ABK17

Syahmi: Ini baru permulaan buat Red Giants

Pemain muda berbakat Selangor, Syahmi Safari, 19, bakal turun beraksi untuk perlawanan terakhir Liga Super 2017 apabila skuad Red Giants dijadual berdepan Pulau Pinang di Stadium Negeri, Batu Kawan, malam esok.

Selangor kendalian P Maniam kini di tangga keenam, namun berpeluang menamatkan saingan di tangga kelima jika berjaya menewaskan Pulau Pinang yang sudah pun sah tersingkir ke Liga Premier 2018 sambil mengharapkan pasukan tangga kelima, Perak tewas kepada pasukan tangga kedua, Pahang di Kuantan.

Selangor kini dengan 30 mata manakala Perak 33 mata dengan kelebihan gol tampak berpihak kepada Selangor jika kedua-dua pasukan terikat dengan 33 mata selepas berakhirnya perlawanan ke-22, malam esok.

Bagi Syahmi, kejayaan dirinya yang turun membantu skuad B-21 Selangor menjuarai Piala Presiden 2017 dengan mengatasi Terengganu menerusi agregat 2-1 pada aksi final timbal balik, 13 dan 20 Oktober lalu dianggap sebagai permulaan kepada musim lebih cemerlang bersama Red Giants pada 2018.

“Satu kegembiraan buat diri saya apabila berjaya menjulang piala pertama bersama Selangor. Tapi ini belum mencukupi. Saya rasa ia satu momentum yang baik untuk memulakan musim baharu 2018 bersama Selangor,” kata Syahmi yang mempunyai kontrak jangka panjang untuk terus kekal menyarung jersi Merah Kuning.

Tambah Syahmi, kegagalan skuad Omar Ali itu yang kandas pada separuh akhir Piala Presiden musim lalu menjadi inspirasi buat barisan muda Selangor bangkit pada saingan musim ini bagi menamatkan kemarau sembilan tahun selepas kali terakhir skuad Merah Kuning menjulang trofi Piala Presiden pada tahun 2008 ketika di bawah kendalian Maniam.

“Rasanya kekalahan pada separuh akhir Piala Presiden musim lalu banyak memberi pengajaran kepada saya dan rakan sepasukan lain. Selain itu, ada juga beberapa pemain dari skuad Piala Belia yang tewas pada aksi final musim lalu.

“Kejayaan ini kami hadiahkan kepada seluruh penyokong Merah Kuning yang hadir memberi sokongan pada kedua-dua aksi final tempoh hari serta barisan kejurulatihan pasukan yang banyak membantu kami pemain muda sejak dari musim lalu lagi,” jelas Syahmi.

Secara peribadi, tahun 2017 boleh dianggap permulaan baik dalam karier Syahmi kerana selain membantu Selangor menjuarai Piala Presiden, pemain yang boleh beraksi di posisi pertahanan kanan, sayap kanan dan posisi tengah ini turut membantu skuad B-22 negara kendalian Datuk Ong Kim Swee layak ke Kejuaraan B-23 AFC 2018 pada Julai lalu serta memenangi pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada Ogos lalu.

“Rasanya ini satu permulaan dan kejayaan yang baik pada musim pertama saya sebagai pemain skuad senior Selangor. Saya mahu permulaan baik dalam karier profesional saya ini dapat diteruskan dengan lebih kejayaan dapat diperoleh selepas ini,” ujar Syahmi.