Klang Southern FC 0-0 Banting Naga FC

Klang Southern FC yang turun selaku pendahulu kumpulan A terlebih dahulu mengasak ke kubu lawan pada minit ke-8 selepas gerakan dari sebelah kanan pintu gol Banting Naga FC gagal disudahkan dengan baik oleh Shahrul Afif Shaharuddin.

Selepas itu, aksi sedikit hambar dipamerkan kedua-dua pasukan walaupun terdapat beberapa gerakan serta serangan yang berjaya dicipta pada babak pertama.

Skuad yang dibimbing Gan Chee Lim itu memperkemaskan aksi di separuh masa kedua dengan mendominasi aksi dalam usaha memburu jaringan.

Banting Naga FC yang sesekali memberikan ancaman terhadap Klang Southern FC hampir di hadapan pada minit ke-64, namun percubaan P. Saravana Kumar ketika pintu gol Klang Southern FC sudah terbuka luas berjaya dihalang Uche George.

Ketika Klang Southern FC tampak semakin mengendurkan asakan pada lewat permainan, Banting Naga FC pula melancarkan beberapa serangan berbahaya.

Bagaimanapun serangan yang dicipta masih gagal memecah kebuntuan untuk kedudukan tanpa jaringan terikat sehingga tamat permainan.

Paya Jaras Hiliran FC 0-3 Axis O2 PJ FC

Setelah beberapa perlawanan agak sukar bagi Axis O2 untuk mendapatkan kemenangan selesa, akhirnya mereka Berjaya mencatat kemenangan 3-0 ke atas Paya Jaras Hiliran FC.

Axis-O2 PJ FC yang merupakan juara edisi musim lalu bermula garang apabila tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan seawal minit ke-4 menerusi Ahmad Shafeez Ibrahim.

Shafeez yang mendapat lorongan menarik dari Desmond Amadi Apaoma, meluru pantas ke pintu gol PJH FC yang sekaligus melepaskan rembatan yang menewaskan penjaga gol, Mohd Faiz Ridwan.

Axis O2 kemudiannya Berjaya menggandakan jaringan apabila lorongan bola daripada Irfan Zami kepada Harrith El Muhaimin berjaya disempurnakan dengan tenang oleh pemain sayap berusia 19 tahun itu.

 

Permainan bersambung turut menyaksikan penguasaan oleh Axis-O2 dengan Desmond Amadi sekali lagi memainkan peranan yang cukup baik dalam merangka serangan.

Desmond tidak ketinggalan untuk meletakkan nama selaku penjaring pada minit ke-61 selepas kegagalan Faiz yang menangkap kemas percubaan dari sebelah kanan pintu gol PJH FC dan terus disambar pemain kelahiran Nigeria itu untuk gol ketiga.

Kemenangan yang diraih Axis-O2 pada perlawanan merupakan kemenangan kedua berturut-turut buat mereka selepas permulaan dua aksi yang sedikit hambar sebelum ini untuk menghuni tangga kedua kumpulan A.

Subang City FC 0-5 NPNG FC Damansara Damai

NPNG FC Damansara Damai menepati ramalan selaku pasukan pilihan setelah berpesta gol untuk menumpaskan Subang City FC 5-0.

Perancang kreatif NPNG FC Damansara Damai, Mohd Lukhman Noor Hakim sekali lagi mempamerkan kebijaksanaan beliau untuk merencakan pasukannya

Buktinya, hantaran jarak jauh beliau yang begitu cantik Berjaya disudahkan G. Sivachandran untuk gol pertama NPNG pada minit ke-24.

Memasuki babak kedua, Subang City FC terus tenggelam dek serangan hebat yang dilancarkan NPNG FC Damansara Damai.

Badrul Hisyam Azmi menambah jaringan kedua berselang tiga minit perlawanan babak kedua bersambung menerusi tandukan susulan yang dilakukan hasil hantaran lintang dari sebelah kiri Subang City FC.

Lukhman Noor Hakim menambah luka buat Subang City FC selepas beliau berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-47 akibat kekasaran yang dilakukan pertahanan, Ravi Kumar terhadap Mohd Haiqal Johari dalam kawasan penalti.

Dua lagi jaringan NPNG FC Damansara Damai dihasilkan oleh Ridhwan Johan dan Darshen Ganesan pada minit ke-62 dan 64 untuk keputusan penuh 5-0.

Klang Valley United 3-1 CABJ

Akhirnya pasukan bimbingan jurulatih Shazwan Wong Berjaya meraih kemenangan mereka di dalam saingan SCL2018 selepas menewaskan pasukan CABJ 3-1.

Klang Valley United tidak perlu menunggu lama untuk membuka jaringan setelah Syafiq Riza Huzair bijak melepasi perangkap ofsaid CABJ 3 dan menjaringkan gol 3 minit selepas wisel permainan dibunyikan.

CABJ yang sedikit tenggelam pada aksi babak pertama cuba untuk memberikan ancaman buat pintu gol KVU pada minit ke-28, namun sepakan percuma yang diambil Muhammad Naim Jasmin mudah ditangkap Arfan Nafiq.

Wan Khairil Azwa Wan Jusoh menggunakan kesempatan diatas kesilapan penjaga gol CABJ, Haziq Amran yang gagal menangkap bola dengan kemas untuk menambah jaringan kedua pada minit ke-38.

Perlawanan bagaimanapun dicemari dengan dua layangan kad merah oleh pengadil perlawanan apabila Hasbullah Mohamed (KVU) menerima kad kuning kedua pada minit ke-39 manakala Muhamad Shafizi Sehrom pula diperintah keluar padang di minit ke-57.

Abdul Rayjal Abdul Jalil menceriakan kem CABJ selepas beliau yang mendapat lorongan dalam kawasan penalti dengan tenang menyudahkan peluang untuk merapatkan kedudukan.

Beberapa minit kemudian, Abdul Rayjal sekali lagi mendapat peluang seperti jaringan dihasilkannya, namun pertahanan KVU lebih pantas menafikan percubaan lambung dari beliau.

Ketika CABJ giat merangka gerakan untuk menyamakan kedudukan, Hamizan Hamzah mematikan sisa perjuangan kelab berpengkalan di Bukit Jelutong itu pada minit ke-69 bagi mengesahkan kemenangan 3-1 buat KVU.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Leave a Reply

P