Pusingan kelayakan Selangor Champions League 2018 (SCL2018) kini sudah tiba ke minggu ketiga di mana perlawanan pada minggu ini menjadi penentu pasukan manakah bakal menjadi juara kumpulan sekaligus layak ke pusingan seterusnya.

 

Untuk makluman, sebanyak 32 pasukan bertanding bagi saingan kelayakan SCL2018 kali ini dan terbahagi kepada 8 kumpulan. Hanya juara kumpulan bakal layak ke pusingan seterusnya. Juara kumpulan ini bakal bertembung untuk satu lagi perlawanan terakhir dan 4 pasukan yang meraih kemenangan akan layak ke saingan SCL2018.

 

Untuk artikel kali ini, kita akan membincangkan pasukan manakah yang mempunyai peluang untuk ke pusingan seterusnya bermula daripada kumpulan A hinggalah kumpulan H.

KUMPULAN A

Bagi kumpulan A, sudah pasti tumpuan akan diberikan kepada perlawanan di antara pasukan Prime FC menentang pasukan MPKj Lions.

Prime FC yang kini berada di kedudukan dua kumpulan berjaya memungut 4 mata daripada dua perlawanan dan wajib menang perlawanan terakhir ini. Jika mereka gagal untuk mencipta kemenangan, peluang untuk mereka mara akan tertutup.

Bagi MPKj Lions pula, mereka mempunyai kelebihan daripada perbezaan jaringan serta pungutan mata setelah berpesta menewaskan Kraken FC 9-0 pada perlawanan pertama. Mereka hanya perlu seri untuk layak ke pusingan seterusnya. Namun mereka perlu berhati-hati dengan saingan yang diberikan oleh Prime FC pada hari Sabtu ini

Kumpulan B

Pendahulu pasukan ZXIV kini telah layak secara automatic ke SCL2018 setelah menjadi juara KVL Liga Super dan melepaskan slot pusingan kelayakan. Semua pasukan yang pernah menentang pasukan ZXIV diberikan kemenangan percuma 3-0. Ini bermakna pasukan Glorykops UFC mempunyai peluang yang cerah untuk layak ke pusingan seterusnya.

ROTS FC masih lagi mempunyai peluang namun sedikit tipis. Mereka perlu menang ke atas Glorykops FC dengan jaringan besar. Namun dalam bola sepak, tiada yang mustahil. Pasukan Forza Maju Jaya pula dikira telah melengkapkan jadual perlawanan mereka dan menghuni tangga kedua sekaligus tidak mampu untuk menyaingi Glorykops UFC.

 

Kumpulan C

Untuk kumpulan C pula, perlawanan di antara Cheras Raptors menentang Hidayah FC menjadi tumpuan. Kedua-duanya berkongsi mata dan juga mempunyai perbezaan jaringan yang sama. Namun kelebihan berpihak kepada Cheras Raptor kerana mereka mempunyai jaringan yang lebih banyak (6) berbanding Hidayah (5).

Bercerita mengenai kekuatan pasukan pula, kedua-dua pasukan boleh dikatakan seimbang. Pemain kedua-dua pasukan merupakan pemain yang berpengalaman dan pernah bermain di kejohanan Selangor Champions League. Jadi agak sukar untuk meramal pasukan mana bakal menjadi juara kumpulan

 

Kumpulan D

Pasukan baru iaitu Pineapple FC bakal bertemu otai bolasepak komuniti iaitu FC Jelong Muda bagi menentukan siapakah juara kumpulan D. Kedua-dua pasukan terikat 6 mata namun FCJM mempunyai kelebihan perbezaan jaringan.

Selain itu, selaku otai, FCJM juga mempunyai kelebihan daripada segi pengalaman berbanding Pineapple FC. Namun jangan dilupakan bahawa Pineapple FC merupakan juara DACS Social League yang bermain di Padang Johan Setia. Sudah pasti ianya memberi kelebihan buat Pineapple FC kerana mereka sudah selesa bermain di padang tersebut.

 

Kumpulan E

Untuk kumpulan E pula, saingan masih lagi terbuka kepada 3 pasukan iaitu BU Eagles, Waris Malaya serta GTB FC. Namun kelebihan sudah pasti dimiliki oleh pasukan BU Eagles setelah berjaya memungut 6 mata penuh daripada 2 perlawanan. Mereka hanya perlu seri pada perlawanan terakhir menentang pasukan Gamsu FC yang masih lagi gagal mencatat sebarang kemenangan.

Manakala bagi pasukan Waris Malaya serta GTB FC, kedua-duanya perlu meraih kemenangan dengan jaringan yang besar untuk mengejar perbezaan jaringan BU Eagles. Di masa yang sama, mereka juga perlu mengharapkan Gamsu FC untuk menewaskan BU Eagles.

 

Kumpulan F

Seperti kumpulan E, persaingan masih lagi terbuka namun Arslan FC serta Moonrock FC perlu mengharapkan kekalahan KRU FC yang kini selesa mendahului kumpulan dengan 6 mata. KRU FC bakal berjumpa Arslan FC di mana kemenangan dengan jaringan yang besar adalah wajib bagi Arslan manakala untuk KRU FC, seri sudah memadai.

Manakala Moonrock FC bakal turun menentang pasukan Redface FC yang masih gagal memungut sebarang mata juga memerlukan jaringan yang besar untuk memotong KRU FC

 

Kumpulan G

Kumpulan G pula tumpuan sepenuhnya akan diberikan kepada perlawanan diantara pasukan Nadi TYD menentang pasukan SAB FC. Jikalau Nadi TYD berjaya memenangi perlawanan ini, mereka akan mengesahkan kedudukan mereka sebagai juara kumpulan G.

Namun sekiranya mereka gagal meraih kemenangan, SAB FC masih lagi berpeluang kerana mereka mempunyai satu lagi perlawanan gantian pada 9 Ogos ini menentang pasukan Putra City. Begitu juga dengan Putra City. Sekiranya mereka menang perlawanan menentang Sungai Buloh Rovers, peluang mereka masih lagi terbuka.

Kumpulan H

Tidak syak lagi perlawanan penentuan bagi kumpulan H adalah perlawanan di antara Glory United dan Akademi Bola Sepak Merah Kuning (ABMK). Kedua-duanya terikat dengan 6 mata namun kelebihan buat ABMK melalui perbezaan jaringan.

Sudah pasti kedua-dua pasukan akan menurunkan kesebelasan utama mereka dalam memastikan kemenangan berada di pihak mereka untuk layak ke pusingan seterusnya.

 

Apa yang pasti, kesemua pasukan sudah mula merasa tekanan dan juga debaran bagi perlawanan akhir peringkat kumpulan ini. Juga akan ada pasukan yang bakal pulang meskipun sudah melakukan yang terbaik. Yang penting, bermainlah dengan penuh semangat kesukanan. Kepada kesemua pasukan, Football Selangor ingin mengucapkan semoga berjaya.

Leave a Reply

P