ABK17

Tengku Amir sah Presiden baharu FAS

Raja Muda Selangor, DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sah dipilih sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang baharu menggantikan Dato’ Sri Subahan Kamal pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) di Geno Hotel, Subang Jaya, hari ini.

“Saya amat berbesar hati diberi peluang untuk menjadi presiden bagi organisasi yang penuh sejarah dan kejayaan ini.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada ahli-ahli gabungan FAS yang telah memberikan sokongan dan kepercayaan kepada saya untuk menggalas tanggungjawab bagi menyusun semula organisasi ini.

“Sokongan berterusan anda semua adalah penting bagi mengembalikan kegemilangan bola sepak Selangor,” titah Tengku Amir Shah menerusi kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Baginda turut menyatakan rancangannya untuk mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAS yang pertama di bawah pentadbirannya pada 10 Julai ini.

“Saya akan bekerja lebih rapat dengan pasukan saya dalam Exco FAS yang mana saya percaya setiap daripada kami memiliki tugas besar yang mendatang dan perlu untuk memainkan peranan penting.

“Banyak kerja yang perlu dilakukan. Inilah masanya untuk FAS lebih terbuka dan bersedia menerima idea serta cadangan bagi melangkah lebih maju.

“Untuk itu, saya merancang untuk menganjurkan satu sesi bengkel dalam masa terdekat ini bagi mengumpul idea-idea baharu serta untuk merumus dan menghuraikan inisiatif pembaharuan berterusan FAS bagi mencapai visi dan matlamat yang akan saya tetapkan.

“Ahli-ahli gabungan FAS dan para pemegang taruh bola sepak Selangor akan dijemput menyertai sesi bengkel tersebut,” jelas baginda.

Menjelang final Piala FA 2018 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu ini (7 Julai) yang menyaksikan Selangor bertemu Pahang, Tengku Amir Shah menyeru kehadiran ramai penyokong Red Giants bagi memastikan Selangor dapat meraih trofi berkenaan buat kali keenam.

“Saya menyeru para penyokong Selangor untuk bukan saja memenuhi stadium, tetapi memberi segala yang mereka ada untuk memberikan sokongan kepada para pemain Selangor di atas padang secara berterusan menerusi sorakan padu sepanjang perlawanan.

“Marilah kita membuka buku baharu dalam membentuk mentaliti juara dan kita semua perlu bersatu serta berpadu tenaga ketika situasi sukar dalam sejarah bola sepak Selangor,” titah baginda.