Puchong Fuerza 3-0 Paya Jaras Hiliran

Puchong Fuerza FC mencatatkan tiga mata penuh dalam aksi ketiga kempen Selangor Champions League 2018 setelah menang selesa 3-0 bertemu Paya Jaras Hiliran.

Puchong Fuerza yang memburu kemenangan kedua dalam tiga perlawanan yang dilalui setakat ini memperagakan aksi lebih tersusun terutamanya di babak pertama.

Selepas beraksi kurang baik pada perlawanan sulung ketika bertemu Gombak FC tempoh hari, penyerang berpengalaman Puchong Fuerza, Afiq Azmi membuktikan sentuhan berbisa dimilikinya.

Ia terbukti selepas penyerang yang pernah mewarnai kancah Liga Malaysia itu menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama.

Jaringan pertama beliau menjelma pada minit ke-10 apabila hantaran lambung dari kawasan sendiri yang dicipta rakan sepasukan, Afiq yang mendada bola terus melepaskan rembatan bagi membuka tirai jaringan.

Berselang sepuluh minit kemudian, Afiq Azmi menggunakan kesempatan hasil kelalaian pertahanan Paya Jaras Hiliran yang tidak mengeluarkan bola dari kawasan bahaya untuk menjaringkan gol kedua peribadi buatnya.

Puchong Fuerza berjaya menambah jaringan pada separuh masa kedua melalui tandukan Haikal Mat Radzi pada minit ke-67 sekaligus perlawanan tamat dengan keputusan 3-0 berpihak kepada Puchong Fuerza.

Kajang AZS FC 2-1 Subang City

Tandukan pada minit akhir permainan oleh Khairul Nizam Baharudin menghadiahkan kemenangan pertama buat Kajang AZS selepas berjaya menundukkan Subang City FC 2-1.

Subang City pantas membuka tirai jaringan apabila Muhammad Syafiq Abdul Hamid yang meluru pantas menuju ke pintu gol Kajang AZS pada minit ke-5 membuat percubaan yang menewaskan penjaga gol, Faiz Ismail.

Namun kelebihan jaringan tersebut tidak bertahan lama setelah Kajang AZS FC dihadiahkan sepakan penalti akibat kekasaran yang dilakukan pertahanan Subang City terhadap Phillip Abbah Eugine.

Philip yang kemudiannya mudah menyempurnakan sepakan penalty tersebut menjadikan kedudukan 1-1 pada minit ke-12.

Aksi di babak kedua juga tidak banyak dapat diperkatakan setelah kedua-dua pasukan yang saling berbalas serangan tidak menyempurnakan peluang dicipta.

Ketika Subang City FC rancak menyerang dalam usaha mencari jaringan kemenangan pada lewat permainan, Khairul Nizam muncul wira buat Kajang AZS.

Tandukannya hasil sepakan penjuru pada minit ke-70 telah berjaya memberikan kemenangan pertama buat Kajang AZS.

Kajang AZS FC sebelum ini tewas ditangan Duta ZXIV 1-4 dan mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan ketika bertemu KRU Port Klang FC pada minggu lalu.

Leave a Reply

P