Setelah kejayaan Selangor Champions League pada tahun lalu, kali ini Football Selangor (FS) ingin memperkenalkan satu lagi program baru iaitu Community Club Development Programme. Apa itu Community Club Development Programme?

Community Club Development Programme ini merupakan projek di bawah seliaan FS di mana beberapa pasukan bola sepak komuniti dipilih untuk bersama-sama berkerjasama dengan FS dalam menghasilkan kelab yang lebih professional.

Kelab-kelab komuniti ini akan mengamalkan pendekatan inklusif, holistik yang mampan dalam aktiviti mereka. Peranan FS adalah untuk memudahkan dan menghubungkan kelab-kelab ini dengan peluang dan sumber yang penting untuk penubuhan dan pertumbuhan mereka.

Atas faktor apa FS ingin menjalankan program Community Club ini? Visi FS bagi program ini adalah untuk membangunkan kelab-kelab komuniti ini ke kelab profesional yang mampan. Sudah banyak pasukan komuniti di luar negara seperti AFC Wimbledon dan juga Yokohama FC yang bermula sebagai pasukan komuniti namun kini sudah berjaya. Jadi mungkin ini masanya untuk kelab komuniti di Malaysia pula.

Sebanyak 6 kelab telah terpilih bagi menyertai program Community Club ini; Club Atletico de Bukit Jelutong, Gombak FC, KV United FC, Puchong Fuerza FC, Shah Alam Antlers FC dan juga Subang City FC.

Untuk setiap kelab yang terlibat, terdapat beberapa perkara yang bakal FS salurkan dalam usaha untuk membantu pasukan tersebut. Antaranya adalah membantu menyediakan peralatan, bantuan penajaan dan banyak lagi. Pasukan ini juga akan mendapat slot automatik ke saingan Selangor Champions League 2018 sekiranya kelab-kelab ini berjaya memenuhi syarat-syarat yang diletakkan oleh FS.

Pertama mereka haruslah berdaftar di bawah Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia (ROSA). Kemudian mereka haruslah mempunyai pusat latihan mereka sendiri dan menjalankan latihan mingguan.

Kelab ini juga perlu mendapatkan 1000 tandatangan daripada penduduk setempat bagi mempamerkan sokongan daripada penduduk kepada pasukan tersebut. Mereka juga perlulah menubuhkan akademi dan mempunyai 200 orang ahli berdaftar.

Selain itu, kelab perlu menjana sebanyak RM 2000.00 daripada hasil jualan jersi ataupun cenderamata kelab, mengadakan 6 aktiviti komuniti, dan juga meraih 2000 pengikut di setiap media sosial.

Bukan sekadar itu, setiap kelab perlulah mempunyai pasukan utama serta pasukan simpanan. Juga, salah seorang daripada ahli jawatankuasa kelab mempunyai lesen “C” daripada FAM. Sokongan dariada MPP,JKP ataupun ahli majlis juga diperlukan.

Serta, syarat yang terakhir dan yang terpenting adalah pada setiap hari perlawanan, setiap pasukan diwajibkan untuk membawa 50 orang penyokong. Jika ianya gagal untuk dilaksanakan, hukuman yang berat akan dikenakan.

Dengan program ini, FS mensasarkan salah satu pasukan ini untuk layak ke Liga Super Malaysia pada tahun 2027. Semoga dengan inisiatif yang dibawakan oleh FS ini mampu untuk merencana satu pasukan komuniti yang berjaya seiring dengan pasukan profesional yang lain.

Leave a Reply

P