Wajah Bola Selangor: Rosnani Abdul Wahid

Wajah Bola Selangor merupakan koleksi temubual dan kisah-kisah individu yang dirakamkan dari padang, stadium, bandar, lebuh dan jalanan, bagi membawa di sebalik tabir kehidupan mereka yang memberi nafas kepada dunia bola sepak Selangor.

Minggu ini kami bawakan kisah Rosnani Binti Abdul Wahid kepada anda.

Nama penuh saya Rosnani Binti Abdul Wahid. Berumur 55 tahun. Saya dilahirkan dan dibesarkan di negeri Selangor. Saya adalah seorang anak tunggal dan telah berkahwin dengan seorang anggota polis, Zainuddin Bin Ramli.

Dalam perkahwinan saya dengan Zainuddin, saya dikurniakan dengan 4 orang anak, dua perempuan dan dua lelaki. Anak sulung saya berumur 33 tahun dan merupakan seorang jurutera. Yang kedua pula adalah seorang microbiologist, dan berumur 30 tahun. Manakala yang ketiga, berumur 27 tahun, seorang juruteknik Oil & Gas. Yang bongsu masih belajar dan bakal menduduki SPM pada tahun ini.

Seperti kata orang, menjadi seorang anak tunggal dalam keluarga, sememangnya sifat manja itu sudah menjadi lumrah- sehinggakan hampir kebanyakkan benda saya tak boleh buat sendiri. Mesti kena ada dengan mak atau ayah. Mereka takkan sekali-kali benarkan saya keseorangan, jadi hidup saya semasa kecil sehingga meningkat dewasa, memang kurang kebebasan.

Sebagai seorang yang hanya berkelulusan SPM, sebaik sahaja tamat sekolah, saya terus mula bekerja. Kerja pertama dan satu-satunya kerja sepanjang hidup saya adalah dengan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) ini, yang mana saya bermula sebagai kerani pada tahun 1982.

Awalnya, saya diberi tugasan dengan kerja-kerja seperti menjawab surat daripada kelab-kelab, membuat filing, dan pada masa itu, hanya ada saya dengan Mrs.Nathan, Marzuki dan Thiagarajan, office boy. Hanya ada kami berempat. Setiausaha Agung pada masa itu adalah Datuk S.Anthonysamy.

Selepas itu, semasa Mr Raj dilantik sebagai pengerusi pertandingan, beliau mula mendidik saya menguruskan hal ehwal pertandingan. Dari situ, saya mula terlibat dengan penyusunan jadual perlawanan, tempahan padang, pelantikan pengadil, dan juga jawatankuasa tatatertib.

Semenjak saya bersama dengan FAS dari 36 tahun yang lalu lagi, Liga Selangor sudah lama wujud. Liga Selangor sebenarnya sudah ada dari sekitar tahun 70an dan diteruskan hinggalah sekarang.

Mula-mula kita dikenali sebagai Liga Dunhill sebab Dunhill merupakan penaja pada masa itu, iaitu Liga Super Selangor sekarang. Pernah juga dua penggal liga itu ditaja oleh MK Land sekitar tahun 90-an.

Konsep Liga FAS dulu dengan sekarang sebenarnya lebih kurang sahaja. Kita ada dua liga; Liga Terbuka dan Liga JKRP, iaitu Jabatan Kerajaan dan Perniagaan.

Liga Terbuka ini melibatkan kelab-kelab sosial contohnya pasukan Klang Gate, Winners, dan yang seangkatan dengannya, semua termasuk dalam kategori bahagian terbuka. Untuk Liga JKRP pula, ada pasukan seperti Lam Soon, Talasco, Affin Bank, dan lain-lain.

Macam arwah Mokhtar Dahari semua itu dulunya bermain untuk kelab. Mokhtar bermain untuk Kwong Yik Bank. Ramai juga pemain Selangor yang lain berasal daripada liga pada masa itu seperti Reduan Abdullah dan lain-lain.

Saya masih ingat, kalau ada perlawanan Kwong Yik Bank pada masa itu, penonton dan penyokong yang datang untuk melihat perlawanan tersebut sangat ramai, sepertimana penonton membanjiri stadium untuk melihat perlawanan Selangor. Lebih kurang 7 atau 8 orang pemain Selangor ada dalam liga itu.

Dulu kebanyakkan perlawanan liga diadakan di sekitar tempat yang bergelar Pudu Raya sekarang ini. Apabila kami mengadakan perlawanan di sana, pasti ramai penyokong-penyokong kelab berpusu-pusu untuk memberi semangat. Berbanding zaman sekarang, sudah banyak hiburan lain untuk anak-anak muda, maka penonton dan penyokong untuk pertandingan peringkat akar umbi pun semakin berkurangan.

Liga Selangor ini sebenarnya adalah liga yang terbesar di Malaysia kerana mempunyai pasukan yang paling banyak bertanding dan ianya konsisten dianjurkan setiap tahun, tanpa pernah missed. Cuma ada sekali, season itu tak sempat habis, dan dibawa sambung ke tahun depan, dan yang liga untuk tahun sama turut diteruskan.

Sepanjang perjalanan kerjaya saya dengan FAS, pengaruh besar dalam hidup saya sebagai idola yang saya pandang adalah Datuk Hamidin. Saya lihat sendiri bagaimana beliau bermula daripada bawah, sehingga berjaya menjadi Presiden FAM hari ini.

Datuk Hamidin yang saya kenal, bermula hanya sebagai ahli kelab penyokong, wakil Kelab Perwira Affin Bank dalam Persatuan Bola Sepak Selangor pada masa itu. Step by step, daripada eksekutif dia menjadi Setiausaha Agung FAS, kemudian Exco FAM, kemudian Setiausaha Agung FAM dan sekarang, Presiden FAM.

Bagi saya perjalanan karier beliau dalam dunia bola sepak adalah sangat menakjubkan dan secara individu, saya berbangga kerana pernah bekerja dan berkhidmat dengan beliau. Selama saya di FAS ini, saya juga pernah bekerja di bawah Datuk Salleh Ahmad, kemudian Tuan Haji Kudus, En Rosman, dan sekarang Dr Johan.

Harapan saya satu hari nanti, orang akan ingat saya sepertimana diri saya seadanya. Sepertimana saya telah membantu sedikit sebanyak dunia bola sepak Selangor, dan saya ingin sekali melihat Liga FAS ini lebih maju, lebih proaktif dari segi penganjuran, peningkatan, kemudian dapat melahirkan pemain-pemain daripada liga.

Saya juga berharap agar anak-anak muda sekarang akan lebih berminat untuk turun ke stadium dan terus memberi semangat dan sokongan kepada pasukan kegemaran mereka, seperti dulu.

“Harimau mati menginggalkan belang, manusia mati meniggalkan nama.”

 

Rosnani Abdul Wahid,
Kerani Persatuan Bola Sepak Selangor, Perintis Liga Selangor, Seorang Anak, dan Ibu


Baca kisah Wajah Bola Selangor yang lain:
Wajah Bola Selangor: Felicia Adele Ng
Wajah Bola Selangor: Zainal Nordin