MPKj The lions 3-1 Paya Jaras Hiliran FC

MPKj The Lions meneruskan momentum kemenangan yang baru ditemui dengan menewaskan Paya Jaras Hiliran 3-1 dalam aksi minggu ke-7 Kumpulan A Selangor Champions League 2018.

Kedua-dua pasukan memerlukan masa yang agak lama untuk menyesuaikan diri dengan keadaan padang yang sedikit basah. Tetapi MPKj The Lions mempunyai sedikit dominasi berbanding Paya Jaras Hiliran.

Seawal minit ke-6, Paya Jaras Hiliran telah diuji menerusi tandukan penyerang MPKj, Fitri Zaidi. Berpunca daripada sepakan penjuru Aiman Ruslan di sebelah kanan, tiada seorang pun pertahanan Paya Jaras Hiliran berjaya mengawal Fitri. Bagaimanapun tandukan padu Fitri terus menuju ke dakapan penjaga gol lawan, Faiz Ridwan.

MPKj kemudiannya memperkemaskan lagi permainan mereka. Dibantu oleh dominasi kapten Fauzi Adnan di tengah, MPKj kemudiannya berjaya menjaringkan gol pembukaan hasil jaringan Okpe Ukenke yang memanfaatkan hantaran cantik dari tengah pada minit ke-28 permainan.

Ketinggalan 0-1, Paya Jaras Hiliran masih tak mampu untuk menyerang MPKj secara konsisten selepas separuh masa kedua bermula. Hanya selepas percubaan penyerang MPKj, Fitri Zaidi melewati tiang kanan, barulah Paya Jaras Hiliran mendapat peluang hasil larian cemerlang Azrin Aduka di sebelah kiri. Bagaimanapun ia terlalu lemah untuk mencemaskan penjaga gol MPKj, Nik Mohd Sufian.

Paya Jaras Hiliran akhirnya berjaya mendapat gol penyamaan pada minit ke-56. Berpunca daripada sepakan percuma Ikram Yahaya, Nik Mohd Sufian bertindak menepis bola – hanya untuk memberi peluang kepada Mohd Najib menampan dari jarak dekat.

MPKj The Lions mengembalikan kelebihan satu gol mereka 4 minit kemudian. Faiz Ridwan yang selama ini cemerlang, dengan tidak semena-mena membuat kesilapan apabila tersilap memposisikan badannya dengan betul untuk gagal menyelamatkan gol Isshahfudin Nordin.

Fauzi Adnan kemudiannya menguburkan impian Paya Jaras Hiliran untuk membuat kebangkitan pada minit 68′ apabila berjaya menikam bola masuk daripada sepakan penjuru sebelah kiri. Apabila Khairul Ridzwan dibuang padang atas kesalahan DOGSO, ia sekadar mengesahkan kemenangan 3-1 MPKj – kemenangan kedua dalam 2 perlawanan berturut-turut.

KRU Port Klang FC 0-0 Duta ZXiV

Duta ZXiV dan KRU Port Klang terpaksa berpuas hati dengan 1 mata untuk masing-masing selepas terikat 0-0 dalam aksi minggu ke-7 Kumpulan B Selangor Champions League 2018.

Dengan kedua-dua pasukan sama kuat dan sedang menikmati prestasi cemerlang, sukar untuk menentukan pasukan mana yang lebih dominan. Bola banyak berlegar-legar di kawasan tengah dengan Syazmin Firdaus bergelut menguasai jentera tengah menentang rakan sejawatannya dari KRU, Latiff Taib.

Ketika KRU Port Klang banyak menumpukan rancangan serangan mereka di tengah melalui input Latiff Taib, Duta ZXiV pula lebih banyak menyerang dari sayap kiri yang mendapat manfaat daripada larian-larian overlapping Hakeem Badri.

Peluang pertama perlawanan hadir pada minit ke-14 kepada KRU. Rosedy Muslim yang kelihatan berseorangan di hadapan tiba-tiba mendapat hantaran cantik dari tengah untuk melepasi kawalan Faizal Sumar. Mujur bagi ZXiV, penjaga gol mereka, Izzat Abdul Rahim pantas keluar dari pintu golnya untuk menyelamatkan keadaan.

2 minit kemudian, KRU menyerang lagi. Kali ini Huzaini Ikhram menerima hantaran dari kiri di dalam kotak penalti ZXiV, tetapi Izzat Abdul Rahim sekali lagi pantas keluar dari pintu golnya untuk menafikan KRU.

Pelan serangan ZXiV kerap kali tidak menjadi angkara kawalan ketat yang diberikan oleh Khairi Khandani kepada penyerang berbisa Medina Mbeguerre. Khairi langsung tidak memberikan walau seinci ruang kepada Medina sehinggakan beliau terpaksa mengutip kad kuning pada minit ke 25′ untuk menghentikan ZXiV daripada mendapat percubaan tepat pertama mereka.

Rosedy Muslim mempunyai satu peluang pada minit 49’menerusi rembatan jarak jauh. Tetapi ia hanya beberapa inci melewati palang gol. Medina juga mempunyai detik beliau sendiri pada minit 61′, tetapi rembatannya sekadar menggegar sisi jarring.

Kedudukan terikat 0-0 sehingga tamat perlawanan untuk memberikan refleksi tepat perlawanan ini – sengit dan kompetitif – meskipun sedikit membosankan kerana tiada gol.

Cheras Raptors FC 3-0 Subang City FC

Cheras Raptors mencerahkan peluang layak ke suku akhir selepas berjaya menewaskan Subang City 3-0 dalam perlawanan minggu ke-7 Kumpulan B sekaligus bangkit daripada kekecewaan tewas  0-1 pada minggu lalu.

Cheras Raptors menunjukkan dominasi mereka dari awal menerusi kawalan jentera tengah Amares Singh dan serangan bahagian sayap daripada Hamad Mabkhot dan Imran Samsudin. Jentera tengah Subang City yang biasanya dikawal oleh Naven Devarajoo agak tenggelam lantaran komitmen bertahan yang perlu dilakukan mereka untuk mengawal kelincahan dan hantaran lintang Hamad dan Imran.

Plot seterusnya mudah dijangka. Pada minit 23′, hantaran lintang Hamad Mabkhot dari kanan berjaya menemui kepala Shahlan Zakaria yang berjaya menewaskan perangkap ofsaid Subang City. Gol pembukaan dari Cheras Raptors ini sememangnya berhak menjadi milik mereka berdasarkan momentum serangan mereka.

3 minit selepas gol pertama tadi, Cheras Raptors mendapat gol kedua pula. Kali ini penyerang Khairul Anuar yang digugurkan dalam 2 perlawanan sebelum ini membalas kepercayaan ketua jurulatihnya dengan menjaringkan gol. Meskipun rembatan belia berjaya ditampan oleh penjaga gol Subang City, Firdaus Shukor, ia masih tidak mencukupi untuk menafikan gol penyerang Raptors tersebut.

5 minit selepas separuh masa kedua bermula, Subang City mendapat peluang pertama mereka hasil kesilapan mini Afiff. Tetapi mujur bagi Cheras Raptors, Afiff sempat menebus kesilapan beliau dengan reaksi yang pantas untuk mengeluarkan bola.

Pada minit ke-52, gol sepakan penjuru Subang City yang berpunca daripada handling lemah Afiff dibatalkan oleh pengadil yang mendakwa ada kekasaran berlaku dalam kotak penalti Raptors.

Tetapi Cheras Raptors menamatkan sisa-sisa kebangkitan Subang City pada minit ke-59 apabila Mukhlis Nazri berjaya merembat masuk gol ketiga pasukannya dari sudut sukar. Meskipun penjaga gol Subang City, Firdaus Shukor berjaya menangkap rembatan tersebut, kederasan percubaan Mukhlis dicampur dengan kesilapan Firdaus – sekali lagi – membolehkan bola bergolek masuk ke jaring.

Keputusan 3-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan sekaligus menyaksikan peluang Subang City ke suku akhir semakin tipis.

Leave a Reply

P