Duta ZXiV 4-0 Subang City FC

Hatrik dari Medina Mbeguere membantu Duta ZXIV mencatatkan kemenangan 4-0 pada perlawanan bertemu Subang City FC.

Beraksi di atas permukaan padang basah, pemain tengah Duta ZXIV, Jacque Faye terlepas peluang untuk membuka tirai jaringan setelah beliau yang mendapat hantaran lintang dari Rinmon Ngo melakukan percubaan tersasar.

Ketika harapan diletakkan kepada Medina untuk mencipta jaringan, muncul ketua pasukan, Fitri Yatim yang bertindak cemerlang memulakan gerakan selepas berjaya merebut bola di bahagian sendiri untuk meluru pantas bagi meledakkan jaringan gol pertama pada minit ke-9.

Gol yang dinantikan Medina menjelma pada minit ke-15 apabila beliau yang mendapat hantaran daripada Jacque Faye berjaya melepasi kawalan pertahanan lawan.

Medina kemudiannya melepaskan percubaan yang terkena palang namun berjaya sepakan susulan dilakukan untuk gol kedua perlawanan.

Pemain kelahiran Senegal itu terus menjadi igauan ngeri buat pertahanan Subang City FC selepas beliau yang menerima lorongan daripada Akmal Afrizal, menguis masuk bola menewaskan penjaga gol, Firdaus Shukor di minit ke-29.

Duta ZXIV yang mempamerkan aksi kemas pada perlawanan ini terus unggul dengan corak permainan hantaran pendek serta lebih memfokuskan serangan menerusi sayap.

Medina melengkapkan hatriknya menerusi jaringan pada minit ke-46 sekaligus menjadikannya sebagai penjaring terbanyak setakat ini.

Berpunca daripada hantaran lincang yang dilakukan Rinmon, Medina yang tidak dikawal dengan mudah mengatasi penjaga gol untuk menjadikan kedudukan 4-0.

Kedudukan tersebut kekal hingga tamat permainan walaupun Duta ZXIV terus melancarkan serangan untuk terus meraih jaringan.

Empat kemenangan, dua keputusan seri dan satu kekalahan meletakkan Duta ZXIV mencatatkan 14 mata bagi mengesahkan kemaraan mereka ke peringkat suku akhir manakala Subang City FC hanya lima mata selepas tujuh perlawanan.

Cheras Raptors FC 2-2 Paya Jaras Hiliran FC

Cheras Raptors gagal meraih kemenangan yang diidamkan selepas sekadar seri 2-2 ketika bertemu Club Atletico De Bukit Jelutong (CABJ).

Cheras Raptors dilihat lebih menyajikan aksi bertenaga pada babak pertama dengan corak permainan lebih tersusun berbanding CABJ.

Dalam keghairahan Cheras Raptors memburu peluang jaringan, CABJ melakukan serangan di sebelah kiri pintu gol Cheras Raptors oleh Farhan Jasmin.

Farhan seterusnya melakukan hantaran ke belakang untuk disambar abang kandungnya, Naim Jasmin bagi membuka tirai jaringan pada minit ke-17 menerusi sepakan ‘placing’ cantik.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Cheras Raptors memperkemaskan aksi untuk kembali menyamakan kedudukan.

Semuanya berada di landasan yang tepat apabila gerakan yang dicipta dalam kawasan penalti didakwa terkena tangan pertahanan CABJ untuk mereka dihadiahkan sepakan penalti.

Hamad Aqel Mabkhot yang dipertanggungjawabkan mengambil sepakan tersebut tidak melepaskan peluang mengikat kedudukan pada minit ke-32.

Cheras Raptors di hadapan berselang dua minit perlawanan kembali bersambung berikutan kesilapan penjaga gol CABJ, Aimran Ambari yang gagal menangkap kemas bola hasil sepakan percuma dari jarak jauh.

Khairul Anuar Hashim yang tidak dikawal pertahanan CABJ menghukum kealpaan Aimran dengan mudah menolak masuk bola untuk gol kedua buat Cheras Raptors.

Bangkit dari kesilapan tersebut, CABJ mengatur semula gerakan dan ia membuahkan hasil apabila giliran mereka pula diberikan sepakan penalti selepas Naim Jasmin dikasari Nazrin Nazim dalam kawasan penalti.

Ruffie Aziz mudah menyempurnakan sepakan penalti itu pada minit ke-54 untuk menjadikan keputusan 2-2.

Cheras Raptors yang memburu kemenangan untuk semakin mendekatkan diri dengan saingan suku akhir, melancarkan serangan bertali arus pada minit akhir permainan.

Namun usaha mereka digagalkan akibat ketangkasan Aimran terutamanya ketika menafikan sepakan gunting yang diledakkan penjaga gol Cheras Raptors, Afiff Aizad.

Keputusan seri yang diraih Cheras Raptors pada perlawanan ini menyaksikan mereka perlu menunggu aksi terakhir minggu hadapan menentang Kajang AZS.

Gombak FC 6-0 Paya Jaras Hiliran FC

Hujan di Subang Jaya tidak langsung merencatkan aksi Gombak FC selepas berpesta jaringan menewaskan Paya Jaras Hiliran (PJH) 6-0 dalam saingan kumpulan A.

Gombak FC yang dibarisi hampir majoriti pemain muda mempamerkan permainan pantas bagi memerangkap Paya Jaras Hiliran yang masih belum meraih sebarang mata setakat ini.

Pesta jaringan Gombak FA bermula pada minit ke-17 apabila Abdulkadir Ali Kassim membuatkan penjaga gol PJH, Mohd Faiz Ridwan tertewas selepas beliau meledakkan rembatan cantik dari luar kawasan penalti untuk menjadikan keputusan 1-0.

Berselang 10 minit kemudian, Abdulkadir menggandakan kedudukan menerusi sepakan penalti yang dihadiahkan akibat kekasaran pertahanan PJH, Mohd Alilah Ariffin dalam kawasan penalti.

Muhammad Nur Hakim Abd Latif menambah duka buat PJH tiga minit selepas jaringan kedua dihasilkan apabila pemain berusia 22 tahun itu menyempurnakan peluang setelah menerima hantaran lintang berkualiti Muhammad Iqbal Khairul Anuar.

Berselang seminit, ketika para pemain PJH belum sempat memperkemaskan aksi, Gombak FC terus menghukum lawan mereka dengan jaringan keempat menerusi Shaza Badri Azhar.

Menerusi hantaran yang dilakukan Muhammad Iqbal Khairul Anuar, Shaza tidak mensia-siakan peluang untuk terus membolosi gawang yang dikawal Faiz Ridwan.

Gombak FC meneruskan penguasaan dengan mendominasi aksi di babak kedua dan hampir menambah jaringan kelima pada minit ke-45.

Bagaimanapun, sepakan penalti yang dihadiahkan pengadil gagal disempurnakan oleh Abdulkadir setelah sepakannya berjaya ditangkap kemas Faiz. Terlepas peluang buat beliau untuk melengkapkan hatrik.

Pertahanan kiri, Ahmad Faisal Roslee meledakkan rembatan cantik dari luar kawasan penalti pada minit ke-54 untuk menjadikan kedudukan 5-0.

Malang terus menimpa PJH selepas pemain mereka, Alilah Ariffin diperintah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua dan kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh Raja Muhammad Iman Haikal untuk menutup pesta jaringan buat Gombak FC.

 

Leave a Reply

P