zahari dan penyudah menarik oleh Danish Iman Hizwan sebelum tamat separuh masa pertama memastikan kemenangan berpihak kepada Shah Alam United.
Keputusan-keputusan ini membuka peluang kepada Ampang 24 untuk mengesahkan kelayakan, namun mereka sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang MPKJ. Walaupun diasak bertubi-tubi, Ampang 24 berjaya bertahan hasil aksi cemerlang penjaga gol baharu mereka, Syafiq Sabaruddin, yang memainkan peranan besar memastikan gawang tidak dibolosi, dibantu oleh pertahanan yang bekerja keras sepanjang perlawanan.


