Suntikan semangat sebelum dua aksi bertemu PKNS FC

Jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir menyifatkan kemenangan besar 4-0 ke atas Kelantan pada perlawanan ke-13 Liga Super 2018 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi sebagai suntikan semangat sebelum dua aksi berturut bertemu PKNS FC pada 6 dan 10 Jun ini.

“Sudah tentu empat perlawanan tanpa kemenangan sebelum ini membuatkan kita berada dalam sedikit kesukaran. Tapi alhamdulillah syukur kerana pemain dapat melaksanakan tugas dengan baik malam ini.

“Mereka turun bermain tanpa tekanan biarpun kita tahu yang tugas untuk mengutip tiga mata penuh pada malam ini cukup penting bagi memperbaiki kedudukan Selangor dalam carta liga.

“Sudah tentu kemenangan ini akan memberikan suntikan semangat yang baik kepada pasukan dan para pemain untuk kita berdepan PKNS FC di Cheras pada 6 Jun dan di Shah Alam pada 10 Jun ini,” kata Nazliazmi pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.

Ledakan hatrik Rufino Segovia serta satu jaringan sumbangan Evan Dimas dianggap permulaan baik seiring dengan berita Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah bakal menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang baharu.

“Mengenai peralihan kuasa ini, saya sudah beritahu pemain sebelum ini, apa yang berlaku itu adalah dari bahagian pengurusan persatuan dan kami dari bahagian teknikal pasukan perlu terus melakukan kerja-kerja untuk memperbaiki pasukan supaya lebih baik.

“Apa pun saya melihat situasi ini sebagai satu yang positif dan diharap dengan kehadiran baginda, ia akan dapat memberi nafas baharu kepada pasukan terutama ketika kedudukan kita masih belum selamat dan berada di kelompok bawah Liga Super ketika ini,” jelas Nazliazmi.

Ditanya adakah akan berlaku pertukaran pemain baharu sementara jendela perpindahan kedua masih dibuka ketika ini, Nazliazmi tetap berharap barisan pemain mudanya terus meningkatkan prestasi dan tahap permainan dalam mengharungi baki saingan musim ini.

“Apa yang saya nampak, pemain muda kita masih lagi tercari-cari rentak dari segi persembahan ketika perlawanan.

“Saya sering ingatkan kepada mereka, apabila kamu masuk ke dalam padang, jangan terlalu fikirkan yang kamu pemain muda tetapi sebaliknya perlu ada jiwa yang besar untuk mencabar,” tegas Nazliazmi.