Syahmi: Terima kasih atas kepercayaan

Syahmi Safari, penjaring dua gol Selangor ketika membenam Melaka 4-1 pada perlawanan kedua Liga Super 2018 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi bertekad untuk terus meningkatkan prestasinya bersama skuad Red Giants musim ini.

Biarpun tidak beraksi pada perlawanan sulung liga ketika Selangor menewaskan Kuala Lumpur 2-0 di gelanggang sama, Ahad lalu kerana masalah kesihatan, Syahmi yang baru menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-20 pada Isnin lalu tidak berasa kekok diletakkan dalam kesebelasan utama, malam tadi.

Bagi Syahmi, dia mahu berterima kasih kepada ketua jurulatih Selangor, P Maniam serta barisan kejurulatihan pasukan yang memberi kepercayaan kepada dirinya biarpun lama tidak beraksi bersama pasukan kerana tugasan skuad B-23 kebangsaan pada Kejuaraan B-23 AFC 2018 di China, bulan lalu.

“Pertama sekali, syukur alhamdulillah kerana Selangor berjaya mencatat kemenangan ke atas Melaka pada malam ini.

“Ini perlawanan pertama saya bersama Selangor untuk tahun 2018 ini kerana sebelum ini saya tidak dapat diturunkan kerana mengalami sedikit masalah kesihatan.

“Terima kasih kepada jurulatih semua yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk beraksi malam ini kerana ia bukan senang, memandangkan saya pun baru saja sihat dan terus diberi peluang berada dalam kesebelasan utama.

“Dua gol ini sudah tentu menjadi pembakar semangat untuk saya meningkatkan lagi kualiti permainan. Saya pun masih muda dan banyak lagi yang perlu diperbaiki untuk lebih maju,” kata Syahmi pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.

Syahmi menjaringkan gol kedua Selangor pada minit ke-54 selepas memanfaatkan kesilapan penjaga gol Melaka, Zamir Selamat sebelum menyumbat gol keempat Selangor pada minit ke-90 menerusi satu rembatan tepat hasil lorongan bola daripada Evan Dimas.

Dua lagi gol Selangor dijaringkan penyerang import dari Sepanyol, Rufino Segovia pada minit kelapan dan 67 manakala gol tunggal Melaka menerusi sepakan percuma Tiago Gomes pada minit ke-30.

“Dua gol saya jaringkan itu bukan semata-mata hasil usaha saya seorang, ia menerusi kerjasama antara satu sama lain. Sebagai contoh, gol pertama itu tidak akan terhasil jika rakan sepasukan lain tidak sama-sama ikut ‘press’ ke atas. Rezeki saya malam ini,” jelas Syahmi.

Dalam sistem formasi 3-4-3 diterapkan Maniam untuk pasukan Selangor, Syahmi boleh diletakkan di pelbagai posisi seperti penyerang di sebelah kanan pada aksi malam tadi, sayap/bek kanan dan juga di posisi tengah.

Ditanya posisi mana yang dia lebih selesa, Syahmi berkata: “Itu terpulang kepada keputusan jurulatih mahu letak saya di posisi mana. Saya sentiasa bersedia untuk diletakkan sebagai pemain bertahan atau pun menyerang.”