Pemain tengah Selangor, S Veenod membuktikan dirinya sudah bersedia untuk kembali berada dalam kesebelasan utama skuad Red Giants itu apabila menjaringkan gol ketika seri 1-1 dengan Kedah pada aksi Liga Super 2017 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam tadi.

Penggantungan Amri Yahyah dan Andik Vermansah menyaksikan jurulatih Selangor, P Maniam menyenaraikan Veenod dalam senarai permulaan selepas pemain berusia 29 tahun yang berasal dari Pulau Pinang itu dilihat lebih banyak bermula dari bangku simpanan dalam beberapa perlawanan yang lepas.

“Bagi saya, main dalam kesebelasan utama atau tidak, itu terpulang kepada jurulatih untuk menentukannya.

“Jika diberi peluang beraksi, saya akan gunakan peluang itu sebaiknya untuk perlawanan yang akan datang,” kata Veenod pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.

Jaringan cantik Veenod pada minit ke-17 meletakkan Selangor di hadapan sebelum Kedah berjaya menyamakan kedudukan menerusi Ken Ilso Larsen pada minit ke-30.

Namun Veenod mengakui, barisan depan Selangor sedikit kurang menyengat selepas Rufino terpaksa dikeluarkan seawal minit ke-24 akibat kecederaan, selain tanpa kelibat Amri dan Andik untuk mengucar kacirkan barisan pertahanan Kedah.

“Jika ada Amri, Andik dan juga Rufino, saya rasa kami mampu bawa pulang tiga mata penuh kerana Kedah pun turun tanpa ramai tonggak utama mereka pada perlawanan ini.

“Tapi dengan satu mata ini pun, saya rasa bangga juga kerana sekurang-kurangnya kami tidak pulang dengan tangan kosong.

“Lagipun rakan-rakan sepasukan sudah melakukan yang terbaik dan harap momentum ini dapat diteruskan pada perlawanan akan datang bertemu JDT untuk aksi Piala Malaysia di Selayang, Selasa ini,” jelas Veenod.