Puchong Fuerza FC 1-0 Axis O2 PJ FC

Jaringan tunggal pemain muda, Muhammad Farhanuzi Che Sanuzi sudah cukup buat Puchong Fuerza FC untuk menundukkan juara bertahan, Axis-O2 PJ FC 1-0.

Pertembungan dua pasukan ditangga teratas kumpulan A ini lebih dikuasai Puchong Fuerza FC yang mengawal permainan di babak pertama dengan baik serta berupaya mencipta beberapa serangan berbahaya.

Farhanuzi Che Sanuzi menceriakan kem Puchong Fuerza seawal minit ke-6 selepas beliau yang tidak dikawal menerima hantaran dari sepakan percuma pantas daripada Zulkefli Baharuddin untuk melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol Axis-O2, Mohd Noor Azrin Adnan.

Jaringan tersebut jelas meningkatkan moral para pemain skuad bimbingan Nazrulerwan Makmor itu untuk terus menambah jaringan tetapi dua percubaan yang dicipta berjaya dihalang Noor Azrin.

Memasuki babak kedua, Puchong Fuerza terus menggandakan asakan bagi menambah jaringan.

Dua sepakan percuma dalam tempoh masa dua minit diperoleh Puchong Fuerza memaksa Noor Azrin bekerja keras dalam usaha menyelamatkan gawangnya dari terus dibolosi.

Usaha Axis-O2 PJ FC memburu jaringan penyamaan pada lewat permainan terutamanya menerusi dua sepakan percuma yang diberikan masih belum mampu untuk menjelmakan hasil diharapkan.

Jentera pertahanan dan penjaga gol Puchong Fuerza terus mempamerkan kekentalan luar biasa ketika bertahan apabila mereka masih tidak dibolosi dalam empat perlawanan berturut-turut.

Banting Naga 0-3 ABMK

Akademi Bolasepak Merah Kuning (ABMK) terus garang dalam saingan Selangor Champions League apabila merakamkan kemenangan keempat selepas menundukkan Banting Naga FC 3-0.

ABMK yang kini menghuni tangga teratas kumpulan A dengan mengumpul 13 mata jelas sukar digugat Banting Naga FC apabila lebih memperagakan corak permainan lebih kemas.

Penguasaan tersebut memberikan kelebihan buat ABMK yang berjaya mencipta dua jaringan pada separuh masa pertama.

Gol pertama skuad bimbingan Asmawi Bakiri itu terhasil pada minit ke-11 berpunca dari kelalaian pertahanan Banting Naga FC yang dieksploitasi Fazli Baharudin.

Fazli kemudiannya melakukan hantaran lambung ke hadapan pintu gol Banting Naga FC untuk ditanduk Shahrul Uman Bukhari untuk membuka tirai jaringan.

Malang terus menimpa Banting Naga FC yang kini menghuni tangga ke-7 setelah Suganesvaran A/L Kumar diperintahkan keluar padang selepas beliau melakukan terjahan terhadap Muhammad Noor Hassan pada minit ke-30.

Kehilangan seorang pemain ternyata memberikan kesulitan buat Banting Naga dan kesempatan itu digunakan sepenuhnya ABMK pada minit ke-34 bagi menambah jaringan kedua menerusi Muhammad Azery Zainal Abidin.

Jaringan menarik dihasilkan Muhammad Azery selepas beliau melepaskan percubaan lambung ketika Okebaram Promise berada sedikit keluar dari posisi beliau sehingga membuatkan penjaga gol import tersebut ‘terkapai-kapai kelemasan’.

Muhammad Nuriskandar Abdul Hamid melengkapkan kemenangan 3-0 pada minit ke-42 setelah beliau yang mendapat lorongan baik dari Muhammad Zul Hilmi Mohd Zaki tidak melepaskan peluang mencipta jaringan ketiga.

Aksi selepas itu tidak banyak dapat diperkatakan walaupun ABMK masih bernafsu untuk menambah jaringan, Promise yang mengemudi gawang Banting Naga FC berjaya menafikan beberapa percubaan terbaik dicipta skuad merah kuning itu.

Kajang AZS 0-3 NPNG FC Damansara Damai

Pasukan pilihan, NPNG FC Damansara Damai berjaya mengesahkan tempat ke suku akhir terlebih awal selepas berjaya menundukkan Kajang AZS 3-0.

Skuad bimbingan Micheal Palani itu ternyata cukup dominan selepas memberikan ancaman bahaya buat Kajang AZS seawal minit kedua selepas rembatan kencang dari jarak jauh diledakkan Muhammad Ridhwan Johan terkena palang gol.

Jaringan yang dinantikan NPNG FC Damansara Damai menjelma pada minit ke-29 apabila Ismail Mamat merembat masuk bola dalam kawasan penalti selepas kapten Kajang AZS, Faizal Rahman gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Pemain sayap NPNG FC, Muhd Haiqal Johari terlepas peluang bagi menambah jaringan walaupun beliau mempunyai peluang terhidang di hadapan gol pada penghujung babak pertama.

Pemain berusia 20 tahun itu berjaya menebus kesilapan tersebut dengan menyumbat gol kedua, juga hasil kesilapan pertahanan yang melakukan tolakan ke belakang yang terus dirampas Ridhwan Johan.

Haiqal yang melakukan rembatan susulan dalam kawasan penalti tidak mensia-siakan peluang untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Tonggak jentera tengah NPNG FC, Lukhman Noor Hakim menambah luka buat Kajang AZS apabila rembatan hasil gerakan solo dilakukannya berjaya menewaskan penjaga gol, Faiz Ismail.

Bagai sudah jatuh ditimpa tangga, Kajang AZS terus kecewa selepas Muhammad Abdul Haqim Mohd Radzuan dilayangkan kad merah pada minit ke-61.

Kedudukan 3-0 tersebut kekal hingga tamat permainan untuk meletakkan NPNG FC Damansara Damai gah di tangga teratas kumpulan B dengan mengumpul 17 mata tanpa sebarang kekalahan.

CABJ 4-3 Gombak Hypernova

Club Atletico De Bukit Jelutong (CABJ) akhirnya meraih kemenangan sulung dalam saingan kumpulan B apabila berjaya menundukkan Gombak Hypernova FT 4-3.

Walaupun pertembungan ini melibatkan dua pasukan di tangga terbawah, aksi yang ditampilkan kedua-dua pasukan begitu menghiburkan berikutan tujuh jaringan yang terhasil.

Olatunde Qudus membuka tirai jaringan buat CABJ seawal minit ke-5 selepas pemain kelahiran Nigeria itu menolak masuk bola hasil hantaran lintang dari sebelah kanan pintu Gombak Hypernova FT.

CABJ menjadikan kedudukan 2-0 pada minit akhir babak pertama hasil hantaran ‘through pass’ daripada Muhamad Sharul Nizam Zainal disempurnakan dengan rembatan rendah oleh Muhammad Farhan Jasmin membolosi gawang Gombak Hypernova FT.

Memasuki babak kedua, Gombak Hypernova merapatkan kembali kedudukan menerusi sepakan penalti yang disudahkan dengan baik Nik Mohd Syukri.

Namun, kegembiraan Hypernova hanya bertahan seminit sahaja selepas Farhan Jasmi sekali lagi mencipta jaringan untuk menjadikan kedudukan 3-1.

Eddy Chandra Montir yang juga merupakan pemain futsal Felda United dalam saingan Liga Futsal Kebangsaan musim ini menghasilkan gol kedua buat Gombak Hypernova FT di minit ke-51.

Kealpaan jentera pertahanan Gombak Hypernova FT sekali lagi dihukum seminit selepas jaringan kedua mereka apabila Shahrul Nizam yang mendapat hantaran dari Muhammad Ruffie Abdul Aziz, tanpa disangka-sangka melakukan tampanan masuk untuk kedudukan 4-2.

Hypernova yang masih belum meraih sebarang kemenangan tidak berputus asa dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-69 menerusi Nik Mohd Syukri.

Namun, jaringan kedua peribadi daripada Nik Syukri itu tidak cukup untuk mengelakkan kekalahan kelima buat mereka selepas mengharungi enam perlawanan.

Leave a Reply

P