Gombak FC 1-2 MPKj The Lions

Dua jaringan dihasilkan Mohd Fauzi Adnan Berjaya menghadiahkan kemenangan sulung buat MPKJ The Lions bagi menewaskan Gombak FC 2-1.

Aksi pada separuh masa pertama menyaksikan corak permainan seimbang tanpa serangan yang begitu berbahaya dapat dicipta kedua-dua pasukan.

Serangan yang cuba dilancarkan dengan mudah berjaya dipatahkan pertahanan masing-masing bagi menghalang asakan lawan sehinggalah pada lewat babak pertama apabila MPKJ The Lions dihadiahkan sepakan penalti.

Ketua pasukan, Fauzi Adnan tidak mensia-sia peluang tersebut untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-32.

Muhammad Nur Hakim Abd Latif hampir menyamakan kedudukan apabila sepakan percuma cantik yang diledakkan berselang enam minit selepas perlawanan kembali bersambung berjaya dinafikan penjaga gol MPKJ The Lions, Danial Asraf Rani.

Gombak FC yang dibarisi pemain-pemain muda tidak berputus asa mengancam kubu MPKJ The Lions dan serangan bertali arus yang dicipta akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-59 menerusi Nur Hakim.

Ketika perlawanan disangkakan bakal berakhir dengan terikat 1-1, Fauzi Adnan muncul wira buat MPKJ The Lions setelah sepakan percuma yang diledakkan terus menerjah gawang Gombak FC ketika perlawanan hanya berbaki dua minit sahaja lagi.

Cheras Raptors FC 1-1 Duta ZXiV

Corak permainan pada perlawanan kedua bagi minggu kelima Selangor Champions League 2018 ini memperlihatkan perlawanan yang lebih menghiburkan berbanding aksi di sebelah petang.

Berdepan pasukan yang dibarisi pemain-pemain yang berkualiti tidak langsung dihiraukan Cheras Raptors apabila mereka lebih mengancam ke kubu Duta ZXIV.

Amares Singh menguji gawang Duta ZXIV di minit kelima apabila percubaan luar kotak penalti yang diledakkan hanya sedikit melewati palang gol.

Percubaan dari jarak dekat oleh Yuhendri Rusdi pula berjaya ditepis penjaga gol Duta ZXIV, Nor Eqram Azray Suzhaimi.

Cheras Raptors yang semakin bernafsu memburu jaringan sekali dikecewakan setelah percubaan dari Amares hanya singgah di palang gol untuk keputusan tanpa jaringan kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Medina sekali lagi terlepas peluang keemasan selepas hantaran lintang yang diterima dari sebelah kiri pintu gol Cheras Raptors ditanduk sedikit tersasar pemain kelahiran Senegal itu.

Jaringan yang dinantikan Cheras Raptors akhirnya menjelma pada minit ke-50 berpunca dari sepakan percuma yang diambil Hamad Aqel Mabkhot disudahkan dengan kemas menerusi tandukan oleh Amares.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Duta ZXIV bingkas untuk bangkit memburu jaringan penyamaan.

Perlawanan dicemari dengan layangan kad merah setelah penjaring gol yang juga merupakan ketua pasukan Cheras Raptors, Amares diperintah keluar padang pada masa kecederaan.

Usaha berterusan mereka hingga ke minit terakhir permainan dibayar dengan seribu kelegaan apabila pemain gantian, Muhamad Afif Asyraf Muhamad Khalil menanduk masuk bola hasil hantaran lintang untuk menyelamatkan maruah Duta ZXIV dari menerima kekalahan pada perlawanan ini.

KRU Port Klang FC 1-1 Gombak Hypernova FC

KRU Port Klang FC yang merupakan antara pasukan pilihan dalam saingan Selangor Champions League 2018 berjaya mengenepikan cabaran Gombak Hypernova FT dengan kemenangan tipis 1-0.

Dibarisi pemain berpengalaman jelas menjadi kelebihan buat KRU Port Klang FC yang rancak mengatur gerakan bagi merobohkan jentera pertahanan Gombak Hypernova FC yang dikemudi Hairul Azmi Mukhsin dan Mohammad Shukri Syamsuddin.

Berpunca dari kesilapan pertahanan Hypernova FT, Mohd Suhaili Abdul Rahman yang mendapat hantaran dari rakan sepasukan, dengan tenang menyudahkan peluang untuk membuka tirai jaringan buat KRU Port Klang FC pada minit ke-33.

Berselang dua minit selepas perlawanan bersambung, KRU Port Klang meningkatkan serangan dan gerakan cantik Suhaili dan Rosedy Muslim hampir melebarkan kedudukan.

Bagaimanapun, rembatan yang cuba dilakukan Rosedy berjaya digagalkan penjaga gol Gombak Hypernova FT, Muhammad Aidil Iskandar Anuar.

Terkenal dengan semangat juang tinggi serta tidak memberikan cabaran mudah buat lawan walaupun masih gagal mencatatkan sebarang kemenangan, Hypernova FT tetap berusaha keras untuk mendapatkan jaringan.

Usaha yang dilancarkan pada masa tambahan masih belum mampu untuk menghadirkan jaringan penyamaan buat Gombak Hypernova FT bagi mengesahkan kemenangan 1-0 milik KRU Port Klang FC.

 

 

*Nota kaki: Keputusan 1-1 masih lagi kekal bagi perlawanan di antara Duta ZXIV vs Cheras Raptors. Namun ianya masih dalam siasatan dan mungkin akan ada perubahan selepas ini.

Leave a Reply

P