Banting Naga FC vs Shah Alam Antlers

Ternyata ini merupakan debut manis bagi Salihan Jamil setelah berjaya menghasilkan hatrik menentang pasukan Banting Naga FC.

Shah Alam Antlers yang mendapat sokongan padu dari para penyokong mereka mempamerkan corak permainan lebih tersusun dengan menguasai aksi di babak pertama.

Naga FC yang terpaksa menurunkan penjaga gol ‘bidan terjun’ dihukum apabila percubaan lemah yang dilakukan Salihan Jamil pada minit ke-23 gagal diselamatkan penjaga gol, T. Suresh bagi jaringan pendahuluan buat Shah Alam Antlers.

Salihan menggandakan jaringan pada minit ke-30 selepas gerakan solo beliau dalam kotak penalti berjaya disudahkan dengan tenang bagi mengecewakan Okebaram Promise yang sebelum itu dibawa masuk menggantikan T. Suresh.

Kesilapan pertahanan Naga FC yang mengasari Okpe Solomon Ekunke dalam kotak penalti memaksa pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti buat Shah Alam Antlers pada minit ke-48.

Salihan yang diberikan tanggungjawab mengambil sepakan, tidak melepaskan peluang bagi melebarkan kedudukan yang sekaligus melengkapkan hatrik buatnya pada perlawanan sulung ini dan perlawanan tamat dengan keputusan 3-0 berpihak kepada Shah Alam Antlers.

Puchong Fuerza FC vs Gombak FC

Gombak FC mencipta kejutan pada aksi kumpulan A Selangor Champions League 2018 selepas berjaya menundukkan Puchong Fuerza 1-0 hasil jaringan Raja Muhammad Iman.

Puchong Fuerza FC yang diperkuatkan dengan kehadiran beberapa orang pemain yang pernah mewarnai kancah Liga Malaysia iaitu Afiq Azmi, Syamim Othman, Saufi Ibrahim dan Norismaidham Ismail mempamerkan aksi yang lebih tersusun pada awal permainan dan mempunyai lebih banyak pelunag namun kecekapan penjaga gol Gombak iaitu Shahrul Iman Shukri berjaya menafikan percubaan tersebut.

Masuk babak kedua, Raja Muhammad Iman Haikal Raja Radzmi melenyapkan sorakan penyokong Puchong Fuerza yang dari mula perlawanan tidak berhenti menyorak buat seketika.

Ia berikutan rembatannya hasil kesilapan pertahanan pada minit ke-51 berjaya menewaskan Syamim Othman untuk gol pertama buat Gombak FC.

Puchong Fuerza yang terdesak untuk memburu jaringan penyamaan berusaha keras mengasak ke kubu Gombak namun masih berjaya diserap dengan baik oleh penjaga gol serta pertahanan Gombak FC yang kental.

Tekanan yang diberikan Puchong Fuerza semakin memuncak apabila pemain pertahanan Gombak FC, Danish Bulqqinie Mat Zaharin diperintah keluar padang akibat kekasaran yang dilakukannya di luar kotak penalti.

Bagaimanapun kelebihan itu masih gagal digunakan oleh Puchong Fuerza bagi mengelak daripada tewas pada perlawanan ini untuk keputusan penuh 1-0 memihak Gombak FC.

Kajang AZS vs Duta ZXIV

Duta ZXIV mencatatkan kemenangan selesa apabila berjaya menang dengan jaringan 4-1 dengan Medina Mbeguere menyumbat empat gol pada perlawanan ini.

Penyerang berbisa Duta ZXIV, Medina hanya memerlukan tiga minit sahaja bagi membocori gawang Kajang AZS namun berjaya disamakan oleh Kajang AZS melalui sepakan percuma padu daripada Faizal Abd Rahman pada minit ke-10.

Pada minit ke-33, Medina sekali lagi menemui sentuhan jaringan selepas beliau yang menerima hantaran jauh dari Hakeem Badri, menanduk masuk bola melepasi jangkauan penjaga gol, Khairil Asyraf Roslan.

Medina kemudiannya melengkapkan hatrik beliau pada minit ke-58 selepas berjaya menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan pengadil.

Rupa-rupanya tiga jaringan masih belum mencukupi buat Medina apabila satu lagi gol berjaya dicetak penyerang berbisa itu pada lewat permainan.

Berpunca daripada hantaran lintang yang dilakukan Syazmin Aminudin, dengan tenang Medina menanduk masuk bola bagi menambah jaringan keempat.

Club Atletico de Bukit Jelutong vs KRU Port Klang FC

KRU Port Klang FC menggunakan pengalaman yang dimiliki untuk mencatatkan kemenangan besar 5-0 pada perlawanan pertama saingan kumpulan B Selangor Champions League 2018 bertemu Club Atletico De Bukit Jelutong FC (CABJ).

Pemain berusia 35 tahun, Rosedy Muslim yang berjaya membaca dengan baik hantaran yang ingin dilakukan pertahanan CABJ, tidak mensia-siakan peluang bagi menjaringkan gol pertama pada minit ke-6.

Tidak cukup dengan jaringan tersebut, Rosedy terus cemerlang dengan gol kedua yang dicipta susulan gerakan solo yang dilakukannya sekali lagi menewaskan penjaga gol CABJ, Aimran Ambari.

Rosedy terus menjadi duri dalam daging buat pasukan CABJ  dengan ledakan hatrik yang disempurnakan pada minit ke-23, juga menerusi satu gerakan solo.

Pada babak kedua perlawanan, kesilapan penjaga gol CABJ yang merempuh Muhammad Huzaini dalam kotak penalti memaksa pengadil menghadiahkan sepakan penalti buat KRU Port Klang.

Pemain gantian, Azhari Hamzah tidak berdepan masalah apabila dengan tenang menyudahkan sepakan tersebut untuk gol keempat perlawanan.

Masih belum berpuas hati dengan empat jaringan yang terhasil, KRU Port Klang FC menambah gol kelima menerusi larian solo oleh Mohd Suhaili Abdul Rahman pada minit ke-69.

Kemenangan besar diraih KRU Port Klang FC pada perlawanan minggu pertama ini jelas memberikan amaran awal buat pasukan lain yang bertanding terhadap keupayaan pasukan berpengalaman ini.

Leave a Reply

P