ABK17

Syahmi: Saya sedia kembali dalam kesebelasan

Bintang muda Selangor, Syahmi Safari menyatakan kesediaan untuk diturunkan dalam kesebelasan utama bagi perlawanan separuh akhir pertama Piala FA 2018 bertemu PKNS FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Sabtu ini.

Selepas terlepas dua aksi liga bertemu PKNS FC sebelum ini kerana kecederaan buku lali, Syahmi, 20, masuk sebagai pemain gantian pada aksi Liga Super 2018 bertemu Perak di Cheras, malam tadi.

Dan kelibatnya telah memberi impak untuk membantu Selangor mengikat pasukan tangga kedua liga itu dengan keputusan seri 1-1.

“Rasanya insya-Allah kalau diberikan peluang untuk bermula dalam kesebelasan utama bagi perlawanan selepas ini, saya sudah bersedia. Bukan saja saya, pemain lain pun jika diberi peluang sedemikian akan cuba memberikan yang terbaik untuk pasukan.

“Saya percaya rakan sepasukan lain pun sudah bersedia untuk menghadapi aksi separuh akhir Piala FA pada Sabtu ini. Dengan kejayaan mengikat Perak malam ini, saya pasti semua pemain akan cuba beri yang lebih baik pada Sabtu ini,” kata Syahmi pada sidang media selepas perlawanan.

Pada aksi malam tadi, Syahmi dimasukkan jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir pada minit ke-58 bagi menggantikan pemain tengah import dari Indonesia, Evan Dimas.

Ternyata kemasukan Syahmi telah menghidupkan jentera depan Selangor apabila kelincahannya berjaya mengucar kacirkan barisan pertahanan Perak sehingga akhirnya mereka berjaya memperoleh gol penyamaan menerusi sepakan percuma kapten, Amri Yahyah pada minit ke-81.

“Sudah tentu apabila masuk sebagai pemain gantian ketika pasukan sedang ketinggalan dan berjaya pula mengubah permainan untuk membantu pasukan mendapatkan keputusan lebih baik, ia akan memberi rasa lebih yakin kepada diri selepas lama tidak diturunkan.

“Memang posisi asal saya sebelum ini adalah sebagai pemain tengah dan saya juga pernah diletakkan jurulatih di posisi bek kanan dan sayap kanan.

“Tapi untuk perlawanan seterusnya nanti, terpulang kepada jurulatih mahu meletakkan saya di posisi mana kerana sebagai pemain, saya bersedia untuk memberikan aksi yang terbaik dan impak kepada pasukan biar di mana posisi diletakkan sekali pun,” tegas Syahmi.

error: Content is protected !!